Thursday, December 9, 2010

Syeikh 'Abdul Hamid Kudus: Pengajar dan Imam di Masjidilharam


Pendahuluan: Suatu ketika dahulu, di Tanah Haram Makkah, ramai ulama Melayu yang menempa nama disana. Kedudukan dan kemashyuran mereka setanding dengan ulama dari tanah ‘arab. Di antara mereka adalah Syeikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathani, Syeikh Arsyad al-Banjari, Syeikh ‘Abdus Shmad al-Falimbani, Syeikh Nawawi al-Bantani, Syeikh Khatib Sambas, Syeikh Mahfuz Termas, Syeikh Abdul Hamid Kudus, Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, Sayyid Muhsin al-Musawi al-Falimbani, Syeikh Muhammad Mukhtar bin Atharid al-Bughri, Syeikh Yasin bin Isa al-Fadani dan ramai lagi. Ada dikalangan mereka yang menjadi pengajar, khatib dan imam di Masjidilharam.

Salah seorang ulama besar yang al-Fagir ingin perkenalkan kali ini adalah Syeikh Abdul Hamid. Seorang ulama besar yang menjadi pengajar dan juga imam mazhab Syaf’ie di Maqam Ibrahim, Makkah.

Latar belakang: Nama tubuh beliau adalah ‘Abdul Hamid bin Muhammad ‘Ali Qudus/Kudus bin ‘Abdul Qadir al-Khathib bin ‘Abdullah bin Mujir Qudus/Kudus. Beliau lahir di kota Makkah. Tarikh lahir seperti yang tersebut di dalam al-Mukhtashar Min Nasyr an-Nur wa az-Zahar ialah 1277H/1860M, dan di dalam Siyar wa Tarajim dinyatakan lahir pada 1280H/1863M. Manakala dalam kitab Kanz an-Najah wa as-Surur, pada bahagian biografi beliau, dinyatakan beliau lahir pada tahun 1277H atau 1278H di rumah ayah beliau berdekatan Bab Daribah (yakni salah satu daripada pintu-pintu Masjidil Haram). Asal-usul keluarga beliau adalah dari Hadramaut, yang kemudiannya berhijrah ke Indonesia.

Pendidikan: Beliau mendapat pendidikan awal daripada ayahanda beliau, Syeikh Muhammad ‘Ali Qudus (wafat 1293H di Makkah). Sejak kecil menghafaz al-Quran dan terlatih dengan banyak matan pelbagai bidang ilmu. Matan-matan yang dihafalnya sejak kecil ialah Matan al-Ajrumiyah, Matan al-Alfiyah, Matan ar-Rahbiyah, Matan as-Sanusiyah, Matan as-Sullam dan Matan az-Zubad.

Seterusnya, ayahanda beliau meyuruh beliau belajar daripada ulama-ulama besar Makkah di halaqah-halaqah mereka di Masjidil Haram. Selain dari Makkah, beliau juga belajar di Mesir. Menurut al-Muarrikh Tuan Guru Haji Wan Muhammad Shahgir di dalam penulisan beliau mengenai tokoh ini: Manakala Syeikh Ahmad al-Fathani telah merintis jalan mulai belajar di Masjid Jamik al-Azhar (tahun 1290H/1872M), Syeikh Abdul Hamid Kudus mengikuti langkah “rais thala’ah”/ketua telaah (tutor)nya itu belajar di tempat yang sama (1300H/1882M). Syeikh ‘Abdul Hamid Kudus merupakan generasi yang kedua mahasiswa dunia Melayu yang belajar di al-Azhar, sesudah Syeikh Ahmad al-Fathani, sejak itu beliau sentiasa pulang pergi antara Makkah dan Mesir dalam urusan tertentu yang ada kaitannya dengan kerja-kerja Syeikh Ahmad al-Fathani. (Koleksi Ulama Nusantara, Jilid 2, halaman 87)


Guru-guru beliau: Beliau belajar dan bersuhbah dengan ramai ulama besar Makkah, Madinah, Mesir dan Syria serta memperoleh ijazah khusus dan umum daripada mereka. Beliau juga diberi keizinan oleh ulama-ulama tersebut untuk mengajar di Masjidilharam dan di rumahnya. Antara guru-guru beliau:
  1. Ayahanda beliau sendiri, Syeikh Muhammad ‘Ali Kudus (wafat 1293H di Makkah). Beliau belajar membaca al-Quran, ilmu-ilmu asas dan menghafal matan. Selain itu beliau belajar Syarah al-Ghayah wa at-Taqrib, Syarah al-Ajrumiyyah.
  2. Al-Imam Syeikhul Islam as-Sayyid Ahmad bin Zaini Dahlan al-Hasani al-Jilani al-Makki, Mufti Syafi’iyyah di Makkah (wafat 1304 di Madinah). Dari tokoh ulama ini, beliau mempelajari pelbagai bidang ilmu. Antara kitab yang dipelajari: Tafsir al-Baidhawi, Ihya Ulumiddin, Jam’ul Jawami` dan lain-lain.
  3. As-Sayyid Umar Syatha (wafat 1331H). Antara kitab yang dipelajari: Syarah al-Kufrawi ‘ala al-Ajrumiyyah, Matan BaFadhal yakni Muqaddimah al-Hadhramiyyah, Umm al-Barahin, Matan Jauharah, Matan Zubad, Alfiyyah Ibn Malik. Selain itu beliau juga diijazahkan perbagai wirid dan hizib dan juga Dalailul Khairaat.
  4. As-Sayyid Utsman Syatha (wafat 1290H). Syeikh Abdul Hamid Kudus mempelajari kitab Hasyiah al-‘Asymaawi ‘ala al-Ajrumiyyah dan Syarah al-Ghaayah dalam ilmu fiqih.
  5. As-Sayyid Bakri Syatha - pengarang kitab I’anah at-Thalibin (wafat 1310H). Merupakan guru utama beliau. Dari tokoh ini beliau mempelajari pelbagai bidang ilmu. Beliau mengatakan bahwa, beliau beroleh futuh hasil dari bimbingan guru kesayangan beliau ini. Dan beliau telah mengarang kitab mengenai biografi guru beliau ini berjudul Kanzul `Atha fi Tarjamah al-'Allamah as-Saiyid Bakri Syatha
  6. Al-‘Allamah as-Sayyid Mufti Makkah al-Habib Hussin bin Muhammad bin Hussin al-Habsyi (beliau adalah saudara al-Habib ‘Ali bin Muhammad bin Hussin al-Habsyi, shohib Maulid Simtud Durar. Wafat 1330H). Syeikh Abdul Hamid Kudus belajar Shahih Muslim bi Syarh an-Nawawi di Thaif pada tahun 1314H. Dari ulama ini Syeikh Abdul Hamid Kudus telah dipakaikan khirqah shufi dan ditalqinkan dhikir. Dan beliau juga diberi ijazah ‘ammah. Dan Syeikh Abdul Hamid Kudus ada menulis kitab tentang guru beliau ini berjudul مواهب المعيد المنشي في مآثر العلامة السيد حسين بن محمد بن حسين الحبشي
  7. Al-‘Allamah as-Sayyid Muhammad bin ‘Abdul Baqi al-Ahdal
  8. Al-‘Allamah as-Sayyid Sulaiman bin Muhammad bin ‘Abdurrahman al-Ahdal, Mufti Besar Zabid (wafat 1305H)
  9. Al-‘Allamah al-Faqih an-Nahrir asy-Syeikh ‘Abdul Hamid ad-Daaghistani asy-Syirwani – pengarang kitab Hasyiah ‘Ala Tuhfah al-Muhtaj (wafat 1301H)
  10. Asy-Syeikh al-‘Allamah Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Mufti Makkah (wafat 1335) - Syeikh Abdul Hamid Kudus pula adalah orang kepercayaan Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki
  11. Al-‘Allamah Muhammad Abu Khidhir ad-Dumyathi al-Madani
  12. Asy-Syeikh al-Adiib ‘Abdul Jalil Baradah al-Madani (wafat 1327H)
  13. Asy-Syeikh as-Sholeh Sidi Marjan ash-Shaghir al-Madani (wafat 1304H) – darinya Syeikh Abdul Hamid Kudus ditalqinkan dhikir Thariqat Khalwatiyah. Asy-Syeikh as-Sholeh Sidi Marjan ash-Shaghir menerima thariqah Khalwatiyyah daripada Syeikh Ahmad ash-Showi dan beliau menerima daripada Syeikh Ahmad ad-Dardir. Syeikh Abdul Hamid Kudus juga menerima thariqah Khalwatiyyah daripada masyaikh lain sepertimana yang beliau sebut di dalam kitabnya Al-Futuhat al-Qudsiyah.
  14. Asy-Syeikh ‘Abdurrahman asy-Syarbini (wafat 1326H)
  15. Asy-Syeikh Ahmad ar-Rifai (wafat 1325H)
  16. Asy-Syeikh al-‘Allamah Yusuf bin Ismail an-Nabhani (wafat 1325H di Beirut)
  17. Asy-Syeikh al-‘Allamah al-Faqih Umar bin Abu Bakar BaJunaid (wafat 1324H di Makkah)
  18. Asy-Syeikh al-‘Allamah ‘Abdurrahman al-Hanafi
  19. Asy-Syeikh al-‘Allamah al-Faqih Sa’id Yamani al-Khalidi al-Makki

Setelah mempelajari pelbagai bidangi ilmu dan mendapat keizinan untuk mengajar, Syeikh Abdul Hamid Kudus mula mengajar di Masjidilharam dan juga di rumah beliau. Ramai penuntut ilmu yang menghadiri halaqah beliau. Antara murid-murid beliau:
  1. Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh ‘Abdul Hamid Kudus (wafat 1360H di Makkah)
  2. Syeikh ‘Ali bin Syeikh ‘Abdul Hamid Kudus as-Samarani (lahirkan tahun 1310H/1892M dan wafat pada hari Isnin, 14 Syawal 1363H/1 Oktober 1944M. Selain berguru dengan ayahnya, beliau juga berguru dengan Syeikh Mahfuz Termas dan Syeikh Mukhtar ‘Atarid Bogor – dua ulama besar Melayu yang terkenal di Makkah. Pada tahun 1343H/1925M beliau bersama keluarganya berpindah ke Jawa Timur dan membuka sebuah madrasah disana. Selanjutnya beliau berpindah pula ke Sulawesi untuk menyebarkan ilmu. Menghasilkan sebuah karangan berjudul ar-Raddu ‘ala ar-Rawafidh iaitu sebauh kitab yang menolak golongan Syi’ah)
  3. Asy-Syeikh Abu Bakar bin Muhammad Sa’id BaBashil (wafat 1348H)
  4. Al-‘Allamah as-Sayyid Ahmad Idris bin Muhammad al-Ahdal (wafat 1357H di Zabid, Yaman)
  5. Al-‘Allamah as-Sayyid ‘Abdurrahman bin Muhammad al-Ahdal (wafat 1372H)
  6. Al-Qadhi al-‘Allamah al-Musnid ‘Abdul Waasi’ (wafat 1369H)
  7. Al-‘Allamah al-Habib ‘Ali bin ‘Abdurrahman al-Habsyi Kwitang, Jakarta (wafat 1388H)
  8. Dan ramai lagi

Karya: Selain dari mengajar, Syeikh Abdul Hamid Kudus telah mengarang pelbagai judul dalam banyak disiplin ilmu dan semuanya dalam bahasa Arab. Antara karangan Syeikh Abdul Hamid Kudus adalah sebagai berikut:
  • Irsyad al- Muhtadi ila Syarh Kifayah al-Mubtadi, diselesaikan sesudah Dzuhur, hari Khamis, 3 Muharam 1306H. Kandungannya membicarakan aqidah dan ia merupakan syarah daripada karya ayahnya, Syeikh Muhammad Ali Kudus. Dicetak oleh Mathba'ah al-Maimuniyah, Mesir, Ramadhan 1309H. Di bahagian tepinya dicetak matan karya ayahnya, Syeikh Muhammad Ali Kudus tersebut. Ditashih oleh Muhammad az-Zahari al-Ghamrawi.
  • Al-Anwar as-Saniyah `ala ad-Durar al-Bahiyah, diselesaikan pertengahan Rabiulakhir 1311H. Kandungannya membicarakan aqidah, fiqih dan tasawuf. Merupakan syarah daripada karya gurunya Sayyid Abi Bakar Syatha. Cetakan pertama, Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah Makkah, 1313H.
  • Fath al-Jalil al-Kafi bi Mutammimah al-Matn al-Kafi fi `Ilm al-`Arudh wa al-Qawafi, diselesaikan pada hari Isnin, 19 Rabiulawal 1313H. Kandungannya membicarakan ilmu ‘arudh dan qawafi atau kesusasteraan Arab. Dicetak oleh Mathba'ah al-Husainiyah al-Mashriyah, milik Muhammad Abdul Lathif Khathib, 1325H. Kata pujian oleh Sayid Ahmad Bik al-Huseini, Muhammad Musa al-Bujiraimi as-Syafi'ie di al-Azhar, Muhammad al-Halaby as-Syafi'ie di al-Azhar dan Ahmad ad-Dalbasyani al-Hanafi di al-Azhar. Ditashih oleh Muhammad az-Zahari al-Ghamrawi.
  • Al-Futuuhaat al-Qudsiyah fi Syarh at-Tawassulaat as-Sammaniyah, diselesaikan pada Zuhur, akhir Muharam 1322H. Kandungan pada muqaddimahnya pengarang menyebut bahawa beliau adalah penganut Mazhab Syafie dalam fiqih, Mazhab Abu Hasan al-Asy'ari dalam ‘aqidah, dan penganut Thariqat Khalwatiyah. Sebab-sebab beliau menulis kitab ini adalah atas permintaan Qadhi Muslimin Negeri Surakarta ibu kota Jawa, beliau ialah Al-'Allamah al-Hamam asy Syeikh Raden Tabshirul Anam, supaya menulis syarah matan Al-Qashidah al-Rajziyah yang bernama Jaliyah al-Kurbi wa Manilah al-`Arabi. Pada awal perbicaraan pengarang menyebut tentang sanad-sanad thariqat, di antaranya beliau juga mempunyai hubungan dengan Syeikh Abdus Shamad bin Abdur Rahman al-Falimbani. Dicetak oleh Mathba'ah al-Hamidiyah al-Mashriyah, 1323 H. Taqriz dinyatakan ramai ulama tetapi yang dapat disebut pada akhir karangan hanya dua orang ulama saja ialah Syeikh Jami' Al-Azhar, bernama Syeikh Abdur Rahman asy-Syarbaini asy-Syafi'ie dan Syeikh Muhammad Thumum al-Maliki Al-Azhari.
  • Lathaif al-Isyaaraat ila Syarh Tashiil at-Thuruqaat li Nazham al-Waraqaat fi al-Ushuul al-Fiqhiyaat, diselesaikan pada hari Isnin, 12 Rabiulawal 1326H. Kandungannya membicarakan ilmu ushul fiqih. Terdapat berbagai-bagai edisi cetakan, di antaranya Mathba'ah Dar at-Thiba'ah al-Mashriyah, 54-60 Baserah Street Singapura (tanpa tahun).
  • Kanz an-Najaah wa as-Suraur fi ad-Ad'iyah allati Tasyrah ash-Shuduur, diselesaikan pada hari Jumaat, bulan Safar 1328H. Kandungannya membicarakan berbagai-bagai amalan wirid, doa, zikir dan lain-lain. Cetakan pertama oleh Mathba'ah At-Taraqqil Majidiyah al-'Utsmaniyah, Makkah, 1330 H. Kata pujian oleh Syeikh Muhammad Sa'id bin Muhammad BaBashail, Makkah, Sayyid Husein bin Muhammad bin Husein al-Habsyi, Sayyid Umar bin Muhammad Syatha, Sayyid Muhammad ibnu Sayyid Muhammad ibnu al-Faqih Sayyid Idris al-Qadiri al-Maghribi al-Hasani, Syeikh Muhammad bin Syamsuddin, Syeikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani, dan Syeikh Umar Hamdan.
  • Risalah fi al-Basmalah min Nahiyah al-Balaghah.
  • Manzhumah fi al-Adab wa al-Akhlaq li al-Islamiyah.
  • Thali'us Sa'di ar-Rafi' fi Syarh Ilm al-Badi'.
  • Fiqh Rubu' `Ibadat.
  • Nubzah fi at-Tashawwuf.
  • Ad-Durrah ats-Tsaminah fi al-Mawadhi' allati tusannu fiha ash-Shalah `ala Shahib as-Sakinah.
  • Tasythir al-Mudharriyah fi ash-Shalah `ala Khair al-Bariyah.
  • Majmu' Bulugh al-Maram fi Maulid an-Nabiyi Shallalahu `alaihi wa Sallam
  • Raja' Nail al-As'ad wa al-Qabul fi Madah Saiyidatina az-Zahra' al-Batul.
  • Bulugh as-Sa'di wa al-Amniyah fi Madah Umm al-Mu'minin al-Mabra-ah ash-Shiddiqiyah.
  • Al-Jawahir al-Wadhiyah fi al-Adab wa al-Akhlaq al-Mardhiyah.
  • Az-Zakhair al-Qudsiyah fi Ziyarah Khair al-Bariyah صلى الله عليه وآله وسلم.
  • At-Tuhfah al-Mardhiyah fi Tafsir al-Quran al-'Azhim bi al-'Ajamiyah
  • Dhiya asy Syams adh-Dhahiyah ‘ala al-Hasanaat al-Maahiyyah.
  • Maulidun Nabiyi Shallalahu `alaihi wa Sallam.
  • Kanz al-`Atha fi Tarjamah al-'Allamah as-Saiyid Bakri Syatha.
Syeikh 'Abdul Hamid Kudus mempunyai perpustakaannya sendiri, di mana mengandungi sejumlah lebihkurang 1,820 buah kitab dalam pelbagai bidang seperti tafsir, hadits, figih, bahasa arab, sastera arab dan lain-lain.

Meninggal dunia: Syeikh Abdul Hamid Kudus wafat di Makkah al-Mukarramah pada tahun 1334H/1915M. Beliau menutup umur pada usia lebihkurang 57 tahun dan dimakamkan di Ma’ala, Makkah.

Sekian dari,
al-fagir abuzahrah
khamis, 3 muharram 1432H
rumah, taman seri gombak


Sumber:
1. Koleksi Ulama Nusantara (Jilid 2) (Artikel Bersiri Akhbar Utusan Malaysia) Tahun 2005, terbitan Khazanah Fathaniyah, 1430H/2009M
2. Kanz an-Najaah wa as-Suruur fi al-Ad’iyyah al-Ma`tsurah Allati Tasyrahu ash-Shuduur, Dar al-Haawi, 1430H/2009M

Monday, October 4, 2010

Tuan Guru Dato’ Haji Abdul Latif bin Haji Abdul Rahman: Memartabatkan Institusi Pondok di Perak


Tulisan ini adalah sebagi kenangan atas pemergian Tuan Guru Dato’ Haji Abdul Latif bin Haji Abdul Rahman @ Pak Teh pada hari Khamis , 21 Syawwal 1431H bersamaan 30 September 2010. Walaupun al-Fagir hanya berkesempatan beberapa kali berdamping dan menadah kitab kepada beliau, namun beliau adalah seorang Tuan Guru yang sangat al-Fagir hormati dan kasihi. Beliau seorang yang ‘alim,yang wara`, dan tawadhu. Tulisan ini al-Fagir adalah sebagai menghargai jasa Tuan Guru Haji Abdul Latif bin Haji Abdul Rahman @ Pak Teh di dalam memartabatkan institusi pondok dan usaha beliau mencetak generasi ulama serta perkembangan dakwah negeri Perak khasnya dan Malaysia umumnya. Pondok yang diasasakan oleh beliau di Pengkalan Hulu adalah merupakan satu-satunya pondok tradisional yang masih wujud di negeri Perak.

Tulisan ini al-Fagir himpunkan dari beberapa blog seperti blog Ustaz Nik Nasri, Ustaz ‘Abdul Rauf Tampin, Ikan Tongkol dan-lain.

Nama tubuh beliau,  Abdul Latif bin Abdul Rahman. Anak jati kelahiran Kampung Kuak Hulu, Pengkalan Hulu. Beliau dilahirkan pada tahun 1938. Mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Melayu dari tahun 1947 sehingga 1953 dengan menamatkan pengajiannya sehingga darjah lima. Beliau adalah seorang pelajar yang pintar, dan pernah mendapat peluang untuk meneruskan pelajar di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) iaitu sebuah sekolah berasrama yang terkenal. Namun kerana kemiskinannya, beliau tidak meneruskannya.

Setelah itu meneruskan pengajiannya ke peringkat menengah di Sekolah Arab yang dikenali dengan nama Pondok Asam Jawa (mungkin yang pondok di maksudkan Pondok Pokok Asam, Pendang yang di asaskan oleh Tuan Guru Haji Wan Sulong bin Wan Dali – abu zahrah. Wallahu a’lam) di Pendang di antara tahun 1956 sehingga 1959. Saking minatnya  yang mendalam pada ilmu agama, pada peringkat awal lagi beliau mula menghafal kitab-kitab agama di bawah bimbingan Ustaz Umar Mohammad Noh. Dan sememangnya beliau adalah seorang yang kuat menghafal matan-matan. Begitulah al-Fagir pernah diberitahu oleh individu-individu yang mengenali beliau dari dekat.

Gambar hiasan sahaja

Pencarian ilmu beliau tidak terhenti disitu, beliau seterusnya meneruskan pengajiannya di sebuah pondok yang tersohor di Kelantan iaitu Pondok Terusan Limbat Pasir Tumboh. Beliau adalah merupakan diantara generasi awal Pondok Pasir Tumboh. Di sini beliau berguru langsung dengan pengasas pondok tersebut iaitu Tuan Guru Haji Musthafa bin Haji Abu Bakar bin Haji Abdul Latif bin Abdul Ghani dan Tuan Guru Haji ‘Abdul Aziz bin Haji Abu Bakar bin Haji Abdul Latif bin Abdul Ghani (1923 – 1987). Beliau juga berguru dengan Tuan Guru Haji Hasyim Abu Bakar yang merupakan adik ipar kepada  Tuan Guru Haji Musthafa bin Haji Abu Bakar dan Tuan Guru Haji ‘Abdul Aziz bin Haji Abu Bakar.

Tuan Guru Haji Abdul Latif bin Haji Abdul Rahman @ Pak Teh menuntut ilmu di pondok Pasir Tumboh dari tahun 1959 – 1967. Pak Teh sempat berguru kepada lebih kurang 20 orang tuan guru dari Kedah, Perak dan Kelantan sepanjang pencarian ilmunya. Diantara tuan guru beliau adalah:-
  • Tuan Guru Haji Musthafa bin Haji Abu Bakar bin Haji Abdul Latif bin Abdul Ghani
  • Tuan Guru Haji ‘Abdul Aziz bin Haji Abu Bakar bin Haji Abdul Latif bin Abdul Ghani (1923 – 1987)
  • Tuan Guru Haji Hasyim Abu Bakar ( penguasa Pondok Pasir Tumboh kini dan sedang uzur)
  • Tuan Guru Haji Mat Saman Kati
  • Tuan Guru Haji Abdul Rahman Ahmad
  • Tuan Guru Haji Sulaiman Mohd Rabik (mungkin yang di maksudkan adalah Tuan Guru Haji Sulaiman bin Ahmad Rabat, Pondok Chegar, Pendang, kerana beliau adalah merupakan tenaga pengajar di pondok tersebut dan seterusnya mengambilalih pondok tersebut setelah ayahandanya, pengasas pondok tersebut meninggal dunia pada tahun 1962 – abu zahrah. Wallahu a’lam)


Membuka pondok: Setelah menamatkan pengajiannya di Pondok Pasir Tumboh, beliau kembali ke kampung halamannya dan membuka pondok beliau sendiri pada tahun 1967. Pada peringkat awal pelajar beliau hanya beberapa orang sahaja. Namun sehingga kini pondok ini telah mengeluarkan ribuan pelajar agama. Uniknya pondok ini, tiada bekalan elektrik di pondok bujang dan muslimat. Pelajar menggunakan lilin atau pelita untuk mentelaah. Bekalan elektrik hanya untuk rumah kelamin sahaja. Manakala kitab-kitab yang digunakan untuk pengajian, adalah kitab-kitab turats sebagaimana yang digunakan oleh pondok-pondok terdahulu. Kitab-kitab turats yang beliau ajar di pondok beliau merangkumi kitab jawi dan ‘arab di dalam pelbagai bidang ilmu.


Antara kitab-kitab turats yang beliau ajar adalah:
  • Tafsir: Tafsir Jalalain, an-Nasafi dan al-Baidhawi (jawi)
  • Hadits: Muwattho`, al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, Ibn Majah, at-Tirmidhi (menggunakan kitab Bahr al-Madhi karangan Syeikh Idris al-Merbawi), Tajridus Shorih, Riyadhus Sholehin
  • Tauhid: Fath al-Majid, Tuhfah al-Murid, Aqidah an-Najin (jawi)
  • Fiqih: Fath al-Qarib,  Fath al-Muin, Fath al-Wahhab, I’anah ath-Tholibin, Tahrir, Mughni Muhtaj, Mahalli, Kifayah al-Akhyar, Iqna, Matan Zubad, Matla’ al-Badrain (jawi), Bughyah at-Thullab (jawi), Sabil al-Muhtadin (jawi), Kasyf al-Litsam (jawi) dan Kifayah al-Muhtadi (jawi)
  • Ushul Fiqih: al-Asybah wa an-Nazair dan Jam’ al-Jawami’
  • Tasawwuf: Minhaj al’-Abidin, an-Nashoih ad-Diniyyah wa al-Washoya al-Imaniyyah dan Sair as-Salikin (jawi)
  • Shorof: al-Kailani, al-Mirah dan Shazz al-Urf
  • Nahwu: Mutammimah, Syeikh Kholid, al-Ashmawi, al-Azhari, al-Qatr an-Nada, Syarah Ibn ‘Aqil, Syuzur al-Zahab, Audhoh Masalik Syarah Alfiyyah Ibn Malik Mughni Labib, Ashmuni, Shobban dan lain-lain
  • Ulum hadits: Mustholah al-Hadits (karangan Sayyid Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki), Taqrirat as-Saniyyah Syarh al-Baiquniyyah
  • Ilmu Tafsir: ‘Atiyyah ar-Rahman
  • Mantiq: ‘Isaghuji

Selain mengajar di pondok beliau, Pak Teh juga mengajar di beberapa tempat lain. Antara kitab yang diajarkan seperti, al-Majmu Syarh al-Muhazzab, al-Asybah wa an-Nazair, Iqna, Hikam syarah Tok Pulau Manis(alhamdulillah al-Fagir bersempatan duduk di pengajian 4 buah kitab ini beberapa kali), Minhajul ‘Abidin dan lain-lain.

Oleh kerana ke’alimannya, maka Pak Teh dilantik oleh Kerajaan Negeri Perak untuk menganggotai Ahli Jawatankuasa Syariah Negeri Perak. Beliau menjawat jawatan tersebut sejak dari tahun 1994 sehinggalah beliau meninggal dunia. Pengetahuannya yang luas dan mendalam khususnya ilmu alat dan kecermatannya dalam mengeluarkan sesuatu usul atau pandangan telah banyak membantu perjalanan Jawatankuasa Syariah dan Majlis Fatwa Perak.

Teman seangkatan: Teman seangkatan dengan beliau, antaranya adalah Tuan Guru Haji ‘Abdul Halim bin Haji Majid Pondok Sungai Jagung, Pendang, Kedah; Tuan Guru Haji Muhammad Lias Pondok Keledang, Temerloh Pahang; Tuan Guru Haji Man Matang Nibung, Pida 3, Jitra Kedah; Tuan Guru Haji Man Imam Masjid Kg Telok, Kepala Batas, Alor Setar Kedah; Tuan Guru Abdullah Sidam; Tuan Guru Haji Sabran Asmawi, Bagan Serai, Perak dan ramai lagi.

Sifat dan keluarganya: Beliau seorang yang wara dan tawadhu. Seorang yang sederhana di dalam aspek kehidupan. Seorang yang bersikap terbuka, tanpa mengira fahaman politik seseorang.  Sangat menghargai masa. Beliau minat dalam bercucuk tanam dan berkebun buah-buahan, iaitu sifat yang beliau warisi daripada ayahandanya. Minatnya itu juga kini tertumpah pada anak-anak muridnya di mana pelbagai jenis tanaman ditanam di pusat pengajian tersebut. Selain dapat memanfaatkan tanah-tanah yang ada, hasil tanaman ini juga dapat memberikan pendapatan sampingan apabila dijual. Antara tanaman yang ditanam seperti ubi kayu, pinang, pisang, nenas, kangkung, bayam, sawi, tebu dan bermacam-macam buah-buahan dan sayur-sayuran termasuk pokok-pokok akar kayu untuk perubatan.


Seorang teman memberitahu al-Fagir, katanya Pak Teh seorang yang lurus dengan niatnya (hasratnya). Kalau beliau sudah berniat untuk ke kebunnya dan di dalam masa yang sama beliau di kunjungi tetamu, maka katanya, Pak Teh akan ke kebunnya sebentar bagi menunaikan apa yang telah beliau niatkan.
Dari segi ‘amalannya, al-Fagir tidak tahu decara pasti tariqat apa yang diamalkan oleh beliau, kerana ada yang berkata Syathariyyah, ada yang kata Samaniyyah. Wallahu a’lam. Namun menurut secara perkiraan al-Fagir, beliau mungkin mengamalkan thariqah Samaniyyah yang diperturunkan melalui guru beliau, Tuan Guru Haji Mat Saman Kati, kerana beliau juga merupakan Penaung Jemaah Thariqat Samaniyyah.

Hasil dari perkahwinannya dengan Mak Teh (nama tubuh, Halimatssa’adiah binti Haji Jusoh), beliau di anugerahkan 10 orang anak, iaitu 7 putera dan 3 puteri.

Meninggal dunia: Sekitar jam 1.00 pagi, hari Khamis , 21 Syawwal 1431H bersamaan 30 September 2010, sekitar jam 1.00 pagi, beliau telah kembali kerahmatuLlah. Ribuan yang hadir untuk menziarahi jenazah beliau. Sholat jenazah pertama diadakan di pondok beliau. Kemudian jenazah dibawa ke Masjid dan disholatkan sekali lagi dengan diimamkan oleh Tuan Guru Haji Salleh Sik. Hampir 5,000 orang yang hadir. MasyaAllah. 

قدمات قوم وماماتت مكارهم * ومات قوم وهم في الناس أحياء
فالجاهلون مواتي قبل موتهم * والعالمون وإن ماتوا فأحياء
Telah mati satu kaum namun tidak mati kemuliaan mereka
Dan telah mati satu kaum, namun mereka hidup diantara manusia
Orang-orang yang jahil, mereka adalah mayat sebelum kematian mereka
Sedangkan para ulama, walaupun telah mati namun mereka tetap hidup (di hati manusia)

Orang ramai membanjiri Pondok Pak Teh untuk menziarahi jenazah beliau

Jenazah Pak Teh di bawa masuk ke dalam masjid untuk disholatkan
Orang ramai penuh sesak di dalam masjid untuk mensholatkan jenazah Pak Teh
Sholat jenazah ke atas Tuan Guru Pak Teh yang diimamkan oleh Tuan Guru Haji Salleh, Sik
Jenazah Pak Teh dibawa ke Masjid, lihat disini

Amanat Pak Teh 2 hari sebelum kewafatannya: Menurut akhi Helmi, Pondok Sik di blog beliau: “Tuan Guru Haji Salleh semasa menziarahi jenazah Pak Teh pagi tadi, ada seorang murid yang rapat dengan Pak Teh memberitahu Tuan Guru Haji Salleh tentang pesanan Pak Teh dalam kuliah 2 hari lepas. Pak Teh berpesan pada murid beliau: “Sekarang kita (pelajar agama) kena pakai (ikut) fatwa yang dihukum Tok Guru Haji Salleh Sik”. Pak Teh berkata seperti itu kerana sudah tiada ahli yang tahqiq (mantap) dalam menguasai ibarat kitab seperti ulama silam. Di sebelah utara semenanjung tokoh ulama yang tahqiq, sangat-sangat kurang dan boleh dikatakan sudah tiada. Oleh kerana itu beliau meminta Tuan Guru Haji Salleh memimpin solat jenazah Pak Teh tadi. Tuan Guru Haji Salleh menceritakan pengalaman beliau dengan Pak Teh. Kata Tuan Guru Haji Salleh: “Pak Teh masa hidup kalau jumpa (bertemu ) aku,dia kira (Pak Teh suka) peluk aku ja la dia.”

Pengiktirafan oleh pemerintah: Pak Teh, Tuan Guru Haji ‘Abdul Lathif bin Haji ‘Abdul Rahman telah dianugerahkan kurniaan Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP) pada 19 April 2004 di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, sempena menyambut ulangtahun hari keputeraan ke bawah duli Sultan Perak ke 76. Penganugerahan ini adalah merupakan pengiktirafan keatas jasa-jasa beliau di dalam memartabatkan agama Islam di negeri Perak.

Demikianlah serba ringkas biografi Pak Teh. Seorang demi seorang ulama kita berpergian, sampai pada akhirnya tidak ada lagi yang dapat mengantikan mereka. Kemarin kita mendapat khabar pemergian Pak Teh, besok entah siapa pula ulama yang akan mengikuti pemergian mereka. Hilangnya mereka susah untuk mendapat pengganti. Kita mampu mengeluarkan beribu-ribu sarjana, kita mampu mengeluarkan beratus-ratus pemikir Islam, tapi apakah kita mampu mengeluarkan ulama-ulama yang alim dan rabbani? Maka akhirnya nanti tinggallah orang-orang bodoh yang mengaku ulama, berpakaian seperti ulama, bergaya persis ulama, tetapi tidak memiliki ilmu dan akhlak seperti seorang ulama, lalu mereka akan menjawab segala pertanyaan masyarakat awam yang haus dengan ilmu pengetahuan, sehingga mereka sesat lagi menyesatkan, benar sekali sabda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم, sepertimana yang diriwayatkan oleh Sayyiduna Abdullah bin ‘Amr bin Ash رضي الله عنهما: Sesungguhnya Allah tidaklah mencabut ilmu dengan (menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) hamba-hambaNya. Tetapi Allah Ta’ala menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim-ulama sehingga apabila tidak tertinggal satu orang alimpun, manusia akan menjadikan pemimpin-pemimpin dari orang-orang yang bodoh, maka tatkala mereka ditanya (tentang masalah agama), lalu mereka akan berfatwa tanpa ilmu, akhirnya mereka sesat dan menyesatkan. (Hadits riwayat al-Bukhari, Muslim, at-Tirmidhi dan Ibn Majah)

Tidakkah pemergian mereka ini musibah bagi kita dan umat Islam seluruhnya? Iya, musibah besar! Di dalam sebuah hadits yang di riwayatkan oleh Abu Daud, at-Tirmidhi, Ibn Majah dan al-Baihaqi daripada Abu Darda رضي الله عنه katanya: Aku mendengar Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم  bersabda (maksudnya): Sesiapa yang pergi di pagi hari kerana inginkan ilmu dan untuk mempelajarinya semata-mata kerana Allah Ta’ala, nescaya Allah Ta’ala akan membukakan baginya satu pintu menuju syurgaNya, para malaikat membentangkan sayapnya untuknya dan demikian juga ikan-ikan dilaut. Kelebihan orang yang alim itu ke atas orang yang abid apalah seumpama kelebihan bulan purnama ke atas sekecil-kecil bintang dilangit. Para ulama itu adalah pewaris Nabi. Sesungguhnya Nabi tidak mewariskan wang dinar dan tidak juga wang dirham, tetapi mereka mewariskan ilmu. Sesiapa yang mengambil ilmu maka dia telah mengambil habuannya yang amat bernilai. Oleh itu matinya seorang yang alim adalah satu musibah yang sukar digantikan dan satu kepincangan yang susah ditutupi. Ini adalah umpama bintang yang hilang sirna (diantara bintang-bintang). Sesungguhnya matinya satu qabilah adalah lebih ringan musibahnya berbanding matinya seorang yang alim.

Kata Sayyiduna ‘Umar رضي الله عنه: Kematian 1000 abid (ahli ‘ibadah  - yang jahil -) yang bangun di malam hari dan berpuasa di siang hati, lebih ringan daripada kematian seorang ulama yang memahami hal-hal yang dihalalkan dan yang diharamkan oleh Allah.

Akhirkata, marilah kita sama-sama menghadiahkan bacaan surah al-Faatihah dan surah Yaasin kepada Tuan Guru Haji ‘Abdul Lathif bin Haji ‘Abdul Rahman serta mendoakan beliau. Al-Faatihah .....

اللهم اغفر له وارحمه وعافه واعف عنه وأكرم نُزُله . ووسع مُدخلهُ . واغسله بالماء والثلج والبرد ، ونقه من الخطايا كما ينقى الثوب الأبيض من الدنس ، وأبدله داراً خيراً من داره ، وأهلاً خيراً من أهله وزوجاً خيراً من زوجه وأدخله الجنة وأعذه من عذاب القبر  ومن عذاب النار

Semoga patah tumbuh hilang berganti …. Biarpun yang tumbuh atau yang ganti itu tidak sehebat yang telah pergi ………

Al-Fagir memohon ampun maaf andaikata ada kesalahan atau kesilapan fakta. Semoga para pengunjung sudi untuk membetulkannya.


Sekian dari,
Al-Fagir Abu Zahrah al-Qadahi
Taman Seri Gombak
Dhuha, 25 Syawwal 1431/4 Oktober 2010

Pak Teh sholat jenazah di kubur Ustaz Bukhari Harun - 10 Ramadhan.


Sunday, October 3, 2010

Institusi Pondok Di Negeri Kedah Darul Aman - Siri 4 (Akhir)

Bekas pondok Kampung Pulau Pisang, Tunjang, Jitra, Kedah
Sambungan dari siri sebelumnya ...
Institusi Pondok Di Negeri Kedah Darul Aman
Oleh: Tuan Haji Ismail Salleh
Sumber: mykedah.com

Sungguhpun masih ada lagi persekolahan pondok di negeri Kedah yang tumbuh selepas meninggalnya Tuan Haji Wan Sulaiman bin Wan Sidik, Syaikhul-Islam, pada 1935, tetapi jumlahnya kecil jika dibandingkan dengan jumlah pondok-pondok yang pernah wujud di Kedah sejak 1850 hingga 1935. Di antara pondok-pondok selepas 1936 dibuka oleh :-
  1. Tuan Haji Yahaya Junaid batu 16, Padang Lumat, Yan 1940
  2. Tuan Haji Umar al-Zuhdi bin Muhammad Saleh, Lanai, Baling
  3. Tuan Haji "Uthman (Lebai Man) bin Haji Yunus, Batu Sebelas, Bukit Besar, Yan
  4. Tuan Haji Ahmad bin Haji Othman, Bukit Kepelu, Kodiang, Kubang Pasu.
  5. Tuan Haji Abdullah Abbas Nasution, Tanjung Pauh, Jitra
  6. Tuan Lebai Isa, Kepelu, Kodiang
  7. Tuan Haji Fauzi bin Haji Mustaffa, Yan
  8. Tuan Haji Abdul Rahman bin Haji Saleh, Jitra, Kubang Pasu.
  9. Tuan Haji Abu Bakar Palestin, Ayer Hitam, Kubang Pasu.
  10. Tuan Haji Mustaffa, Gajah Mati, Pendang
  11. Tuan Haji Abdul Razak bin Haji Ibrahim, Pendang.
  12. Tuan Haji Abdullah Kechik bin Haji Muhamad Yusof, Langgar, 1947
  13. Tuan Haji Ahmad Tajuddin bin Haji Abdul Rahman al-Jarumi (Dato' Mursyid di Raja), Malele, Kubang Pasu.
  14. Tuan Haji Abdullah bin Hassan, Kuala Janing, Padang Terap
  15. Tuan Haji Daud, Malau, Kulim
  16. Tuan Haji Yahaya, Kampung Teluk, Bukit Pinang, Kota Star
  17. Tuan Haji Ahmad Nahu, Jeneri, Sik
  18. Tuan Haji Muhammad Ali bin Haji Ismail, Kebun 500, Jabi, Kota Star
  19. Tuan Haji Ibrahim Senggora, Tok Keling, Kota Star
  20. Tuan Haji Wan Muhammad Saleh, Tong Pelu, Padang Terap dan Alor Changleh, Kubang Pasu.
  21. Tuan Haji Mustaffa, Tambak Bunga, Kota Star.
  22. Tuan Haji Husin bin Haji Abdul Rahman al-Jarumi, Selarung lalang, Kota Star
  23. Tuan Haji Umar bin Haji Ahmad, Langgar
  24. Tuan Haji Senawi bin Muhammad Saleh, Alor Setol, Langgar
  25. Tuan Haji Abdullah bin Lebai Besar, Kupang
  26. Tuan Haji Mahmud Zuhdi, Lanai, Sik
  27. Tuan Haji Bukhari bin Hassan, Bukit Besar, Yan dan Batu Menunggol, Pendang
  28. Tuan Haji Man, Lepai, Kota Star.
  29. Tuan Haji Man, Pida Tiga, Tunjang, Kubang Pasu
  30. Tuan Haji Husin, Kubur Panjang
  31. Tuan Haji Awang, Ayer Hitam, Kubang Pasu
  32. Tuan Haji Abdul Rahman bin Awang Kechik, Permatang Jeram, Kubang Pasu
  33. Tuan Haji Abdul Halim bin Haji Abdul Hamid, Sungai Jagung Dalam, Pendang
  34. Tuan Haji Shafie, Kampung Tebing, Jitra
  35. Tuan Haji Azizan bin Mustaffa, Kangkung, Kota Star
  36. Tuan Haji Ismail bin Haji Ahmad, Bukit Pinang, Kota Star
  37. Tuan Haji Abdul Rahman bin Haji Yahaya, Kupang, Baling
  38. Tuan Haji Abdullah bin Lebai Samah, Bukit Lada, Kota Star
Di atara pondok-pondok di atas, ada yang masih bertahan menghadapi pelbagai rintangan dan kesukaran yang ditimbulkan oleh jiwa-jiwa sekular dan moden. Persekolahan pondok ini terpaksa menandingi sekolah-sekolah agama yang didirikan oleh Kerajaan dengan sistem yang jauh progresif. Setengah dari pondok-pondok ini bertindak mendirikan bangunan-bangunan sekolah atau madrasah sendiri dan menggunakan kurikulum dan peraturan-peraturan persekolahan seperti sekolah Kerajaan.

Banyak dari pusat-pusat pengajian yang dikatakan pondok ini telah terbiar dan menjadi jasad yang tidak bernyawa


RUJUKAN:
  • Ahmad Abdul Gani bin Haji Sa'id. "Tuan Hussain Kedah". Latihan Ilmiah Jabatan Sejarah Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 1976/77
  • Tan Sri Dr. Awang Had Salleh. "Sekolah Melayu, Sekolah Rakyat dan Pondok di Kedah", dalam Dokumentasi Konvensyen Sejarah Negeri Kedah Darul Aman, Lembaga Muzium Negeri Kedah, Laor Star, 1991
  • "Biografi Ulama Kedah Darul Aman "Jilid satu (20 orang), Lembaga Muzium Negeri Kedah,1996
  • Fisol Hussein "Haji Hussain Che' Dol, 1904-1967: Satu Aspek Perjuangan Ulamak dalam Bidang Agama dan Politik Melayu Kedah," Kajian Ilmiah, Jabatan Sejarah Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 1973/74
  • Hitti, P. R, "History of Arabs", London, MacMillan, 1956.
  • Prof. Madya Dr. Ishak Mohamad Rejab. "Peranan Ulamak dalam Masyarakat di Kedah dan diberi Penekanan Kepada Tuan Hussain bin Muhammad Nasir al-Mas'udi dan Haji Wan Sulaiman Wan Sidik", dalam Dokumentasi Konvensyen Sejarah Negeri Kedah Darul Aman, Lembaga Muzium Negeri Kedah, Alor Star, 1991.
  • Muhammad Hassan bin Dato' Kerani Muhammad Arshad,"Al-tarikh Salasilah Negeri Kedah", DBP, Kuala Lumpur, 1968.
  • Roff, W.R.; "The Origins of Malay Nationalism", New Haven and London, Yale University Press, 1967.
  • Wan Mohamad Saghir Abdullah, "Syeikh Daud bin Abdullah Al-Fatani: Ulama dan Pengarang Terulung Asia Tenggara", Hizbi, Kuala Lumpur, 1990.
  • Zahidi Dato' Zainal Rashid, "Sejarah Sekolah Pondok di Kedah," Dokumentasi Konvensyen Sejarah Kedah Darulaman, Majlis Kebudayaan Negeri Kedah, Alor Star, 1979. 
 

FOTO ULAMA-ULAMA KEDAH
Al-Marhum Tuan Guru Haji Muhammad Salleh Haji Hashim Pulau Pisang, Jitra
Al-Marhum Tuan Guru Haji Said Yan, Kedah
Al-Marhum Tuan Guru Haji Wan Ibrahim bin Wan 'Abdul Qadir @ Pak Chu Him
Al-Marhum Tuan Guru Haji Yahya Mat Saman @ Pak Ya Telok
Al-Marhum Tuan Guru Haji Yahya Kupang, Baling
 InsyaAllah foto ulama-ulama Kedah akan di uploadkan dari masa ke semasa.

Sekian dari
al-Fagir Abu Zahrah
Taman Seri Gombak
2.30 petang, Ahad 24 Syawwal 1431/3 Oktober 2010
Related Posts with Thumbnails