Wednesday, March 9, 2011

Habib Noh bin Muhammad al-Habsyi: WaliAllah Tersohor di Singapura

Alhamdulillah ….. al-Fagir berkesempatan ke Singapura pada 14 Mac 2010 atas pelawaan seorang teman untuk menemani beliau ke pulau tersebut. Sudah sekian lama al-Fagir berhasrat untuk menziarahi makam al-Habib Noh bin Muhammad al-Habsyi. Kali terakhir adalah pada tahun 1982. Maknakata 28 tahun dah tak jengok Singapura …… Alhamdulillah diatas ni’mat yang Allah Ta’ala kurniakan ini iaitu menziarahi makam kekasihnya. Setelah kembali dari ziarah tersebut, al-Fagir berhasrat untuk berkongsi di Laman al-Fanshuri – Kenali Ulama Kita dan Laman al-Fanshuri – Ahlul Kisa` mengenai managib al-Habib Noh bin Muhammad bin Ahmad al-Habsyi رضي الله عنه.
Managib ini al-Fagir nukil daripada buku The Grand Saint of Singapore (buku diterjemahkan dari sebuah buku berjudul Lambang Terukir Dalam Mengisahkan Manaqib Habib Noh bin Muhammad al-Hasbyi Yang Syahir atau al-‘Alam an-Naqsyi fi Dzikri Manaqib al-Habib Noh bin Muhammad al-Habsyi) yang disusun oleh al-Fadhil Ustaz Muhammad Ghouse Khan Surattee dan Unit Dakwah Masjid al-Firdaus, Singapura, yang dihadiahkan oleh seorang hamba Allah sewaktu al-Fagir disana, dan juga dari buku 7 wali melayu yang ditulis oleh kenalan al-Fagir, Ustaz Abdul Ghani Said.

Siapakah al-Habib Noh bin Muhammad al-Habsyi yang harun namanya ini? Siapa dia yang makamnya yang tidak pernah sunyi daripada diziarahi ini? Bahkan kata sesetengah orang, tidak sempurna lawatan ke Singapura kalau tidak menziarahi makam shohib Pulau tersebut iaitu al-Habib Noh bin Muhammad al-Habsyi.

Nasabnya: Noh bin Muhammad bin Ahmad bin Aidarus bin Hadi ast-Tsani bin Aidarus bin Hadi al-Awwal bin Ahmad (Shahib asy-Syi’ib) bin Muhammad Asghar bin ‘Alwi bin Abu Bakar al-Habsyi bin ‘Ali al-Faqih bin Ahmad al-Qadhi bin Muhammad Asadullah bin Hasan at-Turabi bin ‘Ali bin al-Faqih al-Muqaddam Muhammad bin ‘Ali bin Muhammad Shohibul Mirbath bin Abu al-Hasan Nur al-Diin Ali Khali’ Qasam bin ‘Alwi bin Muhammad bin’Alwi bin’Ubaidullah bin al-Muhajir Ahmad bin ‘Isa al-Rumi bin Muhammad al-Naqib bin ‘Ali al-Uraidhi bin Ja’far as-Shadiq bin Muhammad al-Baqir bin ‘Ali Zainal ‘Abidin bin Hussin al-Sibth putera kepada Sayyidina ‘Ali bin Abi Thalib dan Sayyidah Fathimah al-Zahra’ binti Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم.
Makam Habib Aidarus bin Hadi al-Habsyi, moyang kepada Habib Noh yang terletak di Masjid Tengkera, Melaka
Ayah beliau al-Habib Muhammad bin Ahmad al-Habsyi berasal dari Seiyun. Beliau adalah seorang yang sholeh dan bersifat penyayang dan dermawan. Manakala bonda beliau Hubabah Bahiyyah binti ‘Aqil bin Yahya berasal dari Ta’iz.

اللهم أنزل رحمتك في الغدوة والعشي * على حبيبينا حبيب نوح بن محمد الحبشي
اللهم صل على وسلم على جده الهاشمي القريشي * سيدنا محمد وآله وصحبه ومن خشي
Ya Allah, limpahkanlah rahmatMu pada setiap pagi dan petang ke atas kekasih kami Habib Noh bin Muhammad al-Habsyi
Ya Allah, sholawat dan salam ke atas datuknya yang berbangsa Hasyimi dan Quraisy, Penghulu kami Sayyidina Muhammad, ahli keluarga Baginda, shahabat Baginda dan mereka yang takut kepadaMu

Mengenai Keluarga Besar al-Habib Noh: Menurut al-Habib Hasan bin Muhammad bin Salim حفظه الله ومتعنا الله بطول حياته, Imam Masjid Ba’alawi Singapura: Datuk  yang ketujuh didalam nasab al-Habib Noh iaitu al-Habib Ahmad bin Muhammad al-Habsyi yang dikenali sebagai al-Habib Ahmad bin Muhammad Shohib Syi’ib adalah seorang waliAllah terkenal. Beliau digelar sebagai Shohib Syi’ib kerana makam beliau terletak di kaki bukit di Husaiyyisah, sebuah lokasi yang terletak di antara Seyoun dan Tarim.

Alhamdulillah, al-Fagir berkesempatan menziarahi makam waliAllah yang terkenal ini sewaktu ke Hadramaut. Makam beliau terletak dikaki bukit, manakala di puncaknya pula terdapat makam al-Muhajir Ahmad bin Isa.
Gambar ini al-Fagir ambil ketika melawat makam tersebut pada tahun 2010. Sudah diperbaharui.
Gambar ini diambil pada tahun 2008
Menurut al-Habib Hasan bin Muhammad bin Salim lagi: Gelaran al-Habsyi datang dari datuk Habib Noh yang ke-10 iaitu al-Habib Abu Bakar bin ‘Ali. Beliau diberi gelaran ini kerana pernah bermastautin di Habsyah atau sekarang ini dipanggil Ethopia selama hampir 20 tahun.

اللهم أنزل رحمتك في الغدوة والعشي * على حبيبينا حبيب نوح بن محمد الحبشي
اللهم صل على وسلم على جده الهاشمي القريشي * سيدنا محمد وآله وصحبه ومن خشي
Ya Allah, limpahkanlah rahmatMu pada setiap pagi dan petang ke atas kekasih kami Habib Noh bin Muhammad al-Habsyi
Ya Allah, sholawat dan salam ke atas datuknya yang berbangsa Hasyimi dan Quraisy, Penghulu kami Sayyidina Muhammad, ahli keluarga Baginda, shahabat Baginda dan mereka yang takut kepadaMu

Kelahiran: Menurut riwayat, beliau dilahirkan sekitar tahun 1202H atau 1203H (bersamaan 1788M) diatas kapal semasa keluarga beliau belayar dari Hadramaut ke Pulau Pinang (yang mana asalnya dibawah pentadbiran Kesultanan Kedah dan kemudian diserahkan kepada Inggeris pada tahun 1786) melalui Palembang. Menurut versi lain yang ditulis oleh Sayyid ‘Abbas al-Habsyi, iaitu cicit kepada Habib Noh, beliau (al-Habib Noh) dilahirkan di Kedah. Dan menurut versi Ensaiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu, beliau dilahirkan di Pulau Pinang. Kesemuanya adalah benar kerana Pulau Pinang adalah sebahagian dari Kedah sebelum di berikan kepada British.

Adik-beradik: Adik-beradik beliau seramai 5 orang (termasuk beliau) iaitu:
Dari perkahwinan bapa beliau, Habib Muhammad bin Ahmad al-Habsyi dengan Syarifah Bahiyyah binti ‘Aqil bin Yahya
  • Al-Habib Noh bin Muhammad al-Habsyi (wafat pada tahun 1866M, makamnya di Tanjung Pagar, Singapura)
  • Syarifah Aloyah (‘Alawiyyah)
Dari perkahwinan bapa beliau, Habib Muhammad bin Ahmad al-Habsyi dengan Ku Pahmah binti Ku Zainal ‘Abidin
  • Al-Habib ‘Ariffin (wafat pada tahun 1904M, makam beliau di Jalan Burma, Pulau Pinang)
  • Al-Habib Ahmad Salikin (makam beliau di Daik-Lingga, Indonesia)
  • Al-Habib ‘Ali Zainal ‘Abidin (makam beliau dikatakan berada di Kg Sakai, Pontian, Johor dan ada yang mengatakan makam beliau terletak di Daik-Lingga, Riau. Wallahu a’lam)

اللهم أنزل رحمتك في الغدوة والعشي * على حبيبينا حبيب نوح بن محمد الحبشي
اللهم صل على وسلم على جده الهاشمي القريشي * سيدنا محمد وآله وصحبه ومن خشي
Ya Allah, limpahkanlah rahmatMu pada setiap pagi dan petang ke atas kekasih kami Habib Noh bin Muhammad al-Habsyi
Ya Allah, sholawat dan salam ke atas datuknya yang berbangsa Hasyimi dan Quraisy, Penghulu kami Sayyidina Muhammad, ahli keluarga Baginda, shahabat Baginda dan mereka yang takut kepadaMu

Keturunan beliau: Tatkala berusia 18 tahun al-Habib Noh berkahwin dengan seorang gadis bernama Anchik Hamidah daripada Telok Ayer Tawar, Seberang Perai, Pulau Pinang. Hasil dari perkahwinan tersebut beliau dikurniakan seorang cahayamata bernama Syarifah Badariyah. Syarifah Badariyah berkahwin dengan Sayyid Muhammad bin Hasan asy-Syathiri dan dikurniakan cahayamata bernama Syarifah Ruqaiyyah (wafat di Singapura pada tahun 1891). Syarifah Ruqaiyyah berkahwin dengan Sayyid ‘Alwi bin Ali al-Junied dan dikurniakan beberapa orang cahayamata iaitu Syarifah Muznah, Sayyid ‘Abdurrahman, Syarifah Zaynah, Sayyid ‘Abdullah dan Syarifah Zubaidah.

اللهم أنزل رحمتك في الغدوة والعشي * على حبيبينا حبيب نوح بن محمد الحبشي
اللهم صل على وسلم على جده الهاشمي القريشي * سيدنا محمد وآله وصحبه ومن خشي
Ya Allah, limpahkanlah rahmatMu pada setiap pagi dan petang ke atas kekasih kami Habib Noh bin Muhammad al-Habsyi
Ya Allah, sholawat dan salam ke atas datuknya yang berbangsa Hasyimi dan Quraisy, Penghulu kami Sayyidina Muhammad, ahli keluarga Baginda, shahabat Baginda dan mereka yang takut kepadaMu

Berhijrah Ke Singapura: Sekitar tahun 1819, al-Habib Salim bin ‘Abdullah BaSumayr telah menjemput al-Habib Noh untuk tinggal di Singapura. Berdasarkan beberapa sumber, Habib Noh sampai di Singapura tidak lama setelah Stamford Raffles mendarat di di pulau tersebut (Stamford Raffles tiba di Singapura pada 29 Januari 1819M). Usia al-Habib Noh ketika itu sekitar 30an. Menurut beberap sumber, ketika datang ke Singapura beliau tinggal di Kampung Kaji, iaitu sebuah kampung yang terletak berhampiran dengan Masjid Sultan.
Habib Noh tinggal di Singapura selama 47 tahun. Beliau juga sering ke Johor dan negeri-negeri lain di Semenanjung Tanah Melayu untuk berdakwah.
اللهم أنزل رحمتك في الغدوة والعشي * على حبيبينا حبيب نوح بن محمد الحبشي
اللهم صل على وسلم على جده الهاشمي القريشي * سيدنا محمد وآله وصحبه ومن خشي
Ya Allah, limpahkanlah rahmatMu pada setiap pagi dan petang ke atas kekasih kami Habib Noh bin Muhammad al-Habsyi
Ya Allah, sholawat dan salam ke atas datuknya yang berbangsa Hasyimi dan Quraisy, Penghulu kami Sayyidina Muhammad, ahli keluarga Baginda, shahabat Baginda dan mereka yang takut kepadaMu


Karamahnya:  Habib Noh al-Habsyi terkenal mempunyai banyak karamah bahkan karamah beliau zahir sewaktu hayatnya lagi. Disini al-Fagir bawakan sebahagian kecil dari kisah karamah beliau.

1. Pernah berlaku satu peristiwa di mana Gabenor Crawford memarahi dan menghina Habib Noh kerana Habib Noh tidak menghormatinya. Maka tidak semena-mena kereta kuda yang dinaiki Gabenor Crawford tidak dapat bergerak, melekat pada bumi. Gabenor Crawford menjadi berang dan bertanya kepada pengiringnya. Tetapi pengiringnya bertanya kepada Gabenor Crawford: “Tahukah tuan siapakah orang yang tuan marah dan hina itu?” Gabenor Crawford menjawab: ‘Itu orang gila”.
“Sebenarnya dia bukan orang gila, tetapi dia orang baik dan ada karamah. Lihat! Bila tuan marah pada dia, dia sumpah dan sekarang kereta tuan tidak dapat bergerak” jelas pengiringnya. Gabenor Crawford menjadi takut dan akhirnya meminta maaf daripada Habib Noh. Setelah Habib Noh menepuk-nepuk kaki kuda itu, baharulah kuda itu dapat berjalan semula.

2. Diceritakan bahawa pernah beliau dipenjarakan oleh Gabenor Crawford si penjajah Inggeris. Anehnya, Habib Noh boleh berada di luar penjara pada bila-bila masa sahaja yang dia kehendaki, walaupun dalam penjara kaki dan tangannya dirantai. Walaupun ditangkap semula, beliau tetap dapat keluar dari penjara, sehingga penjajah tidak betah lagi untuk memenjarakan beliau kerana penjara tidak lagi mempunyai apa-apa arti buat beliau.


3. Habib Noh juga pernah dikuarantine oleh penjajah Inggeris di Pulau Sekijang Bendara (St. John Island) bersama dengan Syeikh Idris. Pulau Sekijang Bendara adalah pulau di khaskan kepada mereka yang berpeyakit berjangkit. Dan penjajah Inggeris telah menyangka Habib Noh terkena penyakit ganjil yang perlu di kaji kerana keanehan-keanehan yang berlaku kepada beliau. Namun setelah diletakkan di pulau tersebut, Habib Noh dan Syeikh Idris dilihat berjalan diatas air kembali menuju ke pulau Singapura.

اللهم أنزل رحمتك في الغدوة والعشي * على حبيبينا حبيب نوح بن محمد الحبشي
اللهم صل على وسلم على جده الهاشمي القريشي * سيدنا محمد وآله وصحبه ومن خشي
Ya Allah, limpahkanlah rahmatMu pada setiap pagi dan petang ke atas kekasih kami Habib Noh bin Muhammad al-Habsyi
Ya Allah, sholawat dan salam ke atas datuknya yang berbangsa Hasyimi dan Quraisy, Penghulu kami Sayyidina Muhammad, ahli keluarga Baginda, shahabat Baginda dan mereka yang takut kepadaMu

4. Diceritakan lagi bahawa pada satu ketika ada seorang saudagar yang sedang dalam pelayaran ke Singapura. Dalam pelayaran, kapalnya telah dipukul ribut kencang. Dalam suasana cemas tersebut, saudagar itu berdoa kepada Allah agar diselamatkan kapalnya dari ribut tersebut dan dia bernazar jika sekiranya dia selamat sampai ke Singapura dia akan menghadiahkan kain kepada Habib Noh. Alhamdulillah, dia dan dagangannya diselamatkan Allah dari keganasan ribut tersebut. Setibanya di Singapura, dia hairan kerana Habib Noh telah sedia menunggu kedatangannya di pelabuhan dan memintanya melaksanakan nazar yang telah dibuatnya di tengah laut itu.

5. Diceritakan lagi bahawa seorang yang hendak belayar membawa dagangan yang mahal mengikut sebuah kapal telah menghadap Habib Noh memohon doa agar pelayarannya selamat. Habib Noh dengan keras melarang dia membawa dagangannya tersebut. Memandangkan ketegasan Habib Noh tersebut, maka saudagar tersebut tidaklah jadi membawa dagangannya dengan kapal tersebut. Tidak berapa lama selepas kapal tersebut berlepas, penduduk Singapura dimaklumkan bahawa kapal tersebut telah terbakar dan tenggelam.
اللهم أنزل رحمتك في الغدوة والعشي * على حبيبينا حبيب نوح بن محمد الحبشي
اللهم صل على وسلم على جده الهاشمي القريشي * سيدنا محمد وآله وصحبه ومن خشي
Ya Allah, limpahkanlah rahmatMu pada setiap pagi dan petang ke atas kekasih kami Habib Noh bin Muhammad al-Habsyi
Ya Allah, sholawat dan salam ke atas datuknya yang berbangsa Hasyimi dan Quraisy, Penghulu kami Sayyidina Muhammad, ahli keluarga Baginda, shahabat Baginda dan mereka yang takut kepadaMu

6. Diceritakan lagi  bahawa Habib Noh pernah berjalan kaki mengharungi hujan lebat dan  ribut semata-mata pergi mengubati kanak-kanak yang sakit. Beliau berjalan kaki ke Paya Lebar dari rumah beliau di Telok Blangah. Bila beliau sampai di rumah kanak-kanak tersebut, ibubapa kanak-kanak itu terkejut melihat pakaian Habib Noh langsung tidak basah.

7. Dalam satu insiden lain, Habib Noh telah dikejutkan oleh tangisan berterusan anak jirannya. Bila beliau pergi ke sana, beliau dapati bahawa keluarga itu amat miskin dan tidak mampu membeli makanan untuk anak yang kelaparan itu. Beliau mengalirkan airmata bila mendengar cerita itu, lantas mengambil satu tempurung kelapa, menuangkan air ke dalamnya dan membaca doa. Dengan kehendak Allah, air itu bertukar menjadi susu untuk diminum oleh kanak-kanak tersebut.

اللهم أنزل رحمتك في الغدوة والعشي * على حبيبينا حبيب نوح بن محمد الحبشي
اللهم صل على وسلم على جده الهاشمي القريشي * سيدنا محمد وآله وصحبه ومن خشي
Ya Allah, limpahkanlah rahmatMu pada setiap pagi dan petang ke atas kekasih kami Habib Noh bin Muhammad al-Habsyi
Ya Allah, sholawat dan salam ke atas datuknya yang berbangsa Hasyimi dan Quraisy, Penghulu kami Sayyidina Muhammad, ahli keluarga Baginda, shahabat Baginda dan mereka yang takut kepadaMu


Kewafatannya: Menjelang akhir usianya, Habib Noh sering memberitahu teman-temannya bahwa beliau akan berpindah ke dunia lain untuk selama-lamanya. Bahkan beliau telah menyuruh abang Temenggong (Abu Bakar) yang bernama Wan Majid untuk menempah keranda nya tiga hari sebelum kewafatannya.

Pada hari Jum’at,  14 Rabiulawwal 1283H/27 Julai 1866M, Habib Noh yang sihat wal ‘afiat kelihatan keluar menaiki beca untuk membeli kain kafannya, selepas waktu Shubuh. Beliau sempat pula mewasiatkan beberapa nasihat kepada mereka yang rapat dengan beliau. Dan kira-kira jam 6.00 pagi beliau wafat di rumah Temenggong Abu Bakar di Telok Blangah. Beliau menutup usia pada umur 78 tahun. Jenzah beliau disholatkan setelah selesai sholat Jum’at. Jenazah beliau dimakamkan kemuncak bukit Palmer sebagaimana yang beliau wasiatkan.

اللهم أنزل رحمتك في الغدوة والعشي * على حبيبينا حبيب نوح بن محمد الحبشي
اللهم صل على وسلم على جده الهاشمي القريشي * سيدنا محمد وآله وصحبه ومن خشي
Ya Allah, limpahkanlah rahmatMu pada setiap pagi dan petang ke atas kekasih kami Habib Noh bin Muhammad al-Habsyi
Ya Allah, sholawat dan salam ke atas datuknya yang berbangsa Hasyimi dan Quraisy, Penghulu kami Sayyidina Muhammad, ahli keluarga Baginda, shahabat Baginda dan mereka yang takut kepadaMu

Untuk mengetahui lebih terperinci mengenai WaliAllah yang masyhur ini, sila dapatkan buku bertajuk  Lambang Terukir Dalam Mengisahkan Manaqib Habib Noh bin Muhammad al-Habsyi Yang Shahir. Buku ini disusun dan diterbitkan oleh Unit Dakwah Masjid al-Firdaus dan disunting oleh Ustaz Muhammad Ghouse Khan Surattee atau buku 7 Wali Melayu yang ditulis oleh Ustaz Abdul Ghani Sa’id.
Sekian dari,
al-fagir abuzahrah
rabu, 4 rabiulakhir 1432H
rumah, taman seri gombak

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails