Showing posts with label Ulama` Perak Darul Ridwan. Show all posts
Showing posts with label Ulama` Perak Darul Ridwan. Show all posts

Monday, October 4, 2010

Tuan Guru Dato’ Haji Abdul Latif bin Haji Abdul Rahman: Memartabatkan Institusi Pondok di Perak


Tulisan ini adalah sebagi kenangan atas pemergian Tuan Guru Dato’ Haji Abdul Latif bin Haji Abdul Rahman @ Pak Teh pada hari Khamis , 21 Syawwal 1431H bersamaan 30 September 2010. Walaupun al-Fagir hanya berkesempatan beberapa kali berdamping dan menadah kitab kepada beliau, namun beliau adalah seorang Tuan Guru yang sangat al-Fagir hormati dan kasihi. Beliau seorang yang ‘alim,yang wara`, dan tawadhu. Tulisan ini al-Fagir adalah sebagai menghargai jasa Tuan Guru Haji Abdul Latif bin Haji Abdul Rahman @ Pak Teh di dalam memartabatkan institusi pondok dan usaha beliau mencetak generasi ulama serta perkembangan dakwah negeri Perak khasnya dan Malaysia umumnya. Pondok yang diasasakan oleh beliau di Pengkalan Hulu adalah merupakan satu-satunya pondok tradisional yang masih wujud di negeri Perak.

Tulisan ini al-Fagir himpunkan dari beberapa blog seperti blog Ustaz Nik Nasri, Ustaz ‘Abdul Rauf Tampin, Ikan Tongkol dan-lain.

Nama tubuh beliau,  Abdul Latif bin Abdul Rahman. Anak jati kelahiran Kampung Kuak Hulu, Pengkalan Hulu. Beliau dilahirkan pada tahun 1938. Mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Melayu dari tahun 1947 sehingga 1953 dengan menamatkan pengajiannya sehingga darjah lima. Beliau adalah seorang pelajar yang pintar, dan pernah mendapat peluang untuk meneruskan pelajar di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) iaitu sebuah sekolah berasrama yang terkenal. Namun kerana kemiskinannya, beliau tidak meneruskannya.

Setelah itu meneruskan pengajiannya ke peringkat menengah di Sekolah Arab yang dikenali dengan nama Pondok Asam Jawa (mungkin yang pondok di maksudkan Pondok Pokok Asam, Pendang yang di asaskan oleh Tuan Guru Haji Wan Sulong bin Wan Dali – abu zahrah. Wallahu a’lam) di Pendang di antara tahun 1956 sehingga 1959. Saking minatnya  yang mendalam pada ilmu agama, pada peringkat awal lagi beliau mula menghafal kitab-kitab agama di bawah bimbingan Ustaz Umar Mohammad Noh. Dan sememangnya beliau adalah seorang yang kuat menghafal matan-matan. Begitulah al-Fagir pernah diberitahu oleh individu-individu yang mengenali beliau dari dekat.

Gambar hiasan sahaja

Pencarian ilmu beliau tidak terhenti disitu, beliau seterusnya meneruskan pengajiannya di sebuah pondok yang tersohor di Kelantan iaitu Pondok Terusan Limbat Pasir Tumboh. Beliau adalah merupakan diantara generasi awal Pondok Pasir Tumboh. Di sini beliau berguru langsung dengan pengasas pondok tersebut iaitu Tuan Guru Haji Musthafa bin Haji Abu Bakar bin Haji Abdul Latif bin Abdul Ghani dan Tuan Guru Haji ‘Abdul Aziz bin Haji Abu Bakar bin Haji Abdul Latif bin Abdul Ghani (1923 – 1987). Beliau juga berguru dengan Tuan Guru Haji Hasyim Abu Bakar yang merupakan adik ipar kepada  Tuan Guru Haji Musthafa bin Haji Abu Bakar dan Tuan Guru Haji ‘Abdul Aziz bin Haji Abu Bakar.

Tuan Guru Haji Abdul Latif bin Haji Abdul Rahman @ Pak Teh menuntut ilmu di pondok Pasir Tumboh dari tahun 1959 – 1967. Pak Teh sempat berguru kepada lebih kurang 20 orang tuan guru dari Kedah, Perak dan Kelantan sepanjang pencarian ilmunya. Diantara tuan guru beliau adalah:-
  • Tuan Guru Haji Musthafa bin Haji Abu Bakar bin Haji Abdul Latif bin Abdul Ghani
  • Tuan Guru Haji ‘Abdul Aziz bin Haji Abu Bakar bin Haji Abdul Latif bin Abdul Ghani (1923 – 1987)
  • Tuan Guru Haji Hasyim Abu Bakar ( penguasa Pondok Pasir Tumboh kini dan sedang uzur)
  • Tuan Guru Haji Mat Saman Kati
  • Tuan Guru Haji Abdul Rahman Ahmad
  • Tuan Guru Haji Sulaiman Mohd Rabik (mungkin yang di maksudkan adalah Tuan Guru Haji Sulaiman bin Ahmad Rabat, Pondok Chegar, Pendang, kerana beliau adalah merupakan tenaga pengajar di pondok tersebut dan seterusnya mengambilalih pondok tersebut setelah ayahandanya, pengasas pondok tersebut meninggal dunia pada tahun 1962 – abu zahrah. Wallahu a’lam)


Membuka pondok: Setelah menamatkan pengajiannya di Pondok Pasir Tumboh, beliau kembali ke kampung halamannya dan membuka pondok beliau sendiri pada tahun 1967. Pada peringkat awal pelajar beliau hanya beberapa orang sahaja. Namun sehingga kini pondok ini telah mengeluarkan ribuan pelajar agama. Uniknya pondok ini, tiada bekalan elektrik di pondok bujang dan muslimat. Pelajar menggunakan lilin atau pelita untuk mentelaah. Bekalan elektrik hanya untuk rumah kelamin sahaja. Manakala kitab-kitab yang digunakan untuk pengajian, adalah kitab-kitab turats sebagaimana yang digunakan oleh pondok-pondok terdahulu. Kitab-kitab turats yang beliau ajar di pondok beliau merangkumi kitab jawi dan ‘arab di dalam pelbagai bidang ilmu.


Antara kitab-kitab turats yang beliau ajar adalah:
  • Tafsir: Tafsir Jalalain, an-Nasafi dan al-Baidhawi (jawi)
  • Hadits: Muwattho`, al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, Ibn Majah, at-Tirmidhi (menggunakan kitab Bahr al-Madhi karangan Syeikh Idris al-Merbawi), Tajridus Shorih, Riyadhus Sholehin
  • Tauhid: Fath al-Majid, Tuhfah al-Murid, Aqidah an-Najin (jawi)
  • Fiqih: Fath al-Qarib,  Fath al-Muin, Fath al-Wahhab, I’anah ath-Tholibin, Tahrir, Mughni Muhtaj, Mahalli, Kifayah al-Akhyar, Iqna, Matan Zubad, Matla’ al-Badrain (jawi), Bughyah at-Thullab (jawi), Sabil al-Muhtadin (jawi), Kasyf al-Litsam (jawi) dan Kifayah al-Muhtadi (jawi)
  • Ushul Fiqih: al-Asybah wa an-Nazair dan Jam’ al-Jawami’
  • Tasawwuf: Minhaj al’-Abidin, an-Nashoih ad-Diniyyah wa al-Washoya al-Imaniyyah dan Sair as-Salikin (jawi)
  • Shorof: al-Kailani, al-Mirah dan Shazz al-Urf
  • Nahwu: Mutammimah, Syeikh Kholid, al-Ashmawi, al-Azhari, al-Qatr an-Nada, Syarah Ibn ‘Aqil, Syuzur al-Zahab, Audhoh Masalik Syarah Alfiyyah Ibn Malik Mughni Labib, Ashmuni, Shobban dan lain-lain
  • Ulum hadits: Mustholah al-Hadits (karangan Sayyid Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki), Taqrirat as-Saniyyah Syarh al-Baiquniyyah
  • Ilmu Tafsir: ‘Atiyyah ar-Rahman
  • Mantiq: ‘Isaghuji

Selain mengajar di pondok beliau, Pak Teh juga mengajar di beberapa tempat lain. Antara kitab yang diajarkan seperti, al-Majmu Syarh al-Muhazzab, al-Asybah wa an-Nazair, Iqna, Hikam syarah Tok Pulau Manis(alhamdulillah al-Fagir bersempatan duduk di pengajian 4 buah kitab ini beberapa kali), Minhajul ‘Abidin dan lain-lain.

Oleh kerana ke’alimannya, maka Pak Teh dilantik oleh Kerajaan Negeri Perak untuk menganggotai Ahli Jawatankuasa Syariah Negeri Perak. Beliau menjawat jawatan tersebut sejak dari tahun 1994 sehinggalah beliau meninggal dunia. Pengetahuannya yang luas dan mendalam khususnya ilmu alat dan kecermatannya dalam mengeluarkan sesuatu usul atau pandangan telah banyak membantu perjalanan Jawatankuasa Syariah dan Majlis Fatwa Perak.

Teman seangkatan: Teman seangkatan dengan beliau, antaranya adalah Tuan Guru Haji ‘Abdul Halim bin Haji Majid Pondok Sungai Jagung, Pendang, Kedah; Tuan Guru Haji Muhammad Lias Pondok Keledang, Temerloh Pahang; Tuan Guru Haji Man Matang Nibung, Pida 3, Jitra Kedah; Tuan Guru Haji Man Imam Masjid Kg Telok, Kepala Batas, Alor Setar Kedah; Tuan Guru Abdullah Sidam; Tuan Guru Haji Sabran Asmawi, Bagan Serai, Perak dan ramai lagi.

Sifat dan keluarganya: Beliau seorang yang wara dan tawadhu. Seorang yang sederhana di dalam aspek kehidupan. Seorang yang bersikap terbuka, tanpa mengira fahaman politik seseorang.  Sangat menghargai masa. Beliau minat dalam bercucuk tanam dan berkebun buah-buahan, iaitu sifat yang beliau warisi daripada ayahandanya. Minatnya itu juga kini tertumpah pada anak-anak muridnya di mana pelbagai jenis tanaman ditanam di pusat pengajian tersebut. Selain dapat memanfaatkan tanah-tanah yang ada, hasil tanaman ini juga dapat memberikan pendapatan sampingan apabila dijual. Antara tanaman yang ditanam seperti ubi kayu, pinang, pisang, nenas, kangkung, bayam, sawi, tebu dan bermacam-macam buah-buahan dan sayur-sayuran termasuk pokok-pokok akar kayu untuk perubatan.


Seorang teman memberitahu al-Fagir, katanya Pak Teh seorang yang lurus dengan niatnya (hasratnya). Kalau beliau sudah berniat untuk ke kebunnya dan di dalam masa yang sama beliau di kunjungi tetamu, maka katanya, Pak Teh akan ke kebunnya sebentar bagi menunaikan apa yang telah beliau niatkan.
Dari segi ‘amalannya, al-Fagir tidak tahu decara pasti tariqat apa yang diamalkan oleh beliau, kerana ada yang berkata Syathariyyah, ada yang kata Samaniyyah. Wallahu a’lam. Namun menurut secara perkiraan al-Fagir, beliau mungkin mengamalkan thariqah Samaniyyah yang diperturunkan melalui guru beliau, Tuan Guru Haji Mat Saman Kati, kerana beliau juga merupakan Penaung Jemaah Thariqat Samaniyyah.

Hasil dari perkahwinannya dengan Mak Teh (nama tubuh, Halimatssa’adiah binti Haji Jusoh), beliau di anugerahkan 10 orang anak, iaitu 7 putera dan 3 puteri.

Meninggal dunia: Sekitar jam 1.00 pagi, hari Khamis , 21 Syawwal 1431H bersamaan 30 September 2010, sekitar jam 1.00 pagi, beliau telah kembali kerahmatuLlah. Ribuan yang hadir untuk menziarahi jenazah beliau. Sholat jenazah pertama diadakan di pondok beliau. Kemudian jenazah dibawa ke Masjid dan disholatkan sekali lagi dengan diimamkan oleh Tuan Guru Haji Salleh Sik. Hampir 5,000 orang yang hadir. MasyaAllah. 

قدمات قوم وماماتت مكارهم * ومات قوم وهم في الناس أحياء
فالجاهلون مواتي قبل موتهم * والعالمون وإن ماتوا فأحياء
Telah mati satu kaum namun tidak mati kemuliaan mereka
Dan telah mati satu kaum, namun mereka hidup diantara manusia
Orang-orang yang jahil, mereka adalah mayat sebelum kematian mereka
Sedangkan para ulama, walaupun telah mati namun mereka tetap hidup (di hati manusia)

Orang ramai membanjiri Pondok Pak Teh untuk menziarahi jenazah beliau

Jenazah Pak Teh di bawa masuk ke dalam masjid untuk disholatkan
Orang ramai penuh sesak di dalam masjid untuk mensholatkan jenazah Pak Teh
Sholat jenazah ke atas Tuan Guru Pak Teh yang diimamkan oleh Tuan Guru Haji Salleh, Sik
Jenazah Pak Teh dibawa ke Masjid, lihat disini

Amanat Pak Teh 2 hari sebelum kewafatannya: Menurut akhi Helmi, Pondok Sik di blog beliau: “Tuan Guru Haji Salleh semasa menziarahi jenazah Pak Teh pagi tadi, ada seorang murid yang rapat dengan Pak Teh memberitahu Tuan Guru Haji Salleh tentang pesanan Pak Teh dalam kuliah 2 hari lepas. Pak Teh berpesan pada murid beliau: “Sekarang kita (pelajar agama) kena pakai (ikut) fatwa yang dihukum Tok Guru Haji Salleh Sik”. Pak Teh berkata seperti itu kerana sudah tiada ahli yang tahqiq (mantap) dalam menguasai ibarat kitab seperti ulama silam. Di sebelah utara semenanjung tokoh ulama yang tahqiq, sangat-sangat kurang dan boleh dikatakan sudah tiada. Oleh kerana itu beliau meminta Tuan Guru Haji Salleh memimpin solat jenazah Pak Teh tadi. Tuan Guru Haji Salleh menceritakan pengalaman beliau dengan Pak Teh. Kata Tuan Guru Haji Salleh: “Pak Teh masa hidup kalau jumpa (bertemu ) aku,dia kira (Pak Teh suka) peluk aku ja la dia.”

Pengiktirafan oleh pemerintah: Pak Teh, Tuan Guru Haji ‘Abdul Lathif bin Haji ‘Abdul Rahman telah dianugerahkan kurniaan Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP) pada 19 April 2004 di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, sempena menyambut ulangtahun hari keputeraan ke bawah duli Sultan Perak ke 76. Penganugerahan ini adalah merupakan pengiktirafan keatas jasa-jasa beliau di dalam memartabatkan agama Islam di negeri Perak.

Demikianlah serba ringkas biografi Pak Teh. Seorang demi seorang ulama kita berpergian, sampai pada akhirnya tidak ada lagi yang dapat mengantikan mereka. Kemarin kita mendapat khabar pemergian Pak Teh, besok entah siapa pula ulama yang akan mengikuti pemergian mereka. Hilangnya mereka susah untuk mendapat pengganti. Kita mampu mengeluarkan beribu-ribu sarjana, kita mampu mengeluarkan beratus-ratus pemikir Islam, tapi apakah kita mampu mengeluarkan ulama-ulama yang alim dan rabbani? Maka akhirnya nanti tinggallah orang-orang bodoh yang mengaku ulama, berpakaian seperti ulama, bergaya persis ulama, tetapi tidak memiliki ilmu dan akhlak seperti seorang ulama, lalu mereka akan menjawab segala pertanyaan masyarakat awam yang haus dengan ilmu pengetahuan, sehingga mereka sesat lagi menyesatkan, benar sekali sabda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم, sepertimana yang diriwayatkan oleh Sayyiduna Abdullah bin ‘Amr bin Ash رضي الله عنهما: Sesungguhnya Allah tidaklah mencabut ilmu dengan (menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) hamba-hambaNya. Tetapi Allah Ta’ala menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim-ulama sehingga apabila tidak tertinggal satu orang alimpun, manusia akan menjadikan pemimpin-pemimpin dari orang-orang yang bodoh, maka tatkala mereka ditanya (tentang masalah agama), lalu mereka akan berfatwa tanpa ilmu, akhirnya mereka sesat dan menyesatkan. (Hadits riwayat al-Bukhari, Muslim, at-Tirmidhi dan Ibn Majah)

Tidakkah pemergian mereka ini musibah bagi kita dan umat Islam seluruhnya? Iya, musibah besar! Di dalam sebuah hadits yang di riwayatkan oleh Abu Daud, at-Tirmidhi, Ibn Majah dan al-Baihaqi daripada Abu Darda رضي الله عنه katanya: Aku mendengar Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم  bersabda (maksudnya): Sesiapa yang pergi di pagi hari kerana inginkan ilmu dan untuk mempelajarinya semata-mata kerana Allah Ta’ala, nescaya Allah Ta’ala akan membukakan baginya satu pintu menuju syurgaNya, para malaikat membentangkan sayapnya untuknya dan demikian juga ikan-ikan dilaut. Kelebihan orang yang alim itu ke atas orang yang abid apalah seumpama kelebihan bulan purnama ke atas sekecil-kecil bintang dilangit. Para ulama itu adalah pewaris Nabi. Sesungguhnya Nabi tidak mewariskan wang dinar dan tidak juga wang dirham, tetapi mereka mewariskan ilmu. Sesiapa yang mengambil ilmu maka dia telah mengambil habuannya yang amat bernilai. Oleh itu matinya seorang yang alim adalah satu musibah yang sukar digantikan dan satu kepincangan yang susah ditutupi. Ini adalah umpama bintang yang hilang sirna (diantara bintang-bintang). Sesungguhnya matinya satu qabilah adalah lebih ringan musibahnya berbanding matinya seorang yang alim.

Kata Sayyiduna ‘Umar رضي الله عنه: Kematian 1000 abid (ahli ‘ibadah  - yang jahil -) yang bangun di malam hari dan berpuasa di siang hati, lebih ringan daripada kematian seorang ulama yang memahami hal-hal yang dihalalkan dan yang diharamkan oleh Allah.

Akhirkata, marilah kita sama-sama menghadiahkan bacaan surah al-Faatihah dan surah Yaasin kepada Tuan Guru Haji ‘Abdul Lathif bin Haji ‘Abdul Rahman serta mendoakan beliau. Al-Faatihah .....

اللهم اغفر له وارحمه وعافه واعف عنه وأكرم نُزُله . ووسع مُدخلهُ . واغسله بالماء والثلج والبرد ، ونقه من الخطايا كما ينقى الثوب الأبيض من الدنس ، وأبدله داراً خيراً من داره ، وأهلاً خيراً من أهله وزوجاً خيراً من زوجه وأدخله الجنة وأعذه من عذاب القبر  ومن عذاب النار

Semoga patah tumbuh hilang berganti …. Biarpun yang tumbuh atau yang ganti itu tidak sehebat yang telah pergi ………

Al-Fagir memohon ampun maaf andaikata ada kesalahan atau kesilapan fakta. Semoga para pengunjung sudi untuk membetulkannya.


Sekian dari,
Al-Fagir Abu Zahrah al-Qadahi
Taman Seri Gombak
Dhuha, 25 Syawwal 1431/4 Oktober 2010

Pak Teh sholat jenazah di kubur Ustaz Bukhari Harun - 10 Ramadhan.


Saturday, July 18, 2009

Permata dari Bagan Datoh, Perak Darul Ridwan - Tuan Guru Haji Ghazali bin Haji Arsyad

Kelahiran dan asal keturunan: Tuan Guru Haji Ghazali bin Haji Arsyad bin Muhammad Rasyid bin Syaikh Haji Mansur, dilahirkan di Kampung Pasir Panjang Laut, Setiawan pada jan 7 pagi, 13 Rabiulakhir 1319H bersamaan tahun 1901. Ibu beliau bernama Hajjah Puteri Madinah bin Haji Mat Saman (digelar sebagai Tok Janggut kerana berjanggut panjang dan beliau adalah keturunan dari Megat Terawis, seorang pahlawan Perak yang terbilang). Menurut Ustazah Hajjah Mahmudah binti Tuan Guru Haji Ghazali, Syaikh Haji Mansur berasal dari Yaman dan makam beliau ada di Kampung Sungai Nipah, Teluk Intan.



Pendidikan: Sejak lagi diasuh oleh kedua orang tuannya membaca al-Quran. Pada ketika berusia 7 tahun, dihantar belajar di sekolah Melayu Pasir Panjang. Setelah tamat darjah 5 (darjah tertinggi pada ketika itu), beliau memulakan pengajian pondok di Pondok Bagan Ulu, Pantai Merdeka, di bawah pimpinan seorang ulama besar Kedah iaitu Tuan Guru Tuan Hussin Kedah. (Nama penuh beliau, Hussin bin Muhammad Nasir bin Muhamad Thayyib bin Mas’ud, keturunan dari Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari. Tuan Hussin wafat pada 18 Dhulqaedah 1354/10 Februari 1936. Tuan Guru Tuan Hussin Kedah sering beralih pondok, dari pondok Titi Gajah [pondok diasas oleh datuknya] – Pondok Bohor – Pondok Bagan Ulu, Pantai Merdeka – Selengkoh, Sungai Limau, Yan – Padang Lumat dan terakhir di Pokok Sena, Seberang Perai).

Setelah itu beliau memondok di pondok Tuan Guru Haji Salleh Masri di Tanah Liat, Bukit Mertajam, Seberang Perai selama 5 tahun. Sebagaimana tradisi menuntut ilmu ketika itu bahwa tidak sempuna keilmuan seseorang sekiranya tidak melanjutkan pelajaran ke Mekah, maka pada tahun 1922 beliau seterusnya belayar ke Mekah untuk menyambung pelajarannya disana. Beliau belajar di Madrasah Shaulatiyyah, sebuah pusat pengajian yang terkenal di Mekah pada masa itu. Selepas empat tahun, beliau lulus Syahadah Nihayah pada 1926. Walaubagaimanapun Tuan Guru Haji Ghazali tidak terus pulang, sebaliknya menyambung pengajian dalam halaqah ulama’ di sekitar Masjidilharam.

Selain itu beliau juga belajar daripada ulama-ulama yang mengajar disekitar Masjidilharam. Beliau menuntut ilmu di Mekah selama lebih dari 10 tahun kerana kata beliau: Ana mengaji di Mekah selama 11 kali musim haji.

Guru-guru beliau di Mekah: Setelah sekian lama bermukim di bawah lindungan Ka’bah, tersenarailah beberapa orang ulama yang menjadi guru beliau, yang antaranya;
  • Syaikh Hasan Masyath – dalam ilmu hadits (gambar sebelah)
  • Syaikh Wan Ismail bin Wan ‘Abdul Qadir al-Fathani (Pa’ Da Eil) – ilmu-ilmi alat, hadits ,falak, nahwu dan balaghah (gambar di bawah)
  • Syaikh ‘Ali Maliki – Fiqh Maliki dan balaghah
  • Syaikh Ahmad Khurasan (tinggal bersamanya selama 2 tahun di Thaif sekaligus menjadi khadim dan anak angkat gurunya) – nahwu, munadzarah, mustholah hadits, ushuluddin dan ushul fiqh)
  • Tuan Guru Haji ‘Abdurrahman bin Haji ‘Abdullah, Merbok
  • Syeikh Harun Kambang Minangkabau – Falak/Miiqaat
  • Sayyid Hussin ‘Abdunnabi – Tasauf
  • Syaikh Ibrahim Zaidan – ilmu gerhana
  • Syaikh Mukhtar ‘Atarid Bogor

(Gambar disebelah adalah Tuan Guru Haji Wan Ismail bin Wan 'abdul Qadir al-Fathani al-Makki @ Pak Da Eil)

Teman-teman beliau semasa di Mekah: Menurut Tuan Guru Haji Ghazali, antara teman-teman beliau semasa di Mekah adalah:
  • Tuan Guru Haji Nik ‘Abdullah bin Haji Wan Musa (teman paling rapat)
  • Tuan Guru Haji Nik Mat Nadzir bin Haji Wan Musa
  • Syaikh Muhammad Salleh bin Muhammad Yusuf Kenali @ Tok Kenali
  • Dato Hj Muhamad Nor Ibrahim (Mufti Kelantan, wafat pada tahun 1987)
  • Tuan Guru Haji Mokhtar bin Haji Ahmad ( adik kepada Tuan Guru Haji ‘Abdullah Thahir Bunut Payong)
  • Tuan Guru Haji Ahmad, Besut
  • Tuan Guru Haji Ahmad bin Muhammad Yusuf Kenali @ Tok Kenali
  • Tuan Guru Haji Muhammad Zain Noh, Bukit Mertajam
  • Tuan Guru Haji Hussin Haji Sholeh, Langgar, Kedah

Selain belajar, beliau juga turut mengajar ketika di Mekah. Salah seorang dari murid beliau adalah Tuan Haji Salim bin Idris dan abangnya Haji Sufian. (Tuan Guru Haji Salim bin Idris bin Siddiq Minangkabau berasal dari Kg. Telok Penadah, Telok Intan. Membuka madrasah di Kg. Pekan Kecil, Tapah Road dan mengasaskan masjid Tapah Road)


Membuka pondok: Menurut cerita dari beliau sendiri, sekembalinya beliau dari Mekah pada tahun 1930, beliau tidak terus membuka pondok, sebaliknya beliau ke pondok Tuan Guru Tuan Hussin Kedah di Pokok Sena untuk menyambung pengajiannya dengan Tuan Guru Tuan Hussin Kedah. Semasa di Pondok Pokok Sena lah, beliau rapat dengan Tuan Guru Haji Ahmad bin Tuan Hussin Kedah dan Tuan Guru Haji Nuruddin Sungai Keli.


Gambar Hiasan - Pengajian Secara Halaqah

Setelah sekian lama menuntut ilmu, akhirnya tibalah masa beliau mengembangkan ilmunya dengan membuka pondok, iaitu pada tahun 1932 dengan nama Madrasah ad-Diniyah di Kampung Matang Kunda, Bagan Datoh iaitu di rumah mentuanya. Madrasah ini pada asalnya hanyalah sebuah bangsal kecil kenduri perkahwinannya dengan Puan Hajah Zabedah binti Haji Salleh, anak seorang hartawan tempatan. Lantaran sokongan moral dan material yang dihulurkan oleh abang iparnya, iaitu Haji Arsyad bin Haji Salleh terhadap penubuhan madrasah berkenaan telah mengilhamkan Tuan Guru Haji Ghazali menamakan ‘Madrasah Irsyadiah Diniyah’ ke atas institusi tersebut kerana mengambil sempena nama abang iparnya yang berjasa itu.

Setelah madrasah ini kian berkembang, maka pada tahun 1935 ia berpindah ke sebidang tanah wakaf di suatu tempat yang dipanggil Hujung Matang (kini dikenali sebagai Batu 26, Bagan Datoh).

Sistem pengajian di Madrasah Irsyadiah mengikut pengajian sistem pondok. Para pelajar duduk secara halaqah, bersila mengelilingi guru yang mengajar. Pelajar pondok ini bukan sahaja dari sekitar negeri Perak, bahkan juga dari Kedah, Perlis, Kemboja, Selangor dan Sumatera.

Di Madrasah Irsyadiah, Tuan Guru Haji Ghazali mengajar ilmu-ilmu alat seperti nahu, shorof, mantiq, ushul fiqh dan fiqh. Menurut Hajjah Mahmudah binti Tuan Guru Haji Ghazali, bidang ilmu yang Tuan Guru Haji Ghazali amat gemari ilah nahu, shorof, fiqh, balagah dan tasauf.


Pada zaman kegemilangannya, pondok yang diasaskan oleh Tuan Guru Haji Ghazali mempunyai lebih kurang 300 orang pelajar yang datang dari pelbagai negeri.

Menurut Tuan Guru Haji Hasyim bin ‘Abdul ‘Aziz Kajang, (gambar sebelah) antara murid kanan Tuan Guru Haji Ghazali yang menjadi kepala tela’ah waktu itu ialah Ustaz ‘Abbas bin Haji Muhmmad Saman, Syaikh Mahmud bin Haji ‘Abdullah Janggut Merah, Kedah dan Megat Hussin.

Madrasah ini ditutup tatkala Tanah Melayu di datangi tentara Jepun iaitu pada 1942 ekoran meletusnya Perang Dunia Kedua, dimana keluarga beliau berpindah ke Sungai Manik, Teluk Intan. Pada 1946, madrasah ini dibuka semula dan menerima pelajar dari seluruh negara.

Perkembangan seterusnya, pada 1960, Haji Ghazali telah mengetuai jawatankuasa yang dianggotai oleh pelajar-pelajar untuk mencari dana bagi membina bangunan baru. Akhirnya pada 1970 madrasah ini berwajah baru dengan nama Sekolah Menegah Agama Irshadiyah Persendirian. Menurut menantu Tuan Guru Haji Ghazali. Ustaz Haji Muhammad Hasyim (tokoh Ma’al Hijrah Perak 1419H dan merupakan suami kepada Ustazah Mahmudah), Madrasah Irsyadiah ini telah mengalami perubahan dari sistem pondok kepada sistem persekolahan mulai tahun 1968. Dimana pelajaran akademik seperti Sains, Sejarah dan sebagainya diserapkan, tetapi masih mengekalkan sistem pondok pada pelajaran sebelah petang dan malam. Ketika ini pentadbiran pondok diserahkan oleh Tuan Guru Haji Ghazali kepada menantu beliau.

Seterusnya menjadi agama persendirian pada tahun 1970 dengan nama Sekolah Menengah Agama Irsyadiah Persendiriran. Perubahan ini termasuklah menawarkan dwi-pembelajaran iaitu bahagian ‘Arabiah yang diajar pada sesi pagi dan bahagian akademik di sebelah petang. Pendidikan ‘Arabiah diajar sehingga peringkat Sijil Tinggi Agama (Syahadah Tsanawi) dan diiktiraf oleh universiti-universiti Timur Tengah khususnya al-Azhar, Mesir. Manakala pendidikan akademik pula serupa dengan sistem sekolah menengah kerajaan yang menyediakan pendidikan menengah rendah hingga ke peringkat menengah atas yang diwujud berdasarkan daya usaha Kesatuan Pelajar-pelajar Islam Perak.

Dan mulai tahun 1998, ia bertukar nama kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Isyadiyah, seleas diambil alih oleh Kementerian Pendidikan.

Murid-murid Tuan Guru Haji Ghazali: Saking hebat dan ‘alimnya Tuan Guru Haji Ghazali, maka tersenarailah beberapa orang murid beliau yang berjaya, berkat dari didikan dan tarbiyah beliau, antaranya:
  • Tuan Guru Haji ‘Ali Kemboja (mufti Kemboja)
  • Tuan Guru Haji ‘Abbas bin Haji Muhammad Saman (mudir Madrasah ‘Aziziah, Parit)
  • Dato’ Haji ‘Abdul Malek (mufti Perak)
  • Tuan Guru Haji Ghazali ‘Abdullah Senggora (Qadhi Besar Selangor/Perak)
  • Ustaz Haji ‘Abdul Halim (Qadhi Besar Perak)
  • Tuan Guru Haji ‘Abdul Shamad Noh (ahil Majlis Fatwa Perak/ Ketua Dewan Ulama PAS)
  • Drs Ahmad bin Tuan Guru Haji Ghazali (anak beliau)
  • Ustazah Mahmudah bin Tuan Guru Haji Ghazali (anak beliau)
  • Brig. Jen (B) Dato’ Haji ‘Abdul Hamid Zainal ‘Abidin
  • Dato’ Haji Salleh Haji Ahmad
  • Ustaz Haji Ahmad Ghazali (pesara Qadhi Besar Perlis)
  • Tuan Guru Haji Muhammad Hasyim bin ‘Abdul ‘Aziz ar-Rawi, Kajang (Pondok Jenderam Hilir)
  • Tuan Guru Haji Hasyim Abu Bakar (Mudir Pondok Pasir Tumboh, Kelantan) - gambar diatas
  • Tuan Guru Syaikh Mahmud Janggut Merah, Bukit Besar, Kota Sarang Semut, Kedah
  • Ustaz Ahmad Khayat (menantu)
  • Dr. Abdul Wahab Arbain
  • Dato’ Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Menteri Pertahanan sekarang)
  • Kiyai Haji Hasan Ma’sum (mufti Sumatera)
Menurut Tuan Guru Haji Ghazali, muridnya yang plaing ‘alim adalah anak beliau sendiri, sebagaimana kata beliau: "Antara murid ana yang paling ‘alim ialah anak ana sendiri, isteri Hasyim, [Ustazah] Mahmudah, tetapi apa boleh buat, perempuan, langkah tidak luas”.

Khidmat: Sebagai seorang ulama yang berpandangan luas, Tuan Guru Haji Ghazali sering menjadi rujukan lain-lain ulama yang ingin mendapat fatwa berkaitan sesuatu masalah. Bahkan Jabatan Agama Islam Perak turut mengiktiraf Tuan Guru Haji Ghazali sebagai pakar rujuk untuk persoalan agama. Umpamanya pada tahun 1976, Tuan Guru Haji Ghazali dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Menilai Darjah Kealiman Calon-calon Mufti Kerajaan Negeri Perak. Namun sebelum itu, semasa pemerintahan Sultan Alang Iskandar, Sultan Perak ke-30 (baginda adalah seorang sultan yang sangat menghormati ulama) pernah melantik Tuan Guru Haji Ghazali menganggotai Ahli Mesyuarat Ulama Perak.

Kemasyarakatan: Dalam mengembangkan dakwah Islamiah, Tuan Guru Haji Ghazali membahagikan gerak-kerja pelaksanaan dakwah kepada dua jurusan. Pertama, dakwah khas yang dipanggil khassah dan yang kedua dakwah am yang dikenali sebagai ammah. Pun begitu bagi Tuan Guru Haji Ghazali, khassah lebih diyakininya berpotensi melahirkan masyarakat Islam moden berbanding ammah kerana ia menekankan pendidikan yang bertubi kali. Dalam hal ini, Tuan Guru Haji Ghazali berpegang kepada falsafah tersendiri dalam pelaksanaan dakwah. Kata beliau: Penuntut agama adalah umpama setandan buah kelapa, ada yang gugur dibuat gulai untuk orang lain dan ada juga yang gugur dan bercambah. Yang dibuat gulai itu menunjukkan kurang tersebar ilmunya manakala yang bercambah pula bagi orang yang dapat menyebarkan ilmunya sehingga dapat melahirkan para ilmuan.”

Sebenarnya, Tuan Guru Haji Ghazali memiliki kemahiran dalam ilmu balaghah, mantik, falak, tafsir, hadits dan fiqh. Justeru itu, dia pernah ditawarkan sebagai guru agama kepada Sultan Iskandar Shah dalam tahun 1935 tetapi beliau menolak secara terhormat kerana “anak kandung yang paling disayanginya” iaitu Madrasah Irsyadiah memerlukan bimbingan serta kepimpinannya tambahan pula ia baru sahaja ditubuhkan. Kemudian sekali lagi pada tahun 1964 Tuan Guru Haji Ghazali ditawarkan jawatan Mufti Perak atas restu Sultan Idris Shah II tetapi ditolaknya juga secara lembut kerana Sekolah Agama Irsyadiah perlukan komitmennya yang khusus demi perkembangan seterusnya.

Rakan-rakan seperjuangannya yang bersama-sama menyemarakan negeri Perak dalam bidang pendidikan dan dakwah ialah Kiyai Muhammad Yasin Thoha al-Bakri (Bagan Datoh), Tuan Guru Haji Abdul Rahman (Teluk Penikam), Tuan Guru Kiai Radin Haji Siraj (Sg. Nipah Darat), Tuan Guru Hajij Abdullah (Sg. Nipah Baroh), Tuan Guru Haji Abbas (Sg. Tiang Darat), Tuan Guru Haji Masduki, Tuan Guru Haji Radzi (Selekoh), Tuan Guru Syaikh Haji Arshad (Batu 20), Tuan Guru Haji Adnan (Tg Bayan) dan Tuan Guru Syaikh Zubir (Kuala Kangsar).

Politik: Haji Ghazali juga terlibat dalam kegiatan politik semenjak di Mekah lagi. Beliau sebagai pelajar lepasan Madrasah Shaulatiyah mempunyai semangat antipenjajah yang kuat. Kerana itu, beliau mendukung perjuangan Hizbul Muslimin pada 1948 dan terlibat secara aktif dalam Majlis Ulama Hilir Perak. Majlis ini bertanggungjawab mencadangkan kepada Umno supaya mengadakan Persidangan Ulama Se-Malaya pada 1950. Setelah Persatuan Ulama Se-Malaya ditubuhkan pada 23 Ogos 1951, Tuan Guru Haji Ghazali menjadi salah seorang pengasas PAS apabila beliau turut menyertai Persidangan Persatuan Ulama Se-Malaya di Butterwoth pada 24 November 1951. Dalam persidangan ini nama persatuan ini diubah kepada Persatuan Islam Se-Malaya (PAS).

Tuan Guru Haji Ghazali tidak pernah memegang jawatan tinggi dalam parti PAS kerana lebih memberikan tumpuan kepada madrasahnya. Namun begitu, beliau telah menjadi tempat rujukan pimpinan PAS dalam hukum-hakam agama. Pada 1962, beliau dilantik menganggotai Jawatankuasa Tarjih Dewan Ulama PAS Pusat, iaitu sebuah jawatankuasa yang bertanggungjawab dalam soal hukum agama seumpama majlis fatwa PAS.

Anugerah: Atas sumbangan jasanya dalam bidang kemasyarakatan terutamanya di dalam konteks pendidikan dan penyebaran dakwah Islamiyah, Tuan Guru Haji Ghazali telah 1989 dianugerahkan sebagai Tokoh Ulamak Silam oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), diikuti oleh anugerah Tokoh Maal Hijrah Hilir Perak (1989) dan telah dinobatkan sebagai Tokoh Ma’al Hijrah Negeri Perak pada tahun 1990. Dan seterusnya di anugerahkan pingat Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP) daripada Sultan Perak yang membawa gelaran Dato’ pada 1992. Sesungguhnya anugerah yang diterima hanyalah merupakan sekalung penghargaan dan pengiktirafan insitituti pengajian tinggi, masyarakat dan pemerintah di atas segala jasa, sumbangan dan pengorbanan beliau setelah berjuang sepanjang hayat sebagai pendidik dan pendakwah yang disegani walaupun pada hakikatnya beliau tidak meminta itu semua.


Kewafatan: Ulama yang berjasa menghembuskan nafasnya yang terakhir pada hari Sabtu, 3 Muharram 1418H bersamaan 10 Mei 1997 jam 1.30 petang dalam usia 98 tahun 10 bulan hijriyah. Beliau meninggal dunia kerana sakit tua.

Demikianlah sekelumit biografi ulama kita. Semoga Allah Ta'ala sentiasa mengasihi dan merahmati serta mengurniakan sebaik-baik ganjaran ke Tuan Guru Haji Ghazali dan menghimpunkan beliau dikalangan para kekasihNya. Al-Faatihah ....



Mudah-mudahan dengan paparan biografi ini menjadi inspirasi kepada kita untuk terus memperjuangan apa yang telah diperjuangkan oleh ulama kita.

Sekian dan salam hormat dari al-Haqir Abu Zahrah ‘Abdullah Thahir al-Qedahi. Catatan ini disempurnakan pada hari Rabu, 28 Rabiul Awwal 1430/25 Mac 2009 di teratakku di Gombak.


Sumber rujukan:

  • Majalah Pengasuh Bil. 570 dibawah kolum Tokoh Ulama Semenanjung Melayu oleh Muhammad Rushdi ‘Abdul Malik al-Kalantani
  • Fatimah Abu Bakar, Hj.Ghazali Gigih Berdakwah (Berita Perak, Nov-Dis.1989); Kertas Kerja : Sejarah Perak dalam Kebangkitan Ulama, (Jabatan Agama Islam Perak,1983)
  • Zabidin Haji Ismail, Transkrip Biodata Penerima Anugerah Ma’al Hijrah 1414 Daerah Hilir Perak sempena Majlis Anugerah Maal Hijrah Peringkat Daerah Hilir Perak pada 19 Ogos 1993 (http://zabidin13.wordpress.com)
  • Website Dewan Ulamak PAS



Related Posts with Thumbnails