Sunday, October 3, 2010

Institusi Pondok Di Negeri Kedah Darul Aman - Siri 2

Sekolah pondok Madrasah Sa'adatud-Darain yang diasaskan oleh Haji Ahmad Tampong.
Sambungan dari siri sebelumnya ...
Institusi Pondok Di Negeri Kedah Darul Aman
Oleh: Tuan Haji Ismail Salleh
Sumber: mykedah.com
Kadang-kadang ulama pondok menjadi pakar runding atau pakar rujuk kepada sultan dan pembesar-pembesar yang memerintah. Begitulah yang terjadi kepada Tuan Guru Haji Wan Ishak di Pulau Pisang yang menjadi pakar runding dan pakar rujuk malahan menjadi Pemangku Raja kepada Tunku Anum bin Tunku Abdul Rahman di Kubang Pasu. Tuan Guru Haji Muhammad Taib (Tok Titi Gajah), Haji Saleh Penaga dan Tuan Haji Tajuddin Mukarram Syah (1854-1879).

Perkataan 'pondok' asalnya dari perkataan Arab "funduk" yang bererti rumah tumpangan atau rumah perhentian sementara. Ini menggambarkan sistem persekolahan yang mana pelajar-pelajarnya mendirikan rumah-rumah kecil sebagai tempat tinggal sementara sambil belajar. Biasanya rumah-rumah kecil ini didirikan oleh ibu bapa atau waris setiap pelajar berhimpit-himpit mengelilingi rumah tuan guru di sesuatu pondok itu. Di Jawa pusat pengajian begini dipanggil "Pesantren' dan di Sumatera sebagai "Rengkum". "Funduk" yang bererti tempat tinggal sementara itu sekarang difahamkan juga di Timur Tengah sebagai "hotel". Sistem pondok seperti yang terdapat di Nusantara tidak wujud di Timur Tengah.

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan ramainya alim ulama yang menjadi tuan-tuan guru di persekolahan pondok di Negeri Kedah. Salah satunya ialah kerana menjadi penghijrahan orang-orang Melayu Patani di Thailand Selatan yang telah lama mengamalkan persekolahan agama secara pondok di sana. Ulama-ulama yang ditindas atau disekat kebebasan berdakwah di sana oleh pemerintah Thai merasai perlu berhijrah ke Kedah, Kelantan, Terengganu dan ke Pulau Pinang, malahan ada sesetengahnya yang berhijrah ke Makkah di Arab Saudi atau ke Timur Tengah. Ulama-ulama Patani membawa pengaruh baru ke Kedah khususnya ke atas rupa dan corak pendidikan agama di Negeri Kedah.

Penghijrahan orang-orang Patani ke Kedah berlaku sepanjang masa sejak tumbangnya Kerajaan Ayutthaya pada 1778 lagi. Tetapi penghijrahan yang besar hanya berlaku di antara 1815 dengan 1833 iaitu ketika Kerajaan Thai di Bangkok menyerang kesultanan Patani habis-habisan. Pengaruh dari Aceh tidak ada di Kedah selain dari beberapa buah kitab agama yang dikarang oleh beberapa ulama Aceh dan dibuat bahan kajian di pondok-pondok di sini. Ulama-ulama Aceh yang membuka persekolahan pondok di Yan itu semuanya untuk orang-orang Aceh yang tinggal di Yan itu sahaja dan bukan untuk orang-orang Kedah yang tidak memahami Bahasa Aceh.

Di antara ulama Aceh yang terkenal datang membuka pusat pengajian di Yan, Kedah pada 1900 ialah Tengku Mohamad Arshad yang dikenali sebagai Tengku di balai kemudiannya disusuli oleh Tunku Haji Musa, Tengku Lam Surau dan Tuan Syeikh Umar. Tengku Lam Uu pada tahun 1910. Kemudian tiba pula Tengku Haji Muhamad Dahan al-Hafiz pada 1920. Ulama Aceh ini berbakti hanya kepada orang-orang Aceh yang tinggal di Yan sahaja dan tidak kepada seluruh penduduk Kedah.
Bekas sekolah pondok yan dibuka oleh Haji Omar dan dikenali dengan nama Madrasah Bukit Haji Omar
Pengaruh Patani yang dikatakan bertanggungjawab membawa budaya pondok ke Kedah ini dapat dirasai juga di Kelantan, Terengganu dan di Pulau Pinang serta Perlis dan juga di Makka-tul-Mukarramah. Kemajuan pendidikan agama yang di capai oleh Patani Darus-Salam dan perkembangan pemikiran ulama-ulamanya telah mempengaruhi semua ulama-ulama di Kedah dan membanyakkan ulama-ulama kitab,cerdik pandai agama dan pemuka gerakan Islam yang berjasa. 

Selain dari melakukan penghijrahan ke Kedah dan membuka pusat-pusat pengajian di sini, ramai pula orang-orang Kedah yang merantau ke Patani menyambung pelajaran agama mereka di pondok-pondok di Patani. Kerana pengaruh Patani turut dirasai di Kelantan dan di Terengganu serta di Makkah, maka apabila orang-orang dari Kedah menyambung pelajaran agama mereka ke Kelantan atau ke Terengganu atau ke Makkah, masing-masingnya tidak terlepas dari pengaruh ulama-ulama Patani.

Walau bagaimanapun pusat pengajian yang paling dihormati ialah di Masjidil Haram di Makkatul Mukarramah iaitu tempat ulama seluruh dunia Islam berkumpul bersama ahli ilmu sufi, ahli falsafah, ahli bahasa Arab dan sejarawan Islam menukar maklumat dan pendapat. Ulama-ulama Patani memanjangkan pengaruh mereka ke Kedah dan juga ke merata-rata tempat di Nusantara melalui kitab-kitab agama yang mereka karang atau terjemahkan ke bahasa Melayu dari kitab-kitab ulama Arab. Kitab-kitab mereka amat popular di pondok-pondok.

Di antara kitab-kitab ulama Patani itu ialah seperti karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fatani dan Tuan Guru Wan Ahmad bin Wan Muhammad Zaid bin Mustaffa al Fatani serta lain-lain. Nama-nama kitab yang menjadi buah mulut ialah seperti" Kifayat al-Muhtaj, Bulugh al Maram, Al Durr al-Thamin, Kasyf al Ghummah, Minhaj al 'Abidin, munyat al Musalli, Furu'al Masail Bughyat al Tullab dan lain-lain karya Syeikh Daud al Fatani di samping Bisyarat al-Amilin, Hadiqatul Azhar, Kitab Wirid dan Doa serta lain-lain lagi karya Tuan Guru Wan Ahmad Muhammad Zain al Fatani dan juga karya-karya ulama Patani lain. Faktor kedua yang menyebabkan banyaknya persekolahan dibuka di sini mungkin kerana Kedah ialah salah sebuah negeri yang mempunyai kawasan sawah padi yang luas. 

Sungguhpun Kedah menghasilkan padi sejak zaman Empayar Melaka lagi tetapi penumpuan kepada kerja-kerja bersawah dan menentukan padi menjadi hasil negeri yang utama ialah di dalam zaman Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin yang memilih bandar Alor Star menjadi ibu negeri dalam tahun 1736. Sejak itu, Alor Star muncul di tengah-tengah sawah yang jauh lebih luas dari zaman-zaman sebelumnya.

Pelajar-palajar yang menumpang di pondok-pondok mengelilingi pusat-pusat pengajian agama diberi peluang membantu petani-petani di sawah ketika tenaga mereka diperlukan sambil mengumpul pendapatan membantu persekolahan mereka di pondok-pondok mereka. Kebanyakan pondok-pondok mengambil cuti panjang di musim-musim menuai sebagai memberi peluang kepada pelajar-pelajar untuk bekerja di sawah-sawah. Selain dari menerima upah dan ganjaran, mereka pula diberikan zakat dan sedekah oleh tuan-tuan punya sawah.

Mukim Langgar dekat Alor Star yang menjadi pusat persawahan yang amat luas menjamin pertumbuhan sembilan buah persekolahan pondok di sekitarnya. Persekolahan Pondok yang paling awal di Mukim Langgar ialah Pondok Tasak di bawah Tuan Guru Haji Muhammad Noor bin Abu Bakar (Tuan Mad Nor Keramat), dan disambung pula oleh Tuan Guru Haji Shaari bin Haji Taha. Keduanya ialah Pondok Tuan Haji Ahmad Tua di Alor Setol dan disambung hayatnya oleh Tuan Guru Haji Nawawi bin Haji Saleh. Ketiganya ialah Pondok Tuan Guru Haji Abu di Alor Keladi.

Kemudian terdapat pula Pondok Tuan Haji Ahmad bin Haji Yassin (Tok Janggut) di Langgar Satu, Pondok Tuan Haji Husin bin Haji Saleh berhampirannya, Pondok Tuan Syeikh Abdullah Masri di Tanjung Inggeris dan Pondok Tuan Haji Abdullah bin Haji Yusof (Haji Abdullah Kechik) berhampirannya, kemudian terdapat pula Pondok Tuan Haji Dahlan di Jalan Makam dan Pondok Tuan Haji Muhammad Marzuki bin Muhammad Amin di persimpangan Jalan Makam itu. Seperti biasa, setengah dari pondok-pondok ini menjadi tempat perlindungan orang tua-tua yang belajar di pondok-pondok ini sehingga mereka meninggal dunia di situ. Keadaan yang sama seperti di Langgar berlaku juga di Mukim Pendang, dua puluh batu dari Alor Star. Di sana terdapat sekurang-kurangnya sembilan buah persekolahan pondok juga didirikan hampir bersebelah menyebelah. Pondok Tuan Haji Ismail bin Haji Mustaffa, Tok Ayah Cik Dol, didirikan di Kampung Gajah Mati, Pendang dikira paling awal yang kemudiannya diikuti pula oleh pondok-pondok lain dibukai oleh:
  1. Tuan Haji Munah di Padang Pusing, Pendang
  2. Tuan Haji Muhammad di Padang Pusing, Pendang
  3. Tuan Haji Ahmad Rabat, Kampung Chegar, Pendang
  4. Tuan Haji Ibrahim, Paya Sena
  5. Tuan Haji Muhammad Ariff bin Ishak, di Ayer Putih, Pendang
  6. Tuan Haji Wan Ibrahim (Pak Chu Hin), Chegar menantu Tok Ayah Che Dol
  7. Tuan Haji Husin, Seberang Pendang, Pendang
  8. Tuan Haji Abdul Aziz bin Haji Ibrahim, berhampiran Pekan Pendang.
Faktor ketiga yang menyebabkan banyaknya persekolahan pondok dibuka di Negeri Kedah ialah kerana peranan Sultan dan pembesar-pembesar memberi galakan dan perlindungan kepada perkembangan pendidikan agama di kalangan anak negeri. Hanya melalui pendidikan di pondok itulah sahaja anak-anak negeri berpeluang belajar menulis dan membaca. Sultan dan pembesar juga amat memerlukan bantuan alim ulama untuk mentadbirkan negeri dan menjalankan undang-undang syariah di dalam negeri.
Madrasah Al-Hamidiah yang ditubuhkan oleh Hj. Wan Sulaiman Wan Sidek
Sultan Abdul Hamid Halim Syah yang mewarisi singgahsana Kerajaan Negeri Kedah dari kekandanya Sultan Zainal Rashid Muazzam Syah pada 1882 merupakan peneroka Kedah moden. Baginda bukan sahaja memodenkan Kedah pada segi pembangunan materialnya seperti bangunan dan sistem pentadbiran tetapi juga pada segi rohaniahnya seperti membangunkan sekolah-sekolah dan meningkatkan ilmu pengetahuan rakyat keseluruhannya.

Dalam zaman Sultan Abdul Hamid Halim Syah pondok-pondok tidak lagi menjadi pusat pengajian seratus peratusnya untuk mencernakan manusia bertamaddun sekolah-sekolah Melayu telah mengambil alih tugas itu. Pondok-pondok tidak lagi meyediakan tempat untuk pengajaran dan pembelajaran tulis menulis, baca membaca, kira mengira dan mengenali undang-undang negeri dan tatasusila berkehidupan di dalam kampung. Pelajaran membaca Quran dan ilmu tajwid pun sudah diajar di sekolah-sekolah. Quran tidak lagi disalin tangan. Masa ini sudah ada percetakan dan kitab-kitab boleh dibeli di kedai-kedai kitab.

Dalam zaman Sultan Abdul Hamid, pondok hanya menumpukan pengajaran ilmu agama kepada pelajar-pelajar dewasa lepasan sekolah-sekolah Melayu mendalami ilmu-ilmu seperti:
  • Tauhid, Fiqah, Tasawuf, Mantiq, Usuluddin
  • Pembacaan Quran dan tafsir
  • Hadith dan sirah nabi
  • Nahu dan saraf
  • Bahasa Arab dan Balaghah
  • Ceramah, Muzakarah
  • Soal jawab dan perbincangan
  • Penghafalan do'a dan wirid,
Bagaimanapun tidaklah dapat disangkal terdapat pondok-pondok yang mengajar kanak-kanak membaca dan menulis serta mengira kerana letaknya terpencil dan jauh dari sekolah Melayu. Setengah-setengah pondok masih mempunyai tuan-tuan guru yang tidak dapat memisahkan diri dari cara-cara menghayati pondok yang dipusakainya dari tuan-tuan guru yang lama sebelumnya. Pelajar-pelajar di pondok diberi peluang memilih mana-mana mata pelajaran yang hendak dipelajari, kemudian memilih pula dengan sendiri mana-mana yang hendak didalami - bukanlah dipaksa mempelajari semua mata pelajaran tersenarai di atas. Pondok-pondok paling banyak sekali didirikan ialah di zaman Sultan Abdul Hamid Halim Syah. Di antara yang wujud antara 1900 hingga 1935 ialah:
  1. Tuan Husin Muhammad Nasir al-Mas'udi al-Banjari, 1900 di Bohor;(1863-1936)
  2. Tuan Haji Wan Sulaiman bin Wan Sidik, 1906 di Kanchut, Alor Star(1874-1935)
  3. Tuan Haji Idris bin Haji Wan Jamal,Tok Syeikh Jarum,1900 di Derga(1840-1911)
  4. Tuan Haji Muhammad Ariff bin Haji Ishak, Sungai Nonang, Yan, 1901
  5. Tuan Haji Husain bin Muhammad Hassan, Titi Besi,1900 (1852-1932)
  6. Tuan Haji Yaakub bin Haji Ahmad,Pedu; 1900 di Batu Menunggul Pendang
  7. Tuan Haji Muhammad Lin,Yan; (1913)
  8. Tuan Syeikh Abdul Kadir, Guar Kepayang
  9. Tuan Haji Abu Bakar bin Haji Abdullah, Penyarum, Tobiar (1879-1843)
  10. Tuan Haji Yunus Perlis, Bukit Besar
  11. Tuan Haji Abdul Hamid, Tobiar; meninggal 1940
  12. Tuan Haji Yaakub bin Haji Abdul Rahman, Sik
  13. Tuan Umar bin Muhammad Zain, Titi Gajah, Kota Star
  14. Tuan Haji Idris (Jawa), Ayer Hitam, Jitra
  15. Tuan Haji Ibrahim, Paya Sena, Pendang
  16. Tuan Haji Ismail, Teluk Ara, Jitra
  17. Tuan Haji Muhammad Salleh bin Idris, Lubuk Kawah 1920, Jitra
  18. Tuan Haji Muhammad Saman, Kubang Siam, Kota Star
  19. Tuan Haji Ahmad Robat, Cegar, Pendang
  20. Tuan Haji Ismail, Gunung Keriang, Kota Star
  21. Tuan Haji Saad, Kubang Bongor, Kota Star
  22. Tuan Haji Saleh Masri bin Haji Abdullah, Kuala Kedah
  23. Tuan Haji Ahmad Umar, Tanjung Musang, Langgar, Kedah
  24. Tuan Haji Abdullah Tanjung Musang, Langgar, Kedah
  25. Tuan Haji Yassin, Selarung Lalang, Alor Star
  26. Tuan Haji Yassin, Jabi, Kota Star
  27. Tuan Haji Yassin, Alor Ibus, Kota Star
  28. Tuan Haji Muhammad Saman Serban Hijau, Yan
  29. Tuan Haji Muhammad Arshad, Teluk Bagan, Alor Star
  30. Tuan Haji Muhammad Nur bin Haji Abdul Salam, Si Putih, Kubang Pasu
  31. Tuan Haji Abdul Rahman, Tualang
  32. Tuan Haji Ismail bin Che' Abu, Bujang, Merbuk, Kedah
  33. Tuan Haji Awang Hamzah, Kubang Siam, Kota Star
  34. Tuan Haji Harun bin Muhammad Zain, Alor Merah, Alor Star
  35. Tuan Haji Umar, Merbuk
  36. Tuan Haji Yahya bin Haji Taha, Kupang, Baling
  37. Tuan Haji Wan Sulung bin Wan Chik, Jeniang
  38. Tuan Haji Ahmad bin Haji Yassin Tok Janggut, Langgar
  39. Tuan Syaikh Abdullah Masri bin Ibrahim, Langgar
  40. Tuan Haji Abu, Alor Keladi, Langgar
  41. Tuan Haji Abdul Rahman, Kubang Rotan, Kota Star
  42. Tuan Haji Awang, Sungai Limau, Yan
  43. Tuan Haji Muhammad bin Haji Awang, Padang Pusing, Pendang
  44. Tuan Haji Abdul Latif, Pulau Kerengga, Kota Star
  45. Tuan Haji Harun, Bukit Tinggi, Naga, Sungai Baru, Bukit Pinang
  46. Tuan Haji Ahmad, Paya Nedam, Sik
  47. Tuan Haji Muhammad Zain, Kubang Siam, Kota Star
  48. Tuan Haji Endut, Titi Besi, Kubang Pasu
  49. Dato' Haji Abdul Rahman bin Abdullah, Merbuk
  50. Tuan Haji Abdul Ghani bin Haji Awang, Kadi, Kota Star
  51. Tuan Haji Abdul Rahman bin Haji Abdul Latif, Jitra, Kadi Besar
  52. Tuan Haji Ahmad, Kupang, Baling
  53. Tuan Haji Abdul Mutalib bin Abdul Rahman, Simpang Empat, Kota Star
  54. Tuan Haji Muhammad Nuh, Kulim
  55. Tuan Haji Hussain bin Haji Saleh, Langgar
  56. Tuan Haji Wan Abdul Samad bin Wan Nik, Pokok Sena, Kedah
  57. Tuan Haji Wan Ibrahim bin Wan Abdul Kadir, Pak Chu Him, Chegar, Pendang
  58. Tuan Haji Othman, Alor Gonchar,Gunung, Kota Star
  59. Tuan Haji Itam, Tanjung Bedil, Kota Star
  60. Tuan Haji Abdullah bin Haji Awang, Chegar, Anak Bukit Kota Star
  61. Tuan Haji Hassan al-Fatani, Bukit Besar, Yan
  62. Tuan Haji Abdul Majid, Guar Cempedak
  63. Tuan Haji Hussain bin Che' Dol, Guar Cempedak
  64. Tuan Haji Hamzah, Mergong, Alor Star
  65. Tuan Haji Ismail bin Sulaiman (Kelantan), Merbuk
  66. Tuan Haji Ahmad Kota bin Lebai Ibrahim, Kota Rentang, Bukit Pinang
  67. Tuan Haji Zawawi bin Abdul Rahman, Alor Ibus dan Yan (1898-1968)
  68. Tuan Haji Mahmud bin Abdullah, Bukit Besar, Yan
  69. Tuan Haji Kassim bin Haji Saleh, Pulau Pisang, Jitra
  70. Tuan Haji Othman Melaka, Sanglang, Kodiang, Kubang Pasu
  71. Tuan Haji Abdul Rahman, Sungai Baru Ilir, Kota Star
  72. Tuan Haji Ahmad 'Sekor', Junjung, Kulim
  73. Tuan Haji Idris bin Abdul Rahman, Alor Mengkudu, Alor Star
  74. Tuan Haji Abu Bakar Palestin, Ayer Hitam, Jitra
  75. Tuan Haji Hamzah, Seberang Chegar, Anak Bukit
  76. Tuan Haji Ahmad Lala bin Abbas, Jeneri, Sik
  77. Tuan Haji Dahlan, Langgar
  78. Tuan Haji Muhammad Marzuki bin Muhammad Amin, Langgar
  79. Tuan Haji Ismail bin Ibrahim, Seberang Nyonya, Kuala Kedah
  80. Tuan Haji bin Haji Saleh, Kubang Lembu, Jitra
  81. Tuan Haji Umar bin Haji Saleh, Kubang Lembu Jitra
  82. Tuan Haji Rashidi, Kampung Gelugur, Baling
  83. Tuan Haji Wan Sulung bin Wan Dali, Pokok Asam, Pendang
  84. Tuan Haji Saleh (Wara), Sik
  85. Tuan Haji Abdul Aziz bin Haji Ibrahim, Pendang
  86. Tuan Haji Hussein, Pendang
  87. Tuan Haji Muhammad Saad bin Awang, Merogoi, Bukit Payung, Pendang
  88. Tuan Haji Husin bin Haji Abdul Rahman, Telok Kechai, Kota Star
  89. Tuan Haji Zakaria Bin Abdul Rahman, Kubang Rotan, Kota Star
  90. Tuan Haji Zakaria bin Haji Ismail, Pondok Ampang, Kampung Parit, Sik
  91. Tuan Haji Salleh (Muda), Pekan, Sik
  92. Tuan Haji Ismail bin Musa (Kelantan), Selengkoh, Kota Sarang Semut, Yan
  93. Tuan Haji Abdul Rahman bin Haji Kechik, Kubang Siam, Kota Star 
bersambung ke siri seterusnya .....  

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails