Tuesday, March 6, 2012

Haul Ke 100 Habib Ali bin Muhammad bin Hussin al Habsyi رضي الله عنه. – Pengarang Mawlid Simtud Durar

Kubah Imam al-Habsyi di Seiwun
Tanggal 20 Rabi’ ats-Tsani 1433, genaplah 100 tahun kembalinya kerahmatuLlah shohib mawlid Simtud Durar iaitu al-Imam al-Habib ‘Ali bin Muhammad bin Hussin al-Habsyi رضي الله عنه. Seperti biasa, majlis haul beliau akan diadakan oleh anak-cucu dan para pencinta beliau di Seiwun, Lumu Kenya, Solo Indonesia dan di lain-lain tempat. Di Solo puluhan ribu akan menghadiri majlis haul tersebut. Buat teman-teman yang akan berangkat ke Solo untuk menghadiri Majlis Haul beliau, jangan lupa untuk menghadirkan juga al-Fagir. Maka sempena haul ahlulbait yang tersohor ini, al-Fagir ingin berkongsi serba ringkas mengenai manaqib beliau.Semoga kita berolah rahmat dengan membacanya. Amiin.

اللهم أنزل رحمتك في الغدوة والعشي * على حبيبينا حبيب علي بن محمد الحبشي
اللهم صل على وسلم على جده الهاشمي القريشي * سيدنا محمد وآله وصحبه ومن خشي
Ya Allah, limpahkanlah rahmatMu pada setiap pagi dan petang ke atas kekasih kami Habib ‘Ali bin Muhammad al-Habsyi
Ya Allah, sholawat dan salam ke atas datuknya yang berbangsa Hasyimi dan Quraisy, Penghulu kami Sayyidina Muhammad, ahli keluarga Baginda, shahabat Baginda dan mereka yang takut kepadaMu

Suasana Majlis Haul Imam al-Habsyi di Seiwun

Nasab Beliau: ‘Ali bin Muhammad bin Hussin bin ‘Abdullah bin Syeikh bin ‘Abdullah bin Muhammad bin Hussin bin Ahmad Shohib asy-Syi’ib bin Muhammad Asghar bin ‘Alwi bin Abu Bakar al-Habsyi bin ‘Ali bin Ahmad bin Muhammad Asadullah bin Hasan at-Turabi bin ‘Ali bin al-Faqih al-Muqaddam Muhammad bin ‘Ali bin Muhammad Shohib Mirbath bin ‘Ali Khali’ Qasam bin ‘Alwi bin Muhammad bin ‘Alwi bin ‘Ubaidullah bin al-Muhajir Ahmad bin ‘Isa bin Muhammad an-Naqib bin ‘Ali al-‘Uraidhi bin Ja’far ash-Shodiq bin Muhammad al-Baqir bin ‘Ali Zain al-‘Abidin bin Hussin as-Sibth utera kepada Sayyidina ‘Ali bin Abi Thalib dan Sayyidah Fathimah al-Zahra’ binti Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم

Lahir pada 24 Syawwal 1259 di desa Qasam, iaitu sebuah desa yang dinisbahkan kepada Sayyidina 'Ali bin 'Alawi Khali' Qasam. Nama beliau, 'Ali diberikan oleh al-'Allamah al-Habib 'Abdullah bin bin Hussin bin Thohir, dan nama itu diberikan untuk bertabarruk dengan nama Sayyidina 'Ali bin 'alawi Khali' Qasam.

Ayahanda beliau adalah merupakan Mufti Syafi’iyyah di Makkah sejak tahun 1270H menggantikan Syaikh Ahmad Dimyathi yang wafat. Setelah kewafatan Habib Muhammad bin Hussin al-Habsyi, tempatnya diganti oleh Sayyid Ahmad Zaini Dahlan. [Diantara ulama Melayu yang sempat berguru kepada Habib Muhammad bin Hussin al-Habsyi ialah Syaikh Arsyad Thawil Banten, Jawa Barat. Beliau juga berguru kepada al-Muhaddits Habib Hussin bin Muhammad bin Hussin al-Habsyi. Syaikh Mahfuz Termas juga belajar hadits kepada al-Muhaddits Habib Hussin bin Muhammad al-Habsyi, iaitu saudara kepada Habib ‘Ali al-Habsyi]

Manakala bonda beliau yang berasal dari Syibam adalah seorang sayyidah shalihah, ‘arifahbillah dan da’iyyah ilallah ‘Alawiyyah binti Hussin bin Ahmad al-Hadi al-Jufri.

Saudara-saudari beliau: AbduLlah, Ahmad, Hussin, Syeikh dan Aminah

اللهم أنزل رحمتك في الغدوة والعشي * على حبيبينا حبيب علي بن محمد الحبشي
اللهم صل على وسلم على جده الهاشمي القريشي * سيدنا محمد وآله وصحبه ومن خشي
Ya Allah, limpahkanlah rahmatMu pada setiap pagi dan petang ke atas kekasih kami Habib ‘Ali bin Muhammad al-Habsyi
Ya Allah, sholawat dan salam ke atas datuknya yang berbangsa Hasyimi dan Quraisy, Penghulu kami Sayyidina Muhammad, ahli keluarga Baginda, shahabat Baginda dan mereka yang takut kepadaMu

Pendidikan dan guru-guru beliau: Sejak beliau dididik oleh ayahanda beliau, Habib Muhammad bin Hussin al-Habsyi [ - ayahanda beliau berangkat ke Mekah dan tinggal disana ketika usia Habib ‘Ali 7 tahun. Dan urusan pendidikan beliau seterusnya diambil oleh bonda beliau - ] dan bonda beliau Hababah ‘Alawiyyah binti Hussin al-Hadi al-Jufri. Seterusnya beliau belajar ramai ulama, antaranya:
  • Habib Hasan bin Shaleh al-Bahr al-Jufri (pengarang kitab yang sangat berkat Sholatul Muqarrabin)
  • Al-‘Allamah al-Habib Abdullah bin Hussin bin Thahir (syeikh fath dan tahkim kepada ayahanda beliau)
  • Al-‘Arifbillah al-Habib Abu Bakar bin ‘Abdullah al-‘Atthas (shaikh fath beliau)
  • Al-‘Allamah Habib Umar bin Hasan bin ‘Abdullah al-Haddad
  • Al-‘Allamah ‘Abdurrahman bin Muhammad al-Masyhur
  • Al-Habib ‘Ali bin Idrus bin Syihabuddin
  • Al-Habib Umar bin ‘Abdurrahman Bin Syahab
  • Al-Habib Mohsin bin ‘Alwi al-Saggaf
  • Al-Habib ‘Abdul Qadir bin Hasan bin Umar bin Saggaf
  • Al-Habib Muhammad bin ‘Ali bin ‘Alwi al-Saggaf
  • Al-Habib Ahmad bin Muhammad al-Muhdhar
  • Al-Habib ‘Idrus bin Umar al-Habsyi
  • Sayyid ‘Abdullah bin Hussin bin Muhammad
  • Syaikh Muhammad bin Ibrahim
Beliau berangkat ke Mekah pada tahun 1276H atas permintaan ayahanda beliau, dan tinggal disana selama 2 tahun. Ketika itu beliau berusia 17 tahun. Di Hijaz beliau mengambil peluang menuntut ilmu dengan para ulama disana. Ketika di Mekah, beliau, abangnya Habib Hussin dan Habib ‘Alwi al-Seggaf sering mengulangkaji kitab Minhaj dan 12 buah syarahnya bahkan mereka menghafalnya.

Melalui pengembaraan mencari ilmu dan menemui para ‘alim-ulama di Hadramaut dan Hijaz, maka Habib ‘Ali bin Muhammad al-Habsyi menguasai dengan baik pelbagai ilmu, samada yang dzahir maupun yang bathin. Sekembalinya dari Mekah, maka bermulalah pula kegiatan beliau berdakwah dan mengajar. Beliau menjadi imam, berdakwah, mengajar dan beribadah di Masjid Hambal. Lebih kurang 30 tahun beliau berkhidmat disana.


