Kewafatannya: Shubuh Jum’at 15 Ramadhan 1425H bersamaan 29 Oktober 2004M, sekitar jam 4.30 pagi waktu Makkah umat islam diseluruh dunia dikejutkan dengan kewafatan beliau. Beliau رضي الله عنه wafat setelah lebih kurang 2 jam setengah menamatkan kuliah terakhirnya bersama lebih daripada 600 orang muridnya. Seluruh masyarakat dunia yang mengenali beliau diselubungi rasa sedih yang mencengkam, menangisi pemergian beliau untuk selamanya. Dunia Islam kehilangan seorang ulama besar yang gigih menegakkan dan mempertahankan yang golongan ahli sunnah wal jamaah yang diwarisi dari zaman Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم, ulama yang tidak mengenal letih dalam mendidik, mentarbiah, menyebarkan ilmu, berdakwah, sebagainya.
Jenazahnya pertama kali disholatkan di rumahnya di Rushaifah diimamkan oleh adindanya Sayyid Abbas. Kemudian di bawa ke Masjidil Haram dengan diiringi hampir 300,000 pencintanya, dan disholatkan dihadapan ka’bah oleh puluhan ribu, bahkan mungkin jutaan manusia yang berada di Masjidilharam dengan diimamkan oleh Imam Subayl.
Kemudian jenazahnya diiringi oleh lautan manusia ke tanah perkuburan Ma’ala untuk upacara pemakaman, sambil melaungkan kalimah tahlil dan takbir. Laluan-laluan ke perkuburan Ma’ala ditutup kepada kenderaan dek kerana dilimpahi oleh ratusan ribu pencintanya. Dikatakan lebih 500 orang tentera dikerah untuk mengawal lautan manusia yang mengiringi jenazahnya ke perkuburan Ma’ala. Jenazahnya disemadikan disebelah ayahandanya yang tercinta. Manakala diseluruh pelusuk dunia pula, umat Islam tidak putus-putus mengadakan sholat ghaib untuk beliau ….. ini bermakna jutaan kaum muslimin yang mengsholatkannya. Allahu Allah. Satu kemuliaan yang Allah berikan kepada ulama yang berjasa ini. Setelah kewafatannya, tempat beliau diganti oleh ananda beliau Sayyid Ahmad bin Sayyid Muhammad al-Hasan bin Sayyid ‘Alawi bin Sayyid ‘Abbas al-Maliki al-Hasani.
Perginya beliau رضي الله عنه tiada gantinya. Hadits memberitahu …. Daripada Abu Darda رضي الله عنه katanya: Aku mendengar Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda (maksudnya): Sesiapa yang pergi di pagi hari kerana inginkan ilmu dan untuk mempelajarinya semata-mata kerana Allah Ta’ala, nescaya Allah Ta’ala akan membukakan baginya satu pintu menuju syurgaNya, para malaikat membentangkan sayapnya untuknya dan demikian juga ikan-ikan dilaut. Kelebihan orang yang alim itu ke atas orang yang abid apalah seumpama kelebihan bulan purnama ke atas sekecil-kecil bintang dilangit. Para ulama itu adalah pewaris Nabi. Sesungguhnya Nabi tidak mewariskan wang dinar dan tidak juga wang dirham, tetapi mereka mewariskan ilmu. Sesiapa yang mengambil ilmu maka dia telah mengambil habuannya yang amat bernilai. Oleh itu matinya seorang yang alim adalah satu musibah yang sukar digantikan dan satu kepincangan yang susah ditutupi. Ini adalah umpama bintang yang hilang sirna (diantara bintang-bintang). Sesungguhnya matinya satu kabilah adalah lebih ringan musibahnya berbanding matinya seorang yang alim (Hadits riwayat Abu Daud, at-Tirmidhi, Ibn Majah dan al-Baihaqi)
Hadits daripada Abdullah bin ‘Amr bin Ash رضي الله عنهما:
Sesungguhnya Allah tidaklah mencabut ilmu dengan (menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) hamba-hambaNya. Tetapi Allah Ta’ala menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim-ulama sehingga apabila tidak tertinggal satu orang alimpun, manusia akan menjadikan pemimpin-pemimpin dari orang-orang yang bodoh, maka tatkala mereka ditanya (tentang masalah agama), lalu mereka akan berfatwa tanpa ilmu, akhirnya mereka sesat dan menyesatkan. (Hadits riwayat al-Bukhari, Muslim, at-Tirmidhi dan Ibn Majah)
Semoga Allah Ta’ala mencucuri rahmat ke atas roh beliau dan menempatkan beliau bersama junjungan besar kita, nendanya Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Semoga Allah Ta’ala juga membalas jasa beliau atas segala jasa yang dicurahkan oleh beliau kepada umat Islam.
Moga-moga dengan mengingati dan mengasihi ulama besar ini, al-Faqir berharap, kelak beroleh syafaat darinya dan terlebih lebih lagi dari Datuknya, Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم . Itulah harapan ambo yang faqir ini.
Ya Allah kurniakanlah rahmat dan kesejahteraan keatas nendanya, Nabi al-Amin, penghulu kami Muhammad dan keatas keluarga dan shahabat-shahabatnya sekalian.
Sekadar inilah yang mampu al-Faqir kongsikan bersama. Seandainya terdapat kesalahan atau kesilapan, al-Faqir memohon kemaafan.
Sekian dari,
Al-Faqir Abu Zahrah
Taman Seri Gombak
Selesai pada 11 Ramadhan 1430H.
Rujukan:
- Ath-Tholi’ as-Sa’iid al-Muntakhib Min al-Musalsalaat wa al-Asaaniid oleh as-Sayyid Muhammad bin ‘Alawi bin ‘Abbas al-Maaliki al-Hasani
- Al-‘Iqdul Fariid al-Mukhtasor Min al-Atsbaat wa al-Asaaniid oleh as-Sayyid Muhammad bin ‘Alawi bin ‘Abbas al-Maaliki al-Hasani
- Al-Maliki Ulama Rabbani Abad Ke-21 oleh Syaikh Muhammad Fuad bin Kamaluddin al-Maliki [buku ini sangat bagus untuk dimiliki kerana memaparkan biografi Abuya Maliki dengan terperinci)
- Sayyid Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki al-Hasani رحمه الله تعالى : Sejarah Hidup Dan Dasar-dasar Pemikirannya oleh Syaikh Ahmad Fahmi Zamzam al-Banjari an-Nadwi al-Maliki.
- Dan lain-lain
No comments:
Post a Comment