
Al-Fagir, secara peribadi tersangat sedih apabila menerima sms dari al-Fadhil Ustaz Azian, Imam Masjid al-Falah, tengahari semalam. Terkedu seketika, dan tanpa dipaksa, airmata mengalir laju tatkala mendapat berita tersebut. Allahu Allah …. Rasanya bukan al-Fagir seorang saja yang berperasaan begitu, semestinya para muhibbin seluruh dunia, apatah lagi murid-murid beliau. Dan al-Fagir merasakan bukan penghuni bumi sahaja yang menangisinya, bahkan penduduk langit juga. Allahu Allah.
Berita kewafatan beliau tersebar luar diinternet. Ramai yang mengucapkan ta’ziah dan mungkin ramai tertanya-tanya siapakah gerangan al-Habib 'Abdul Qadir bin Ahmad bin 'Abdurrahman as-Saqqaf? Maka al-Fagir meluangkan sedikit kesempatan yang ada untuk memaparkan manaqib beliau secara ringkas. Dan tulisan ini al-Fagir khusus buat beliau. Walaupun al-Fagir belum pernah bertemu, namun nama dan kisah mengenai beliau sering al-Fagir dengar. Dan dari situlah tumbuh rasa kecintaan al-Fagir kepada beliau. Sementelahan lagi beliau adalah merupakan guru kepada guru-guru al-Fagir. Sekian lama menyimpan azam untuk menziarahi beliau, namun tidak kesampaian. Maka untuk itu al-Fagir dedikasikan nukilan yang serba kekurangan serta dhoif ini buat beliau رضي الله عنه sebagai tanda kasih dan cinta al-Fagir kepada beliau.

Kelahiran: Dilahirkan di kota Sei`un (سيؤن) atau Seiwun, Hadramaut pada bulan Jumadilakhir 1331H/1913M. Beliau lahir dari keluarga yang sholeh. Ayahanda beliau (foto sebelah) iaitu al-Habib Ahmad bin ‘Abdurrahman bin ‘Ali bin ‘Umar bin Saqqaf bin Muhammad bin ‘Umar bin Thoha as-Saqqaf, adalah seorang ulama ‘arifbillah. Dan begitu juga dengan bonda beliau, asy-Syarifah ‘Alawiyyah binti al-Habib Ahmad bin Muhammad al-Jufri, seorang wanita sholehah yang suka pada kebajikan. Beliau dibesarkan oleh kedua ayahanda dan bonda yang sholeh sehingga sejak kecil beliau telah dihiasi dengan hidayah dan ketakwaan.
Ayahanda beliau al-Habib Ahmad bin ‘Abdurrahman bin ‘Ali bin ‘Umar bin Saqqaf bin Muhammad bin ‘Umar bin Thoha as-Saqqaf adalah merupakan seorang ulama terkemuka di Hadhramaut yang merupakan murid kepada al-‘Arifbillah al-Habib Ali bin Muhammad al-Habsyi, penyusun Simthud Durar. Dan guru beliau, al-Habib ‘Ali bin Muhammad al-Habsyi pernah berkata: Al-Habib Ahmad bin ‘Abdurrahman adalah Imam Wadi al-Ahqaf (Hadhramaut). Ayahanda beliau wafat setelah menunaikan sholat ‘asar, petang hari Sabtu, 4 Muharram 1357. Manakala bonda beliau wafat pada 23 Rajab 1378 iaitu bersamaan dengan hari kewafatannya al-Habib Salim bin Hafidz bin ‘Abdullah, iaitu datuknya Guru Mulia al-Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz.
Isyarat Dari al-Habib ‘Ali bin Muhammad al-Habsyi رضي الله عنه وأرضاه: Ketika bonda beliau sedang mengandung dan melahirkan bayi laki-laki, bayi tersebut telah diberi nama ‘Abdul Qadir atas isyarat daripada al-Habib Ali bin Muhammad al-Habsyi, namun tidak lama kemudiannya bayi tersebut meninggal dunia. Tatkala Syarifah ‘Alawiyyah mengandung lagi dan melahirkan seorang bayi laki-laki, al-Habib ‘Ali bin Muhammad al-Habsyi juga mengisyaratkan agar bayi tersebut diberi nama Abdul Qadir. Dan al-Habib ‘Ali bin Muhammad al-Habsyi mengatakan bahwa bayi ini kelak akan menjadi orang yang mulia yang mengabdikan hidupnya untuk taat kepada Allah dan menjadi seorang yang dihiasi dengan ilmu, amal dan ihsan.

Selain daripada belajar dengan ayahandanya beliau juga belajar dari ramai guru lain, antaranya:
- Syeikh Taha bin Abdullah BaHamid.
- Syeikh Hasan bin ‘Abdullah BaRaja, ketika di Madrasah an-Nahdhatul ‘Ilmiyyah. Dari guru beliau ini, beliau menghafal al-Quran serta menguasai Qira’ah as-Sab’ah.
- Al-Habib Umar bin Hamid bin Umar As-Saqqaf
- Al-Habib ‘Umar bin ‘Abdul Qadir bin Ahmad as-Saqqaf
- Al-Habib ‘Abdullah bin Aidarus al-Aidarus
- Al-Habib ‘Abdullah bin ‘Alwi al-Habsyi
- Al-Habib Hussin bin ‘Abdullah bin ‘Alwi al-Habsyi
- Al-Habib ‘Abdul Baari bin Syeikh al-Aidarus
- Al-Habib Muhammad bin Hadi as-Saqqaf (foto atas)
- Al-Habib ‘Abdullah bin Umar bin Hamid as-Saqqaf
- Al-Habib Hasan bin Ismail bin as-Syeikh Abi Bakar bin Salim
- Al-Habib Hamid bin ‘Alwi al-Bar dan ramai lagi

- as-Sayyid Muhammad bin 'Alawi al-Maliki رضي الله عنه وأرضاه
- Al-Habib Zein bin Ibrahim bin Sumaith حفظه الله ومتعنا الله بطول حياته
- Al-Habib Salim bin ‘Abdullah bin ‘Umar asy-Syathiri حفظه الله ومتعنا الله بطول حياته
- Al-Habib Abu Bakar al-Adni bin ‘Ali al-Masyhur حفظه الله ومتعنا الله بطول حياته
- Al-Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz ibn Syeikh Abu Bakar bin Salim حفظه الله ومتعنا الله بطول حياته
- Al-Habib ‘Ali bin ‘Abdurrahman al-Jufri حفظه الله ومتعنا الله بطول حياته
- Al-Habib Muhammad bin ‘Abdurrahman as-Saqqaf حفظه الله ومتعنا الله بطول حياته
- Al-Habib Ahmad Masyhur bin Thoha al-Haddad رضي الله عنه وأرضاه
- Al-Habib ‘Abdurrahman bin Ahmad al-Kaf رضي الله عنه وأرضاه
- Al-Habib Abu Bakar Atthas bin Abdullah al-Habsyi رضي الله عنه وأرضاه
- Syeikh Umar Khatib رضي الله عنه وأرضاه
Pada bulan Rabi’ ats-Tsani tahun 1393, beliau dapat ke Aden dan tinggal di sana selama 1 bulan. Dan setelah itu beliau telah dapat keluar dari tanahairnya yang dikuasai komunis untuk ke Singapura. Pada bulan Jumadilawwal 1393, beliau ke Indonesia.
Dari Indonesia, beliau seterusnya ke bumi Hijaz dan menetap di sana. Dimana beliau berada, tujuannya adalah untuk berdakwah dan menyebarkan ilmu. Beliau seterusnya meneruskan rehlah dakwahnya ke Lubnan, Syria, Mesir, Nairobi, Kenya, Juzur al-Qamar (Comoros) dan Tanzania. Kemudian kembali ke Kenya dan seterusnya pada bulan Ramadhan 1394 kembali ke bumi Hijaz dan menetap Hijaz. Dan sana, beliau menjadi pengasuh majlis-majlis ta’lim di Mekah, Madinah dan Jeddah.
Keperibadian: Selain terkenal sebagai seorang yang ‘alim, beliau juga seorang yang wara, ‘abid, berakhlak mulia. Ketinggian akhlaknya mampu menawan hati sesiapa sahaja. Kedalaman dan keluasan ilmunya, kewarakannya, kebijaksaannya dalam menyampaikan ilmu dan dakwah menyebabkan beliau dikasihi dan dihormati. Pendek cerita, beliau mewarisi sifat-sifat datuknya yang mulia, Sayyiduna Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Dikhabarkan bahwa Buya Hamka pernah ziarah kepada beliau sewaktu di Jeddah, dan setelah berbincang dengan beliau, akhirnya Buya Hamka mengakui bahawa Baitun Nubuwwah Bani Zahra min Ali masih wujud dan berkesinambungan dalam darah para saadah Bani Alawi. Allahu Allah.
Kewafatan: Beliau رضي الله عنه وأرضاه telah lama uzur. Dan sebelum Fajar hari Ahad, 19 Rabi’al-Akhir 1431H bersamaan 4 April 2010, beliau رضي الله عنه وأرضاه kembali ke rahmatuLlah di Jeddah. Beliau menutup umur pada usia 100 tahun.
Nukilan:
Al-Fagir Abu Zahrah
Taman Seri Gombak,
Shubuh, 20 Rabi’al-Akhir 1431
Sumber rujukan: Bahrus Shofa, Bisyarah dan lain-lain. Dan insyaAllah tulisan ini akan dikemaskini dari masa kesemasa apabila al-Fagir mendapat maklumat tambahan. Segala kekurangan dan kesalahan fakta mohon dimaafkan dan diperbetulkan.
ٍ
assalamu'alaikum warohmatullahi wabarokaatuh..... salamah wabarokah yaa akhi... smoga allah panjangkan umur kamu ( pembuat blogger ini ) dalam manfaat dan mengenalkan para waliyullah kepada ummat... serta allah jaga seluruh dirimu dan keluargamu atas kecintaan mu kepada Allah SWT dan Muhammad Rosulullah SAW. " ABDURAHMAN AL-HADDAD "
ReplyDelete