Tulisan di bahagian luar Ribath/Masjid Riyadh, Seiwun
Setelah itu beliau membangunkan ribath beliau sendiri di kota Seiwun, untuk para penuntut ilmu. Kemudian belau membangunkan pula masjid yang dinamakan Masjid Riyadh berhampiran dengan ribath yang beliau telah bangunkan. Masjid tersebut dibangunkan pada tahun 1303. di Masjid inilah pengajian hadits diadakan pada setiap hari itsnin. Dibacakan kutubus sittah atau al-Ummahat as-Sit.

Ketika usia beliau menginjak 68 tahun, beliau mengarang sebuah kitab maulid yang diberi nama Simtud Durar. Sebuah kitab maulid yang masyhur dan penuh barokah, yang sehingga kini dibaca di Hadramaut, Nusantara dan Afrika. Beliau mula mengarang pada Khamis, 26 Shafar 1327 dan menyempurnakannya pada 10 Rabiulawwal 1327H.

Hasil dari perkahwinannya, Habib ‘Ali bin Muhammad al-Habsyi dikurniakan 5 orang cahayamata iaitu ‘Abdullah, Muhammad, Ahmad, ‘Alwi dan Khadijah. 

Habib 'Alwi bin 'Ali bin Muhammad bin Hussin al-Habsyi. Beliau adalah ayahanda kepada Habib Anis
Al-Habib Muhammad bin 'Ali bin Muhammad bin Hussin al-Habsyi

 
 
Kewafatannya: al-‘Arifbillah al-Habib ‘Ali bin Muhammad al-Habsyi wafat pada waktu Dhuhur, hari Ahad, 20 Rabi’uts Tsani 1333H dan dimakamkan di sebelah barat Masjid Riyadh.

اللهم أنزل رحمتك في الغدوة والعشي * على حبيبينا حبيب علي بن محمد الحبشي
اللهم صل على وسلم على جده الهاشمي القريشي * سيدنا محمد وآله وصحبه ومن خشي
Ya Allah, limpahkanlah rahmatMu pada setiap pagi dan petang ke atas kekasih kami Habib ‘Ali bin Muhammad al-Habsyi
Ya Allah, sholawat dan salam ke atas datuknya yang berbangsa Hasyimi dan Quraisy, Penghulu kami Sayyidina Muhammad, ahli keluarga Baginda, shahabat Baginda dan mereka yang takut kepadaMu

Murid-murid beliau: Al-‘Arifbillah al-Habib ‘Ali bin Muhammad al-Habsyi meninggalkan ramai murid, antaranya:Anak-anak beliau sendiri iaitu ‘Abdullah, Muhammad, Ahmad dan ‘Alwi; Al-‘Allamah al-Habib Syaikh bin Muhammad (adik beliau); Al-‘Allamah al-Habib Ja’far bin ‘Abdurrahman bin ‘Ali bin ‘Umar bin Seggaf al-Seggaf ; Al-‘Allamah al-Habib ‘Abdul Qadir bin ‘Abdurrahman bin ‘Ali bin ‘Umar bin Seggaf al-Seggaf (ayahanda kepada al-Marhum al-Habib ‘Abdul Qadir as-Seggaf – Jeddah) ; Al-‘Allamah al-Habib Muhammad bin Hadi bin Hassan al-Seggaf; Al-‘Allamah al-Habib Muhsin bin ‘Abdullah bin Mihsin al-Seggaf; Al-‘Allamah al-Habib ‘Ali bin ‘Abdul Qadir bin Salim bin ‘alwi al-‘Aidarus; Al-‘Allamah al-Habib ‘Abdullah bin ‘Alwi bin Zein al-Habsyi; Al-‘Allamah al-Habib Hasan bin Muhammad bin Ibrahim Bilfaqih; Al-‘Allamah al-Habib ‘Ali bin ‘Abdurrahman bin Muhammad al-Masyhur; Al-‘Allamah al-Habib ‘Abdullah bin Umar asy-Syatiri; dan ramai lagi.

Antara kata-kata hikmat dan nasihatnya:
  • Pelajarilah cara memetikan hawa nafsu. Pelajarilah adab. Tuntutlah ilmu, baik dari orang dewasa maupun kanak-kanak ……………… Jauhilah dengki dan irihati. Ketahuilah kedua sifat ini dapat mencabut keberkatan ilmu.
  • Allah tidak mensyariatkan shalat berjemaah atau shalat Jum’at atau shalat eid, kecuali kerana ada rahsia yang Allah letakkan dalam kumpulan manusia. Allah telah menjadikan untuk umat Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم saat-saat untuk berkumpul setiap tahun, setiap minggu dan setiap hari. Allah tidak mensyariatkan pertemuan-pertemuan itu dengan sia-sia. Allah mensyariatkannya, tidak lain kerana keistimewaan yang terdapat dalam setiap pertemuan. ………….
  • Penghuni zaman ini hanya berlumba-lumba mencari dunai. Mereka hanya menyukai orang yang memiliki banyak harta, kedudukan yang tinggi dan kemasyhuran. Jika seseorang mempunyai anak yang pandai dalam urusan dunia dan seorang lagi anak yang pandai dalam ilmu agama, maka ia lebih menyayangi anak yang pandai dalam urusan dunia.
  • Manusia di zaman ini hendaknya menjaga cahaya imannya, kerana pergaulan dengan orang-orang yang diliputi kegelapan hanya akan menularkan kegelapannya. Alangkah seringnya hati berbolak-balik. Jika kau berusaha hudhur didalam shalat, dzikir atau tilawah, maka hatimu mengajakmu berkelana ketempat-tempat lain. Di zaman ini tidak ada seorang pun yang mencari tabib bagi penyakit hatinya. Jika ada orang sakit kepala, ia akan segera berkata,: “Ambilkan ubat sakit kepala!” Jika ada yang sakit gigi, ia akan berkata,: Ambilkan ubat sakit gigi! Namun jika terkena penyakit hati, tidak ada yang berusaha mencari tabibnya [yakni syaikh mursyid yang dapat merawat penyakit-penyakit hati]
  • Hadirilah majlis-majlis ilmu dengan hati dan telinga yang mau mendengar. Keluarlah dari majlis itu dengan membawa faedah. Dan faedah majlis yang sebenarnya adalah mengamalkan apa yang telah kalian dengar. Setiap orang hendaknya menujukan nasihat yang ia dengar untuk dirinya sendiri. Terimalah nasihat dengan senang dan hati yang lapang. …………
  • Wahai saudara-saudaraku, hati-hati telah menjadi kaku dan beku, tidak ada lagi bekas dan pengaruh dari al Quran maupun nasihat para ulama yang selalu didengarnya. Sedang kita tidak tahu apa gerangan penyebab kekerasan hati itu. Ketahuilah bahwa penyebab terbesar dan yang paling dominan adalah kerana makanan yang kotor (syubhat atau haram) yang masuk ke perut kita, ketika ini banyak orang tidak mempedulikan dan bahkan tidak takut untuk jatuh pada keharaman. Mereka meremehkan masalah ini …… Bagaimana mungkin nasihat dan peringatan yang disampaikan akan memberikan atsar (pengaruh) dan membekas di hati, sedangkan makanan yang dimakan adalah haram?
  • Berusahalah mencari pekerjaan dan makanan yang halal dan jauhilah keharaman. Dan ketahuilah bahwa kewara’an ini tidak hanya pada makanan sahaja tetapi mencakupi semua aspek pekerjaan kita. Berbuat apapun, tetapi harus dilandasi dengan keberhati-hatian dan kewaspadaan. Jika masih ragu maka tinggalkanlah kerana dikhawatir akan terjerumus pada keharaman dan akibatnya pasti celaka.
  • Jika riwayat hidup kaum ‘arifin dibacakan kepada orang yang beriman, maka imanya kepada Allah akan semakin kukuh. Sebab, kehidupan mereka merupakan cerminan dari kitabullah yang didalamnya terkandung ilmu orang-orang terdahulu dan yang datang kemudian atau refleksi dari hadits Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم atau dari pengetahuan yang ia terima langusng dari Nabi صلى الله عليه وآله وسلم tanpa perantara.
Banyak lagi nasihat dan kata-kata hikmah beliau yang bagaimana yang terkandung didalam beberapa buah kitab seperti Majmu’ Washoya, Majmu’ Kalam al-Habib ‘Ali al-Habsyi, Jawahir al-Anfas fima Yurdhi Rabb an-Nas, al-Mawa’idz al-Aliyyah min al-Majalis al-‘Aliyyah dan lain-lain. Sesungguhnya nasihat dan kata-kata hikmah beliau sentiasa membasahi hati yang gersang bak air hujan yang membasahi tanah yang tandus sehingga menyuburkannya. Memang benarlah bahwa ilmu (hikmah) yang disampaikan seorang ‘arifbillah, akan memberikan ketenangan dan kesejukan hati ibarat air hujan memberikan kesuburan pada pepohonan. Dan sebagaimana kata orang, jika nasihat itu keluar dari hati, maka ia akan masuk kehati ……

Demikianlah sekelumit manaqib al-Habib ‘Ali bin Muhammad al-Habsyi, shahib Maulid Simtud Durar. Insyaallah, mudah-mudahan kita tergolong kaum yang mencintai beliau, para salaf kita dan para auliya serta sholihin, dan moga-moga kita kelak dikumpulkan bersama mereka. آمين Untuk membaca manaqib ‘arifbillah ini secara detail, sila dapatkan buku biografi Habib ‘Ali Habsyi Muallif Simtud Durar oleh Habib Novel Muhammad al-‘Aidarus dan Drs. Abu ‘Abdillah al-Husaini (seperti gambar di atas).

al-fagir disisi makam al-Imam al-Habib 'Ali bin Muhammad bin Hussin al-Habsyi

اللهم أنزل رحمتك في الغدوة والعشي * على حبيبينا حبيب علي بن محمد الحبشي
اللهم صل على وسلم على جده الهاشمي القريشي * سيدنا محمد وآله وصحبه ومن خشي
Ya Allah, limpahkanlah rahmatMu pada setiap pagi dan petang ke atas kekasih kami Habib ‘Ali bin Muhammad al-Habsyi
Ya Allah, sholawat dan salam ke atas datuknya yang berbangsa Hasyimi dan Quraisy, Penghulu kami Sayyidina Muhammad, ahli keluarga Baginda, shahabat Baginda dan mereka yang takut kepadaMu

sekian dari,
al-fagir ilaLlah abu zahrah al-qadahi
taman seri gombak
khamis, 19 rabi' ats-tsani 1432/24 mac 2011, dikemaskini untuk paparan khusus sempena 100 tahun haul Imam al-Habsyi,  dhuhur, 13 rabi' ats-tsani 1433/6 mac 2012.


Beberapa barang peninggalan al-Imam al-Habib 'Ali bin Muhammad bin Hussin al-Habsyi رضي الله عنه


Munshib al-Habsyi Bersama Barang-barang Peninggalan Imam al-Habsyi
Tasbih Imam al-Hasbyi

Habwah kepunyaan al-Imam 'Ali bin Muhammad bin Hussin al-Habsyi
Tasbih dan sejadah al-Imam 'Ali bin Muhammad bin Hussin al-Habsyi
 
Ridak yang dipakai oleh al-Imam 'Ali bin Muhammad bin Hussin al-Habsyi
Sandal yang dipakai oleh al-Imam 'Ali bin Muhammad bin Hussin al-Habsyi
Mangkuk al-Imam 'Ali bin Muhammad bin Hussin al-Habsyi (hadiah dari guru beliau al-Imam Abu Bakar al-'Atthas)
Jubah al-Imam 'Ali bin Muhammad bin Hussin al-Habsyi

اللهم أنزل رحمتك في الغدوة والعشي * على حبيبينا حبيب علي بن محمد الحبشي
اللهم صل على وسلم على جده الهاشمي القريشي * سيدنا محمد وآله وصحبه ومن خشي
Ya Allah, limpahkanlah rahmatMu pada setiap pagi dan petang ke atas kekasih kami Habib ‘Ali bin Muhammad al-Habsyi
Ya Allah, sholawat dan salam ke atas datuknya yang berbangsa Hasyimi dan Quraisy, Penghulu kami Sayyidina Muhammad, ahli keluarga Baginda, shahabat Baginda dan mereka yang takut kepadaMu



1 comment:

  1. asslmu alkmwrwb ustadz, bolehkan saya minta foto2 ini? tolong kirim ke nasrullahmagetan@gmail.com terima kasih

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails