Sunday, October 3, 2010

Institusi Pondok Di Negeri Kedah Darul Aman - Siri 1


Institusi Pondok Di Negeri Kedah Darul Aman
Oleh: Tuan Haji Ismail Salleh
Sumber: mykedah.com

Maksud pondok di sini ialah pusat pengajian agama melalui satu sistem pendidikan di kalangan orang-orang Melayu yang pernah wujud setelah mereka menerima agama Islam. Di Kedah, Islam menjadi agama rasmi dalam tahun 531 Hijrah bersamaan tahun 1136 Masihi. Syeikh Abdullah al-Yamani mengajarkan dua kalimah syahadat kepada Raja Kedah, Phra Ong Maha Wangsa atau Raja Derbar Raja dan menukarkan nama baginda menjadi Sultan Muzaffar Syah.

Agama Islam diperkembangkan oleh guru-guru agama Islam yang dikenali sebagai makhdum, maulana, syeikh atau lebai di segenap pelosok negeri. Orang Kedah masih menggambarkan zaman awal perkembangan agama ini sebagai zaman "dum makdum" maksudnya zaman yang ramai dengan makhdum - iaitu pendakwah dari Iran. Zaman dum 'makdum' maksudnya zaman yang amat lama berlalu.

Di zaman awal Islam, penganut-penganutnya diajar membaca al-Quran di rumah sendiri, di rumah guru, di surau atau di masjid, di Langgar atau di 'madrasah'. Selain dari membaca dan menghafaz ayat-ayat al - Quran, penganut Islam didedahkan juga dengan pengajaran-pengajaran atau hukum-hukum asas yang fardhu dan asas-asas ilmu tauhid, tafsir dan hadith.

Peluang untuk mendalami ilmu agama bagi yang berminat dan berkebolehan tidak disekat atau dihalang - maka terdapatlah orang-orang Melayu yang mendalami ilmu tarikat dan tasawuf. Orang-orang yang menjadi ahli tasawuf amat dihormati oleh masyarakat. Syeikh-syeikh atau maulana tarikat ini mengajar bagaimana beratib, berzikir dan bersuluk. Seseorang penganut Islam tidak merasai lengkap Islamnya jika tidak menunaikan fardhu haji. Jadi, seseorang Islam berasa perlu mengetahui dan menyedari wujudnya umat Islam di muka bumi ini selain dari orang-orang Islam di tempatnya sahaja.

Orang-orang Melayu yang berangkat ke Makkah ramai pula yang tinggal "menahun" bertahun-tahun di sana kerana menuntut ilmu agama dan meningkatkan diri menjadi ulama supaya boleh menjadi guru apabila pulang ke tanahair kelak. Ada pula yang melanjutkan agama ke Kaherah, Damsyik dan Baghdad. Biasanya orang-orang Melayu dahulu akan membentuk diri mereka menjadi 'lebai' sebelum menjadi haji atau ulama. Asalnya perkataan 'lebai' ini ialah nama suatu kaum di India Selatan. Kaum "Labbai" ini beragama Islam dan bertalian darah dengan orang Arab. Orangnya kuat beribadat dan pandai berniaga. Sebilangan kecil dari mereka telah datang ke Kepulauan Melayu dan bercampur -baur dengan orang-orang tempatan. "Labbai" itu dilekatkan pada nama mereka umpamanya Ahmad Labbai bin Sultan Labbai. Sesiapa sahaja yang alim dengan ilmu agama tetapi belum menunaikan fardhu haji di Makkah, semuanya digelarkan 'lebai' oleh orang-orang Melayu. Orang-orang yang menerima pendidikan di pondok-pondok semuanya digelar "Lebai". Untuk menjadi "lebai" seseorang hendaklah belajar ilmu agama bersungguh-sungguh dari guru yang alim. Memangnya tidak ada catatan di manakah mulanya tempat belajar agama di Kedah ini sungguhpun terdengar ramai nama-nama ulama disebut orang.

Pada tahun 1821 Negeri Kedah telah diserang oleh Thai dan Thai menjajah negeri ini sehingga 1842. Apabila Kedah dibebaskan semula dari belenggu Thai pada 1842, sebahagian dari Wilayahnya telah direpis untuk membentuk beberapa buah negeri kecil dan di antaranya ialah negeri Kubang Pasu.

Raja Thai menabalkan Tunku Anum menjadi Raja di Kubang Pasu sejak 1839 dan Tunku Anum berusaha memperolehi seorang mufti membantunya memerintah Kubang Pasu tersebut. Tunku Anum dapati sebuah pusat pengajian agama secara pondok masih bernafas di sebuah kampung di Kubang Pasu juga iaitu di Kampung Malau dan meminta tuan gurunya yang bernama Haji Wan Ishak bin Wan Muhammad Hashim bin Wan Abdul Baqi menjadi mufti Kubang Pasu Darul Qiyam.

Sebahagian pondok yang diasaskan oleh Hj. Sulong bin Hj. Chik di Jeniang yang masih kukuh.
Setakat yang diketahui dengan pasti pondok atau pusat pengajian Tuan Guru Haji Wan Ishak di Kampung Malau ialah pusat pengajian Islam sistem pondok yang paling tua di negeri Kedah. Pondok itu dibukanya dalam tahun 1806. Pondoknya terpaksa dihentikan apabila beliau dilantik menjadi mufti di Kubang Pasu. Bagaimanapun sebagai mufti beliau membuka pula pondok di ibu negeri Kubang Pasu iaitu di Pulau Pisang pada tahun 1845. Pondok di Pulau Pisang masih segar bugar sekarang sebagai sebuah pusat pengajian Islam yang terulung. Haji Wan Ishak lahir pada tahun 1771 di Malau, berhampiran pekan Jitra. Bapanya Wan Muhammad Hashim bin Haji Abdul Baqi merantau ke Kedah dari kampungnya di Cherang, Patani.

Wan Muhammad Hashim membawa diri ke Kedah bersama orang-orang lain dari Patani kerana Thai sentiasa menindas orang-orang Islam yang tinggal di sana. Wan Muhammad Hashim berkahwin dengan seorang wanita di Kampung Malau, Cik Maryam, dan tinggal menetap di Kedah. Haji Wan Ishak belajar agama di kampungnya kemudian berangkat ke Makkah melanjutkan pelajarannya di sana selama 20 tahun. Beliau balik ke Kedah pada tahun 1806, berumur 35 tahun dan membuka pondok di Kampung Malau tersebut.

Kampung Malau agak terpencil ke timur dan terselamat dari serangan Thai yang menyerang ibu negeri Kedah di Kota Kuala Kedah pada bulan November 1821. Bagaimanapun Malau dan tempat-tempat lain di sebelah timur ini jauh dari laut dan hampir dengan sempadan negeri Patani. Selepas 1815 penduduk-penduduk negeri Patani bertambah ramai membuat penghijrahan ke Kedah kerana Thai dari Bangkok membuat serangan secara besar-besaran ke atas kerajaan Islam Patani pada tahun itu.

Haji Wan Ishak menulis banyak kitab-kitab agama tetapi sayang karyanya tidak lagi ditemui sekarang ini. Pondoknya telah dua kali menerima kebakaran besar. Pada zaman ini, bukan sahaja kitab-kitab agama disalin oleh tiap-tiap orang yang belajar di pondok tetapi al-Quran al-Karim pun terpaksa disalin huruf demi huruf dengan tangan.

Tunku Anum mangkat pada 1853 dan Haji Wan Ishak masih menjadi mufti dan tuan guru DiRaja di bawah pemerintahan Tunku Ishak cucunda Tunku Anum sebagai Raja Kubang Pasu yang kedua. Tunku Ishak mangkat pada 1863 tanpa waris. Kubang Pasu dicantumkan semula dengan negeri Kedah. Haji Wan Ishak meninggal pada tahun 1871 dan disemadikan di perkuburan Pulau Pisang. Bibit-bibit persekolahan pondok dari Patani disemai di negeri ini.

Di antara anak muridnya yang terkenal sebagai ulama besar ialah cucundanya sendiri Haji Muhammad Saleh bin Haji Muhammad Hashim iaitu anak kepada anakandanya Hajjah Fatimah. Haji Muhammad Saleh ini menyambung usaha Haji Ishak menghidupkan pondok Pulau Pisang sebagai sebuah pusat pengajian Islam yang terkenal. Seorang lagi bekas murid Haji Wan Ishak ialah Tuan Guru Haji Muhammad Noor bin Haji Abu Bakar yang membuka Pondok Tasak, di Langgar, Kedah dan dianggap sebagai seorang keramat. Anak Haji Wan Ishak bernama Haji Musa juga dianggap keramat oleh penduduk-penduduk tempatan Pulau Pisang.


Di antara pondok-pondok yang wujud dalam pertengahan KM 19 di Kedah ialah pondok-pondok yang didirikan oleh Tuan-tuan Guru seperti :-
  1. Tuan Haji Wan Ishak bin Haji Wan Hashim, Pulau Pisang
  2. Tuan Haji Muhammad Tamim, Anak Bukit
  3. Tuan Haji Muhammad Diah bin Muhammad, Tualang
  4. Tuan Haji Abdul Rashid, Pulau Bidan, meninggal 1821
  5. Tuan Haji Abu Bakar bin Syeikh Abdul Kadir Kadi, Alor Star.
Dalam zaman pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah (1854-1879) didapati banyak lagi pondok-pondok yang dibuka oleh ulama-ulama di Kedah. Di antara Guru-guru Pondok yang terbesar ialah :-
  1. Tuan Muhammad Taib al-Mas'ud al-Banjari, Titi Gajah, Mufti 1870
  2. Tuan Haji Muhammad Noor bin Haji Abu Abu Bakar, Pondok Tasak, Langgar
  3. Tuan Haji Saleh Penaga, Limbung Kapal, Alor Star
  4. Tuan Syeikh Moneh, Padang Pusing, Pendang
  5. Tuan Haji Muhammad Aji, Pumpong Alor Star
  6. Tuan Syeikh Wak Sa, Kota Kuala Muda
  7. Tuan Haji Muhammad Rejab, Kanchut, Alor Star
  8. Tuan Haji Muhammad Salleh bin Ishak, Kelonghoi, Kuala Kedah,1888
  9. Tuan Haji Ahmad Tampung bin Haji Osman, Merbuk, Kedah, 1893
  10. Tuan Haji Saleh, Pedu
  11. Tuan Haji Saleh bin Muhammad Hashim, Pulau Pisang
  12. Tuan Haji Muhammad Alim, Sungai Nonang, Yan
  13. Tuan Haji Muhammad bin Umar,Tok Haji Muhammad Tua, Alor Star,Langgar
  14. Tuan Haji Shaari bin Haji Taha, Pondok Tasak , Langgar
  15. Tuan Haji Ismail bin Haji Mustaffa Cik Dol, Gajah Mati, Pendang
  16. Tok Faqih, Sungai Limau
  17. Tuan Haji Ahmad Lalang bin Haji Ali, Yan
  18. Tuan Haji Saleh bin Abdul Samad, Pondok Tasak, Langgar
  19. Tuan Haji Abdul Rahman, Pondok Tasak, Langgar
Kadi yang bertugas di Kedah pada masa ini ialah Tuan Haji Muhammad Zain bin Haji Mas'ud, Kadi 1870 ketika kandanya Haji Muhammad Taib menjadi Mufti, Kadi negeri yang tunggal ini dibantu oleh Tuan Haji Muhammad Jaafar bin Haji Muhammad Saad Imam Besar Masjid Raja di Alor Star, Tuan Syed Ali dan Tuan Haji Muhammad Yusuf. Seorang ulama lagi yang berdamping dengan Sultan ialah Tuan Syed Abdullah al-Maghribi al-Jafri. Tuan Haji Muhammad Daim menjadi kadi pada 1900. Kadi ditugaskan mengajar agama terutamanya di masjid-masjid tetapi tiada membuka pondok. Pada masa ini Tuan Haji Idris Keramat giat berdakwah di Tualang, tetapi beliau juga tidak membuka pondok.

Sistem persekolahan pondok bukan sahaja menjadi pusat pengajian ilmu tetapi juga menjadi pusat kepada pelbagai aktiviti kehidupan orang-orang Melayu di Kedah. Persekolahan pondok pada masa ini ialah pusat kehidupan orang Melayu. Maju mundurnya sesuatu pondok itu berkaitan rapat dengan maju mundurnya pendidikan dan penghidupan di sesuatu daerah. Persekolahan pondok kadang-kadangnya terdiri di tengah-tengah pusat pentadbiran dan mempengaruhi persekitarannya, kadang-kadang wujud berasingan membentuk persekitarannya sendiri.

Madrasah Pokok Sena yang dibuka oleh Tuan Hussain Kedah serta dikelilingi lebih seratus buah pondok
Di pondok, murid-muridnya bukan sahaja diajar pelajaran agama, tetapi juga pelajaran menulis, membaca dan mengira dalam bahasa Melayu. Orang-orang pondok pandai membaca syair, hikayat, menulis surat dan menyalin kitab-kitab yang dikaji kerana tidak ada perusahaan cap-mengecap kitab atau buku seperti sekarang. Di pondok juga orang belajar bersilat dan belajar menjadi dukun atau bomoh. Di pondok juga pelajar-pelajar atau penghuninya digalakkan membantu kerja-kerja di sawah di sekitar pondok, berniaga secara kecil-kecilan dan bertukang.

Pondok-pondok di Kedah menerima pelajar-pelajar bukan sahaja dari Kedah sendiri tetapi juga dari luar negeri iaitu dari Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Perlis, Melaka, Johor, Perlis, Pahang dan lain-lain tetapi juga dari luar negara seperti dari Indonesia, Thailand, Singapura dan Brunei.

Pondok dibuka kepada pelajar-pelajar lelaki dan perempuan, tua dan muda, dan pelajarnya dibolehkan memilih matapelajaran-matapelajran yang disukai dan diminatinya dan memilih sendiri peringkat ilmu yang sesuai dengan keupayaan dan kemampuan masing-masing. Sesetengahnya mengumpul ilmu pengetahuan melalui bahasa Arab, sedangkan keseluruhannya mengumpul ilmu pengetahuan melalui bahasa Jawi atau bahasa Melayu. Pelajar-pelajarnya tidak dikehendaki membayar sebarang yuran : Diajar dan belajar kerana Allah semata-mata.

Sistem persekolahan pondok zaman dahulu amatlah berbeza dengan sistem pendidikan sekolah atau madrasah. Sekolah atau madrasah mempunyai sistem yang tersusun dari segi sukatan pelajaran, dan cara menaiki kelas dan perubahan saban tahun. Pelajar di pondok diberi peluang untuk mengulang beberapa tahun kerana mendalami sesuatu ilmu atau sesuatu aspek ilmu. Seseorang itu boleh tinggal lebih lama di pondok jika difikirnya dia perlu mendalami ilmunya dari seseorang tuan guru. Masa tidak terhad. Tuan Guru hanya mengubah atau menghabiskan sebuah kitab untuk mengkaji isi kitab lain.

Pendeknya pelajar-pelajar yang datang ke persekolahan pondok tidak dihadkan umur atau jantina. Mereka diletakkan di pondok-pondok yang berasingan dari pondok-pondok kelamin. Pondok tidak menentukan pelajar-pelajarnya mengambil peperiksaan atau sebarang ujian. Kebolehan mereka dinilai oleh guru sendiri dan akuan guru merupakan sijil atau syahadah yang diterima dan tidak ditolak oleh mana-mana pihak pun. Pelajar-pelajar dikehendaki membuktikan yang mereka berilmu dengan cara membuat seberapa banyak amalan yang selari dengan muatan ilmu yang mereka punyai : Bukan sijil atau syahadah, tetapi amalan mereka sehari-hari yang menjadi ukuran. Jadi, pondok tidak mempunyai konsep mengejar gred atau point dan tidak ada konsep keciciran seperti yang didapati di dalam sistem pendidikan sekular moden.

Jadual waktu perharian di pondok bermula dengan sembahyang subuh berjemaah di balai (surau) diikuti dengan kuliah subuh sejam atau dua jam. Selepas itu pelajar bebas membuat kerja masing-masing. Ada yang mengambil kesempatan mentelaah kitab atau mengulangkaji isi kitab dengan rakan-rakan di bawah pimpinan seorang 'kepa tela' ah' yang dilantik oleh Tuan Guru. Kadang-kadang diadakan pula kuliah pagi dari pukul 9.00 hingga pukul 11.00 pada hari-hari tertentu dalam seminggu itu untuk para pelajar pondok dan juga untuk orang-orang kampung atau orang-orang luar.

Sembahyang Zohor dan Asar hendaklah dilakukan secara berjemaah seberapa yang boleh. Kuliah dimulakan pula selepas sembahyang Maghrib hingga masuk waktu Isyak. Sembahyang Maghrib, Isyak dan Subuh adalah dimestikan berjemaah di balai. Aktiviti-aktiviti sosial dan agama seperti sembahyang jenazah, sembahyang tarawih, kenduri kendara, perayaan Maulid, sah khatam Quran dan lain-lain diberi keutamaan. Cuti penggal persekolahan pondok berlangsung di dalam bulan puasa, musim menuai padi atau masa-masa ketiadaan Tuan Guru kerana menziarahi saudara maranya atau kerana berangkat ke Makkah tanpa menunjukkan pengganti sementara. Dalam persekolahan pondok tersirat ciri-ciri "pendidikan seterusnya". Ciri-ciri ini hanya terdapat di persekolahan pondok dan tidak mudah dilihat di pusat-pusat pengajian sistem yang lain. Inilah ciri-ciri yang diidamkan oleh orang-orang barat sebagai "prinsip-prinsip universal" yang mereka belum berjaya mencapainya.
Pondok Pak Chu Him di Gajah Mati, Pendang.

Persekolahan pondok biasanya ditegakkan oleh ahli-ahli dalam masyarakat setempat secara membiayai dan membantu penghayatan pondok itu melalui seseorang tuan guru yang disanjung oleh masyarakat tersebut. Tuan guru yang membuka pondok itu boleh merupakan seorang anak tempatan atau anak dari tempat lain ataupun seorang yang alim dari Patani atau dari Indonesia.

Guru-guru mencurahkan khidmat untuk mengajar, mengarah, mentadbir pondok, menentukan sukatan pelajaran dan jenis kitab yang hendak dibuat kajian serta mengurus kehidupannya secara berdikari dan berdakwah fi sabil Allah secara percuma dengan ikhlas dan rela tanpa gaji atau sebarang ganjaran. Tuan-tuan guru biasanya memperolehi bantuan dan kerjasama pelajar-pelajar yang tertua bagi melicinkan penghayatan dan aktiviti pondok khususnya di balai atau surau tempat belajar.

Persekolahan pondok boleh bergerak sebagai suatu pusat penghidupan baru di satu-satu daerah atau mengukuhkan penghidupan yang sedia ada. Dengan itu, penghulu, ketua kampung, hartawan, dermawan, ibu bapa pelajar-pelajar di pondok, ahli-ahli kerabat DiRaja atau pembesar memberi sokongan kuat kepada persekolahan pondok supaya maju hidupnya dan terus berjasa. Kemajuan sesebuah persekolahan pondok pada zaman dahulu bergantung kepada kehebatan seseorang Tuan Guru yang menerajui perjalanan sesebuah pondok di sesuatu tempat itu.

bersambung ke siri seterusnya .....

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails