Tuesday, August 25, 2009

Kisah Sayyid 'Alawi bin 'Abbas al-Maliki dengan Syaikh 'Abdur Rahman bin Sa'di

Kisah ini ambo petik dari blog ustaz Mohd Khafidz – Sawanih wa Khawathir, dan ambo olah sedikit dengan penambahan notakaki (pengenalan ringkas kepada Syaikh 'Abdul Fattah Rawah, Sayyid 'Alawi bin 'Abbas al-Maliki dengan Syaikh 'Abdur Rahman bin Sa'di). Kisah yang diceritakan oleh Syaikh ‘Abdul Fattah Rawah al-Makki [1] di dalam kitab Tsabatnya. Kisah yang memaparkan akhlaq para ulama dan keakuran mereka terhadap sesuatu kebenaran apabila ianya sudah nyata. Kisah ini berlaku diantara dua orang ulama besar, iaitu Sayyid ‘Alawi bin ‘Abbas al-Maliki al-Hasani [2] dan Syaikh ‘Abdur Rahman bin Sa’di [3].

Kisahnya begini ......

Suatu ketika Sayyid 'Alawi al-Maliki duduk dalam halaqahnya di Masjidilharam, dan sedang duduk di suatu sudut lain Syaikh 'Abdur Rahman as-Sa'di, pengarang sebuah kitab tafsir. Orang ramai pula sedang bersholat dan bertawaf. Dan di langit awan mendung sedang berarak. Kemudian hujan pun turun. Air hujan yang turun di atas Kaabah mengalir keluar melalui saluran mizab [pancuran emas]. Lantas ramai orang bergegas ke bawah mizab tersebut untuk mendapatkan air daripadanya. Lalu mereka membasahkan baju dan badan mereka dengannya sebagai mengambil berkat.


Melihat hal itu, sekumpulan ‘orang badwi’ [faham-faham sajalah no sapa depa tuu ….tau takpa ... tak tau tanya ...] menegah mereka kerana menyangka ianya adalah syirik. Kata mereka: “Jangan, wahai orang-orang musyrik. Syirik! Syirik!". Lalu semua orang pun beredar dan menuju ke halaqah Sayyid 'Alawi. Mereka bertanya tentang perkara tersebut, dan beliau mengharuskannya. Lantas orang ramai pun pergi sekali lagi ke mizab tersebut. 'Orang-orang badwi' tadi pergi kepada halaqah Syaikh 'Abdur Rahman dan mengadu kepadanya. Lantas beliau pun bangun pergi bertemu dengan Sayyid 'Alawi. Maka ramai orang berkumpul kepada dua orang ulama tersebut.






Kata Syaikh ‘Abdur Rahman: Betulkah tuan mengatakan kepada orang ramai bahawa dalam air hujan tersebut ada barakah?

Jawab Sayyid ‘Alawi: Bahkan, ada dua barakah.

Balas Syaikh ‘Abdur Rahman: Bagaimana demikian?

Jawab Sayyid ‘Alawi lagi: Kerana Allah Ta'ala berfirman dalam kitab-Nya mengenai hujan (ونزلنا من السماء ما ء مباركا) - Dan Kami turunkan daripada langit air yang diberkati [surah Qaaf:9] - dan mengenai Kaabah pula (إن أول بيت وضع للناس للذي ببكة مباركا) - Sesungguhnya rumah pertama Allah yang dibina untuk manusia ialah yang berada di Makkah lagi diberkati [surah Aali ‘Imran: 96] -. Maka sekarang terkumpul dua barakah; barakah air hujan dan barakah baitullah ini.

Mendengar itu, Syaikh ‘Abdur Rahman merasa takjub: Subhanallah! Bagaimana kami boleh lupa hal ini? Lalu beliau pun berterima kasih kepada Sayyid 'Alawi dan meminta izin untuk beredar.

Lantas kata Sayyid 'Alawi: Nanti dulu, wahai Syaikh, tidakkah kamu lihat ‘orang-orang badwi’ itu menyangka bahawa apa yang dibuat oleh orang ramai itu sebagai syirik? Mereka tidak berhenti mengkafirkan orang dan melontar mereka dengan tuduhan syirik, sehingga melihat orang yang seumpama tuan [beliau adalah merupakan tempat rujuk mereka yang fahaman Wahabi atau dengan kata lain ulama mereka] yang dapat menegah mereka. Pergilah ke mizab dan ambil air hujan tersebut di hadapan mereka agar mereka membiarkan orang ramai. Kemudian Syaikh ‘Abdur Rahman pun pergi ke mizab dan mengambil sendiri air hujan itu sebagai mengambil berkat. Akhirnya ‘orang-orang badwi’ tadi meninggalkan orangramai setelah melihat syaikh mereka berbuat demikian. - Tamat kisah.


***************************

Notakaki – Biografi ringkas:

[1] – Beliau adalah Syaikh ‘Abdul Fattah bin Hussin bin Ismail bin Muhammad Thoyyib Rawah al-Makki. Berasal dari Hadramaut bari Bani al-Amudi. Dilahirkan pada tahun 1334H. Datuk beliau kemudiannya berpindah ke Rawah, Kota Raja, Indonesia.

Mendapat pendidikan di Mdrasah al-Khayyath, seterusnya Madrasah al-Falah dan kemudiannya Madrarah ash-Shaulatiyah. Beliau juga belajar dari para masyikh yang mengajar disekitar Masjidilharam. Diantara barisan guru beliau adalah: Musnidul Haramin Syaikh Umar Hamdan al-Mahrisi, Syaikh Muhammad bin ‘Ali bin Hussin al-Maliki, Syaikh Isa bin Muhammad Rawwas, Syaikh Yahya Aman, al-Habib Aydrus bin Salim al-Bar, al-Habib Abu Bakar bin Salim al-Bar, Syaikh Hasan Masyath, Syaikh Ibrahim al-Khazami, Syaikh Muhammad al-‘Arabi at-Tabbani al-Jazair, Syaikh ‘Abdullah Bukhari al-Munqadani, Syaikh Muhammad Amin al-Kutbi, Sayyid ‘Alawi bin ‘Abbas al-Maliki al-Hasani, Syaikh Hasan Said al-Yamani, Syaikh Nur Saif, Syaikh Zakaria Bila, Syaikh ‘Abdussalam ad-Dagestani, Syaikh ‘Abdurrahman al-Yamani, Syaikh Ahmad Alu Manshur al-Faqihi, Syaikh ‘Abdullah bin Humaid dan ramai lagi.

Beliau mengajar di Masjidilharam di Bab as-Salam, Masjid Ibn ‘Abbas di Thoif, Masjid al-Hadi dan juga lain-lain tempat. Selain mengajar beliau juga menghasilkan banyak karya, antaranya Sayyid Waladu Adam, Ithaful Shadiq bi Manaqib Ash-Shadiq, Shollu Kama Ra’aitumuni Usholi, Tarikh Amra’a Makkah al-Mukarramah, Risalah fi Manasik Su’ila wa Jawab, Mukhtasor Ithaf Ahl al-Islam bi Khusuusiaat asy-Syiam, dan lainnya

Beliau wafat pada tanggal 5 Shafar 1424H.

******************************************




[2] – Beliau adalah Sayyid ‘Alawi bin ‘Abbas bin ‘Abdul ‘Aziz bin ‘Abbas bin Muhammad al-Maliki al-Idrisi al-Hasani. Beliau adalah keturunan Idris al-Azhar bin Idris al-Akbar bin ‘Abdullah al-Kamil bin Hasan al-Mutsanna bin Hasan, putera kepada Sayyidina ‘Ali bin Abi Thalib dan Sayyidah Fathimah al-Zahra’ binti Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم.




Dilahirkan di rumah al-Maliki berhampiran Bab as-Salam pada tahun 1328H. menghafal al-Quran ketika berusia 10 tahun dan menjadi imam sholat tarawikh di Masjidilharam. Belajar di Madrasah al-Falah dan tamat pada tahun 1346H. Kemudian menjadi tenaga pengajar di madrasah tersebut. Mengajar di halaqahnya di Masjidilharam berdekatan dengan Bab as-Salam selama 40 tahun. Juga dilantik menjadi jurunikah di Mekah. Beliau wafat pada tanggal 25 Shafar 1391H dipangkuan pelayan (khadam) beliau, iaitu Tuan Guru Haji Mas’ud Telok Intan (gambar sebelah)




Antara masyaikh beliau – Ayahndanya sendiri Sayyid ‘Abbas bin ‘Abdul Aziz al-Maliki; al-Muhaddits al-Haramain Syaikh Umar Hamdan al-Mahrisi; Syaikh Habibullah asy-Syanqiti; Syaikh Muhammad ‘Ali bin Hussin al-Maliki; Syaikh Jamal al-Maliki; Syaikh al-Qurra’ Syaikh at-Tiji; Syaikh ‘Abdullah Hamaduh; Syaikh Hasaan as-Said as-Sanuri; Syaikh amin Suwid ad-Dimasyqi; Syaikh Mahmud al’Attor ad-Dimasyqi; Syaikh Isa Rawwas; Syaikh Salim Syafie; Syaikh Ahmad Nadhirin; Syaikh Muhammad al-‘Arabi at-Tabbani; Syaikh Yahya Aman; Syaikh Muhammad Khidir asy-Syanqiti; Syaikh Muhammad al-Mujtaba asy-Syanqiti; Syaikh Umar BaJunaid; Syaikh ‘Abdul Sattar ad-Dehlawi

Selain itu beliau juga meriwayatkan ilmu, ijazah dan sanad daripada ulama keluarga Ba’Alawi (ahlul bait yang bernasabkan kepada ‘Alawi bin Ubaidullah bin Ahmad bin Isa al-Muhajir bin Muhammad bin ‘Ali al-Uraidhi bin Ja’far ash-Shodiq bin Muhammad al-Baqir bin ‘Ali Zainal ‘Abidin bin Hussin al-Sibth putera kepada Sayyidina ‘Ali bin Abi Thalib dan Sayyidah Fathimah al-Zahra’ binti Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم.), antaranya: al-Habib ‘Aydrus bin Salim al-Bar; al-Habib Abu Bakar al-Bar; al-Habib ‘Abdur Rahman bin Ubaidullah al-Seggaf @Saqqaf; al-Habib ‘Alwi bin Thohir al-Haddad; al-Habib Musthofa al-Mihdhor; al-Habib Muhammad bin Hadi al-Seggaf; al-Habib Umar bin Sumaith; al-Habib Salim bin Hafidz; al-Habib ‘Ali bin ‘Ali al-Habsyi; al-Habib ‘Alwi bin Muhammad al-Haddad; al-Habib ‘Ali bin ‘Abdur Rahman al-Habsyi dan al-Habib Abu Bakar al-Seggaf.

Beliau juga meriwayatkan ilmu, sanad dan ijazah daripada para ulama terkenal di zamannya, seperti: al-Imam al-Muhaddits Muhammad ‘Abdul Hayy al-Kittani; asy-Syarif ‘Abdul Hafiz al-Fasi; Syaikh Muhammad Zahid al-Kauthari; Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani; Syaikh Muhammad Bakhit al-Muti’i; Syaikh Salamah al-‘Azzami; asy-Syarif Ahmad bin Ma’mun al-Balghiti; Syaikh al-Muhaddits Muhammad Ilyas al-Kandahlawi; Syaikh al-Muarrikh al-Yamani Muhammad Zabarah, pengarang Nail al-Wator; al-Imam al-Muhaddits al-Musnid Muhammad ‘Abdul Baqi al-Ayyubi al-Madani; Syaikh Abu al-Khair al-Maidani ad-Dimasyqi; Syaikh al-Mursyid Muhammad Abu al-Nasr Khalaf al-Hims dan al-Imam al-Mursyid asy-Syarif Ahmad as-Sanusi al-Mujahid.




Kitab karangan beliau: al-‘Iqd al-Munazzam fi Aqsam al-Wahyi al-Mu’azzam; al-Manhal al-Lathir fi ahkam al-Ahadits ad-Dhoif; al-Ibanah al-Ahkam al-Kahanah; Risalah fi Ibtol Nisbah al-Qaul bi Waihdah al-Wujud li ‘Aimmah at-Tasawwuf; Risalah fi al-Ilham; Ibanatul Ahkam Syarh Bulughul Maram; Risalah al-Ahkam at-Taswir; al-Mawaiz ad-Diniyyah [himpunan ceramah beliau diradoi Saudi pada setiap pagi Jum’at]; Nailul Maram Ta’liq ‘ala ‘Umdah al-Ahkam; Fath al-Qarib al-Mujib ‘ala Tahzib al-Targhrib wat Tarhib, Diwan Syairnya. Manakala ananda beliau Sayyid Muhmmad bin ‘Alawi telah mengumpulkan sanad-sanad beliau dalam kitab al-‘Uqud al-Lu’luiyyah bi Asanid al-‘Alawiyyah; dan fatwa-fatwa beliau di dalam kitab Majmu al-Fatawa wa al-Rasail.

Adapun murid beliau, tidak terhingga banyaknya. Maka tak perlulah ambo tulis lagi dek kerana ramainya. Ramai di kalangan ulama Nusantara yang belajar kepada beliau di Mekah. Oleh kerana itulah nama beliau tidak asing lagi di Nusantara.


Pujian ulama kepadanya:
Kata Imam al-Akbar Dr. ‘Abdul Halim Mahmud, Syaikhul al-Azhar: “…… Sesungguhnya Allah telah menyinari wajahnya di atas kesungguhannya yang kuat terhadap sunnah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dalam memikul, memberi kefahaman, pengajaran, pentarbiyahan dan sebagainya jalan menuju Allah….”

Syaikh ‘Abdul ‘Aziz bin Baz juga pernah memuji Sayyid ‘Alawi sebagaimana diceritakan oleh Syaikh Ahmad al-Haribi (Pemantau Majlis Pengajian di Masjidil Haram): “…. Pada suatu hari Syaikh ‘Abdul Aziz bin Baz (mantan Mufti Saudi) berhenti di dalam majlis pengajian Sayyid ‘Alawi al-Maliki dan mendengar pengajaran Sayiid ‘alawi beberapa ketika. Apabila dia berpaling, Syaikh Ahmad al-Haribi bertanya pendapat Syaikh ‘Abdul ‘Aziz Bin Baz tentang pengajaran Sayyid ‘Alawi al-Maliki dan dia berkata: MasyaAllah! MasyaAllah. (menunjukkan ta’jub terhadap ilmu Sayyid ‘Alawi dan pengi’tirafan keatas ketinggian ilmunya)

Syaikh Muhmmad Said al-Yamani pernah berkata kepada ayahnya Sayyid ‘Abbas al-Maliki: Sesungguhnya anakmu ‘Alawi akan menjadi perhiasan Masjidilharam.

Syaikh Umar Khayyath berkata: Ketika kami berada di dewan rumah Syaikh ‘Ali ibn Hussin al-Maliki di dalam satu majlis, Sayyid ‘Alawi datang, lalau Sayyid ‘Ali al-Maliki berkata: Sesungguhnya anaku ini, ‘Alawi, merupakan orang yang mendapat anugerah dan ilham, di dalam percakapannya penuh dengan keindahan dan keelokkan, dia juga merupakan orang yang dikasihi ramai, semua orang suka mendengar pengajarannyadan aku adalah orang yang pertama suka mendengar kalamnya.

Setelah kewafatan beliau pada malam Rabu 25 Shafar 1391, tempat beliau diganti oleh anaknya iaitu Sayyid Muhammad, yang kemudiannya muncul sebagai ulama Mekah yang harum namanya diseluruh pelusuk dunia.


*********************************************



[3] - Syaikh Abdur-Rahman bin Nashir bin Abdillah Alu Sa’di Tamimi Al Hambali. Dilahirkan di kota ‘Unaizah, Qashim sebuah daerah di Najd, Arab Saudi, pada tahun 1307H. Menghafal al-Quran ketika mencapai umur 14 tahun. Beliau wafat pada waktu fajar, hari Khamis, 23 Jumadil Akhirah 1376H.

Antara guru-guru beliau: Syaikh Ibrahim bin Hamd bin Jasir, Syaikh Muhammad bin Abdul Karim asy-Syibl, Syaikh Shalih bin Utsman, Qadhi di ‘Unaizah, Syaikh Abdullah bin ‘Aidh, Syaikh Sha’ab bin ‘Abdullah at-Tuwaijiri, Syaikh ‘Ali as-Sinani, Syaikh Ali bin Nashir Abu Wadi, Syaikh Muhammad asy-Syinqithi.

Mempunyai ramai murid, antaranya: Syaikh Sulaiman bin Ibrahim al-Bassam; Syaikh Muhammad bin Abdul ‘Aziz al-Mathu’ menjabat sebagai Qadhi di Majma’ah kemudian di ‘Unaizah; Syaikh Abdullah bin Abdur-Rahman al-Bassam; Syaikh Muhammad al-Manshur az-Zamil; Syaikh Ali bin Muhammad az-Zamil; Syaikh Muhammad bin Shalih al-Utsaimin; Syaikh Abdullah bin Abdul-Aziz bin ‘Aqil; Syaikh Abdullah al-Muhammad al-‘Auhali dan Syaikh Abdullah bin Hasan Alu Buraikan


Syaikh ‘Abdur Rahman Sa’di juga banyak meninggalkan karya, antaranya: Taisir Karim ar-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan; Hasyiyah ‘alal Fiqh; Irsyad Ulil Basha’ir wal Albab li Ma’rifatil Fiqh bi Aqrabi Thuruq wa Aisaril Asbab; Tanzih ad-Din wa Hamlatihi wa Rijalihi min Maftarahu Al Qashimi fi Aghlalihi.; Ad Durrah Al Mukhtasharah fi Mahasinil Islam; Al Khuthab Al ‘Ashriyah; Al Qawa’idul Hisan fi Tafsiril Quran; Al Haq Al Wadhih Al Mubin fi Syarhi Tauhid Al Anbiya’ wal Mursalin; Taudhihul Kafiyah asy-Syafiyah; Wujubut Ta’awun bainal Muslimin wa Maudhu’ul Jihad ad-Dini; Al Qaul As Sadid fi Maqashid At Tauhid; Mukhtasor fi Ushuli Al Fiqh; Taisir Lathif Al Mannan fi Khulashati Tafsir Al Quran; Ar-Riyadh an-Nadhirah; Bahjatu Qulub al-Abrar; Al-Irsyad ila Ma’rifatil Ahkam; Al-Fawakih asy-Syahiyah fil Khuthab al-Minbariyah; Manhaj as-Salikin wa Taudhih al-Fiqh fi ad-Din; Thariq al-Wushul ila Ilmi al-Ma’mul bi ma’rifati qawa’id wa Dhawabith wal Ushul; Ad-Din ash-Shahih yahullu Jami’al Masyakil; Al-Furuq wa Taqasim al-Badi’ah an-Nafi’ah; Al-Adillah al-Qawathi’ wal barahin fi Ibthali Ushul al-Mulhidin; Fawa’id Mustanbithah; Al-Wasa’il al-Mufidah; Syuruh Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah allati Radda biha ‘alal Qadariyah; Al-Fatawa as-Sa’diyah; At-Taudhih wal Bayan li Syajaratil Iman; Fathu Rabb al-Hamid fi Ushulil ‘Aqa’id wa Tauhid; Ad-Dala’il al-Quraniyah; At-Tanbihat al-Lathifah ‘ala mahtawat ‘alaihi Al-Wasithiyah fil Mabahits al-Munifah; Su’al wa Jawab bi Ahammil Muhimmat


Kesalahan dan kesilapan, mohon dimaafkan.
Sekian dari
Al-Fagir Abu Zahrah
Taman Seri Gombak
Ahad, 3 Ramdhan 1430H


Sumber rujukan:
• Blog Sawanih wa Khawathir
• Al-Maliki Ulamak Rabbani Abad Ke-21 – Muhammad Fuad Kamluddin
• Al-Ifshooh ‘ala Masail al-Idhooh - Syaikh Abdul Fattah Rawah
• Zahazan.net
• Dan lain-lain


No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails