Monday, March 23, 2009

Tuan Guru Haji Muhammad Salleh bin Haji Hashim – Menerajui Kegemilangan Pondok Pulau Pisang, Tunjang, Jitra, Kedah Darulaman

Ulama Kedah ini dilahirkan di Kampung Pulau Pisang, Mukim Tunjang, Jitra, Kedah Darulaman pada tahun 1280H/1864M. Nama lengkap beliau adalah Muhammad Salleh bin ‘Abdul Hamid bin Ishaq al-Fathani. Manakala dari sebelah ibu pula ialah Fatimah binti Ishaq bin Muhammad Hasyim bin Abdul Baqi. Datuk sebelah ibunya, iaitu Tuan Guru Haji Ishaq bin Haji Muhammad Hasyim bin Haji Abdul Baqi (lahir pada tahun 1184H/1771M di Kampung Padang Panjang, Kota Sena, Malau, Jitra dan meninggal dunia pada 1287H/1871M. Keturunan mereka berasal dari Fathani kerana Haji ‘Abdul Baqi adalah merupakan seorang ulama dan pembesar dari Kampung Cerang, Fathani)adalah merupakan pengasas kepada Pondok Pulau Pisang di zaman Tengku Anum memerintah Negeri Kubang Pasu Darul Qiyam. Tuan Guru Haji Ishaq bin Haji Muhammad Hasyim bin Haji Abdul Baqi adalah murid Syaikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan Syaikh Abdus Shamad al-Falimbani. Tuan Guru Haji Ishaq juga pernah menjawat sebagai Qadhi Besar Negeri Kubang Pasu Darul Qiyam.

Pendidikan: Mendapat pendidikan awal daripada datuknya, yang juga merupakan pengasas Pondok Pulau Pisang. Walaupun Muhammad Salleh telah `alim sejak di Pondok Pulau Pisang lagi kerana beliau sempat mempelajari kitab-kitab besar daripada datuknya, Tuan Guru Haji Ishaq, ulama besar Kedah, murid Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Namun sudah menjadi tradisi pada zaman itu untuk mengesahkan seseorang itu diakui keilmuannya, hendaklah belajar lagi kepada ulama-ulama besar yang berada di Mekah dan Madinah. Maka untuk itu beliau dihantar ke Mekah untuk menyambung pengajian iaitu antara tahun 1295H/1879M hingga tahun 1312H/1894M. Ulama yang paling banyak Muhammad Salleh menimba ilmu daripdanya adalah Syaikh `Abdul Qadir bin `Abdur Rahman al-Fathani, cucu saudara dan juga Khalifah Syaikh Daud bin `Abdullah al-Fathani. Pengetahuan yang bercorak pengkaderan dan pelbagai bidang duniawi dan ukhrawi pula beliau adalah diasuh oleh Syaikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Selain itu beliau juga belajar daripada ulama Arab yang mengajar di sekitar Mekah pada ketika itu.


Pondok Pulau Pisang


Menerajui Pondok Pulau Pisang: Setelah beliau kembali dari Mekah pada tahun 1312H/1984M, Haji Muhammad Salleh langsung menerajui Pondok Pulau Pisang yang diasaskan oleh datuknya itu. Pondok Pulau Pisang adalah merupakan satu-satunya pondok yang utama dan termaju di negeri Kedah, namun setelah meninggalnya Tuan Guru Haji Ishaq pada tahun 1287H/1871M, ianya mula merosot. Namun setelah ianya diterajui oleh Haji Muhammad Salleh, pondok ini berkembang dan mengalami kemajuan yang pesat, kembali memancarkan nur ilmu pengetahuan dan menjulang kecemerlangan kewibawaan. Ketika mula menerajui pondok ini, Haji Muhammad Salleh berusia 30 tahun. Diriwayatkan bahawa Pondok Pulau Pisang dalam masa pimpinan Haji Muhammad Salleh bin Haji Hasyim pelajarnya pernah mencapai 2,000 orang. Jumlah pelajar pondok ribuan orang yang datang dari seluruh Tanah Melayu termasuk Indonesia pada zaman itu merupakan satu jumlah yang besar dan luar biasa, yang tidak terjangkau oleh pengajian pondok lainnya, kecuali pada zaman yang sama di Fathani dan Jawa, malah ada yang lebih ramai daripadanya.


Kitab-kitab yang diajarnya: Diantara kitab-kitab turats Islam, bahasa Melayu yang diajarkan di Pondok Pulau Pisang ialah
  • Faridatul Faraid karangan Syaikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani (aqidah)
  • Bidayatul Hidayah oleh Syaikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin Aceh (aqidah)
  • Ad-Durruts Tsamin oleh Syaikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathani (aqidah)
  • Hidayatus Salikin oleh Syaikh ‘Abdus Shamad al-Falimbani (tasawuf)
  • Sairus Salikin oleh Syaikh ‘Abdus Shamad al-Falimbani (tasawuf)
  • Ad-Durrun Nafis oleh Syaikh Muhammad Nafis al-Banjari (tasawuf)
  • Turjumanul Mustafid (Tafsir Baidhawi Melayu) oleh Syaikh Abdur Rauf bin Ali al-Fanshuri. (Tafsir)
Manakala kitab-kitab turats berbahasa ‘Arab pula, antaranya
  • Fathul Mu'in (fiqh)
  • I'anatut Thalibin (fiqh)
  • Baijuri (fiqh)
  • Dasuqi (aqidah)
  • Kifayatul Awwam (aqidah)
  • Shahih al-Bukhari. Jawahir al-Bukhari dan kitab-kitab hadits lain (hadits)
  • Tafsir Jalalain dan Baidhawi (Tafsir)
  • Minhajul `Abidin (Tasawuf)
  • Ihya' `Ulumid Din (Tasawuf)
  • Matnur Risalatil Fathaniyah dan Tashilu Nailil Amani oleh Syaikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani (nahwu)
  • Kitab-kitab yang dikarang oleh Syaikh Nawawi Banten
  • Dan lain-lain lagi
Murid-murid beliau: Diantara murid-murid beliau adalah
  • Syaikh Ismail bin Haji Muhammad Salleh (anak beliau sendiri)
  • Syaikh Ramli bin Haji Muhammad Salleh (anak beliau sendiri)
  • Dr Burhanuddin al-Helmi
  • Tuan Guru Haji Ahmad Janggut, Langgar
  • Tuan Guru Haji Ahmad Hutan Palas atau dikenali juga Tuan Guru Haji Ahmad Keplu (alhamdulilah, al-Faqir abu zahrah sempat beberapa kali menemui dan mengambil ilmu dari beliau. Dari beliaulah abu zahrah terima Ratib Haddad, iaitu ketika masih di sekolah rendah.)
  • Tuan Guru Haji Abbas Nasution, Tanjung Pauh (beliau juga pernah abu zahrah temui beberapa kali, namun ketika itu tidak mengenali siapa beliau. Cuma abu zahrah kenalinya sebagai seorang yang baik hati. Beliau pernah menunjukkan al-Quran tulisan tangannya kepada abu zahrah. Pun tak faham lagiii … kerna dikala itu masih di primary school.)
  • Haji Abdullah Hassan dan ramai lagi.

Penulisan: Sungguhpun sibuk mengajar di pondok dan memenuhi hajat masyrakat setempat, Tuan Guru Haji Salleh masih dapat meluangkan masanya untuk mengarang. Kitab-kitab karangan beliau:
  • Sirajul Huda wa Mishbahud Duja. Pertama kali dicetak oleh Mathba'ah Muhammad `Ali Shabih dekat Al-Azhar, Mesir tahun 1344H. Selain Sirajul Huda, karya beliau yang lain pula ialah
  • Tanbihul `Awam li Istiqazil Manam, juga dicetak di Mesir tahun 1950
  • An-Nashihatuddin az-Zakiyah

Karangan beliau yang lain tidak dapat dikesan kerana musnah di dalam kebakaran pada tahun 1962. Pondok Pulau Pisang mengalami 2 kali kebakaran. Kebakaran sebelumnya memusnahkan kitab-kitab karangan Tuan Guru Haji Ishaq.

Selain dari belajar, para pelajar pondok di Pondok Pulau Pisang juga mengamalkan ratib al-Haddad, di mana ianya dibaca secara beramai-ramai pada sebelah malam.

Keturunan: Hasil dari perkahwinannya dengan isteri yang bernama Saerah binti Abbas beliau dikurniakan 4 orang cahaya mata iaitu:
  1. Hajah Jamilah
  2. Syaikh Ismail. Pernah dilantik menjadi Qadhi Besar Kedah dari tahun 1356H – 1358H dan kemudian dilantik menjadi pengerusi Majmak Ulama Syaikhul Islam Negeri Kedah dari 1358H – Syawwal 1364H. InsyaAllah, abuzahrah akan menulis mengenai ulama ini.
  3. Haji Qasim dan
  4. Syaikh Ramli.

Pemimpin masyarakat: Tuan Guru Haji Muhammad Salleh bukanlah hanya sekadar Tuan Guru di pondok, namun beliau juga adalah merupakan seorang pemimpin masyarakat yang berwibawa. Beliau berjasa di dalam menyediakan sebuah jalanraya sejauh 2km yang menghubungkan Kampung Pulau Pisang dan Pekan Tunjang yang dibinanya secara gotong-royong; mengemaskini pentadbiran Masjid Ishaqiah di Kampung Pulau Pisang dan mengasaskan moreh berbuka puasa di masjid tersebut; menyelesaikan masalah-masalah masyarakat setempat.

Kewafatannya: Setelah lebih dari 50 tahun berbakti di dalam memimpin Pondok Pulau Pisang, Haji Muhammad Salleh meninggalkan dunia yang fana ini pada tahun 1363H/1944M. al-Faathihah.

******

Sekian dan salam hormat dari
Al-Haqir Abu Zahrah ‘Abdullah Thahir al-Qedahi
Catatan ini disempurnakan pada hari Itsnin, 19 Rabiul Awwal 1430/ 16 Mac 2009, ketika bercuti di kampungku di Jitra, Kedah Darulaman.


Rujukan:
  • Tulisan Tuan Guru Haji Wan Muhammad Shaghir bin Wan ‘Abdullah di Utusana Malaysia bertarikh 31 Mei 2004
  • Biografi Ulama Kedah Darul Aman, terbitan Lembaga Muzium Negeri Kedah Darulaman

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails